Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, lima mata pelajaran itu ialah Sejarah, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Pendidikan Agama dan Bahasa Cina.
Menurutnya, masalah kekurangan guru bagi lima subjek berkenaan perlu diatasi segera memandangkannya antara mata pelajaran yang penting.
“Subjek yang kritikal sekarang ini dan perlukan guru adalah Sejarah, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Malah, Pendidikan Islam juga kita turut mengalami kekurangan guru.
“Ini satu perkara yang agak sukar dihadapi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan kita harapkan kemasukan atau pengambilan mahasiswa untuk menjadi guru boleh diatur supaya boleh dilebihkan untuk anak-anak Johor, jadi mereka boleh kembali ke negeri ini untuk berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Ziarah dan Penyampaian Hadiah sempena Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti, Skudai di sini sebentar tadi.
Aminolhuda berkata, secara keseluruhan guru di Johor hampir 50,000 orang, namun masih kekurangan dua peratus dalam mata pelajaran tertentu.
Masalah kata beliau, adalah tiada kemasukan guru dari luar dan sesetengah guru tidak mahu pindah ke negeri ini. 
UTUSAN MALAYSIA ONLINE