Friday, 26 June 2020

AGONG TINJAU PELAKSANAAN SOP DI SEKOLAH

Yang di-Pertuan Agong mencemar duli duduk di dalam kelas bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Danau Kota hari ini. Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong mencemar duli duduk di dalam kelas bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Danau Kota hari ini.
KUALA LUMPUR: Keprihatinan tinggi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap keselamatan dan kesihatan guru dan pelajar sekolah terserlah apabila baginda berkenan meninjau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan sesi pembelajaran secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Danau Kota, di sini.
Ini susulan pembukaan semula sesi persekolahan membabitkan kelas peperiksaan awam, khususnya tingkatan lima dan enam pada Rabu lalu melalui proses pengajaran dan pembelajaran normal baharu, kira-kira tiga bulan terhenti akibat pandemik COVID-19.
Seri Paduka, diiringi anakandanya Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, berangkat tiba di sekolah berkenaan pada 10 pagi, disambut Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin.
Sejurus tiba, guru bertugas terlebih dahulu membuat pemeriksaan suhu ke atas baginda sebelum Al-Sultan Abdullah berkenan menggunakan cecair pembasmi kuman yang diletakkan di atas alat hasil inovasi pelajar yang hanya memerlukan seseorang memijak alat itu untuk mengeluarkan cecair berkenaan.
Seri Paduka kemudiannya berkenan menerima sembah taklimat berkenaan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dan tatacara kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi oleh guru, murid dan ibu bapa atau penjaga bagi mencegah penularan COVID-19.
Al-Sultan Abdullah turut meninjau sendiri proses pengendalian kantin sekolah dan melihat SOP pelajar ketika beratur membeli makanan pada waktu rehat, beramah mesra dengan peniaga kantin, sambil memuji kebersihan premis kantin itu.
Baginda kemudiannya ke Makmal Fizik sekolah itu bagi melihat sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka dengan tatacara kebiasaan baharu, sambil bertanyakan guru mengenai kandungan pengajaran serta memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan.
Lawatan Seri Paduka diteruskan dengan baginda mengunjungi Bengkel Jahitan Pendidikan Khas dan melihat sendiri kaedah pembelajaran secara dalam talian bagi pelajar yang belajar dari rumah.
Al-Sultan Abdullah kemudian ke sebuah kelas dan menerima taklimat mengenai SOP ketika makan di dalam kelas pada waktu rehat, dan tanpa kekok, turut berkenan bersantap bersama pelajar di dalam kelas berkenaan.
Pada akhir lawatan, baginda menerima lambaian daripada guru-guru yang kelihatan teruja menyaksikan keberangkatan ketua negara itu ke sekolah berkenaan.
Tidak mahu menghampakan mereka, Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan memanggil guru untuk mengabadikan gambar bersama, namun masih mengikuti SOP ditetapkan.
Sementara itu menerusi kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, sekolah dan guru di atas kesiapsagaan dan persediaan rapi bagi menjamin keselamatan diutamakan dan mengelakkan risiko jangkitan dalam kalangan guru dan pelajar sepanjang berada di sekolah.
Memahami ada murid lain yang juga rindu untuk kembali ke sekolah menuntut ilmu, bertemu guru dan kawan-kawan, Seri Paduka turut berharap agar murid-murid ini dapat bersabar dahulu buat ketika ini, kata beliau.
"Seri Paduka turut menasihati guru dan pelajar bersabar menjalani sesi persekolahan dengan tatacara kebiasaan baharu, termasuk penjarakan sosial, dan sentiasa berdisiplin menjaga kebersihan diri serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan di dalam dan luar waktu persekolahan," katanya.
Al-Sultan Abdullah turut mendoakan semoga semua guru dan pelajar di Malaysia yang kembali bertugas dan bersekolah dipermudah segala urusan dan dilindungi Allah SWT.
Bermula 24 Jun, seramai 500,444 pelajar daripada 2,440 sekolah menengah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), serta peperiksaan antarabangsa kembali semula ke sekolah.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 24 June 2020

MUHYIDDIN TINJAU PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan, di sini bagi meninjau pembukaan semula sesi persekolahan yang bermula hari ini.
Dalam catatan di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata beliau melalui proses saringan suhu badan di pintu masuk sekolah sebelum diiringi guru besar sekolah itu, Latifah Mohd Yusof melewati laluan khas bertanda memasuki kawasan sekolah dan seterusnya ke dewan utama bagi sesi taklimat.
"Pada taklimat itu, saya dimaklumkan bahawa sesi pembelajaran di sekolah ini hanya membabitkan pelajar Tingkatan Lima seramai 255 orang yang dibahagikan kepada 14 kelas daripada sembilan kelas sebelum PKP dikuatkuasakan.
"Saya kemudiannya meninjau aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Daripada pemerhatian saya, semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dan kelas tidak boleh melebihi 20 orang dipatuhi.
"Setelah tiga bulan tidak bersekolah, pastinya perasaan bercampur-baur dirasai pelajar apabila dapat kembali semula ke sekolah dan perkara itu diluahkan kepada saya semasa berbual dengan sebahagian daripada mereka tadi," menurut catatan itu.
Muhyiddin berkata selepas semua sekolah ditutup apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, kerajaan pada 10 Jun membuat keputusan membuka semula sekolah secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) hari ini.
Dalam kunjungannya ke SMK Datok Lokman, Muhyiddin berkongsi ada antara pelajar mengakui berasa gementar atau bimbang dengan keselamatan diri berikutan pandemik COVID-19 masih belum berakhir.
Bagaimanapun, katanya, mereka tetap teruja dapat kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan setelah sekian lama sesi pembelajaran hanya berlangsung secara dalam talian.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada guru, pejabat pendidikan negeri dan daerah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah melakukan persediaan rapi bagi memastikan garis panduan serta penyediaan SOP dipenuhi sebelum sesi persekolahan bermula.
Beliau berkata langkah itu akan memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak sentiasa diberi keutamaan sepanjang berada di sekolah.
"Bagi SMK Datok Lokman, saya dapat saksikan kesungguhan pengurusan sekolah memenuhi SOP ditetapkan bermula daripada ketibaan pelajar sehingga mereka pulang.
"Saya saksikan sendiri saringan suhu dibuat di pintu masuk sekolah, sebelum ditulis di atas pelekat yang kemudiannya dilekatkan di lengan baju pelajar. Stesen cuci tangan pula diletakkan di luar bilik darjah bagi memastikan pelajar kerap mencuci tangan," katanya.
Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan waktu rehat di sekolah itu dipecahkan kepada tiga fasa dengan tempahan makanan dibuat melalui guru kelas, dan makanan yang ditempah daripada kantin atau dibawa sendiri hanya dibenarkan dimakan di dalam kelas.
"Insya-Allah, dengan persediaan rapi dan pelaksanaan serta pematuhan SOP yang betul oleh semua pihak, saya yakin risiko jangkitan wabak dalam kalangan pelajar dapat dielakkan.
"Saya turut berpesan agar mereka sentiasa berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan, jaga jarak sosial serta elakkan berada di tempat yang sesak dan sempit.
"Saya doakan anak-anak kita yang kembali bersekolah dilindungi Allah dan dipermudahkan urusan dalam mengharungi kebiasaan baharu persekolahan," menurut catatan itu.
Muhyiddin seterusnya turut berkongsi tujuh keping gambar lawatannya itu yang turut disertai Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin. 

BERITA HARIAN ONLINE

COVID-19: SEKOLAH CATAT KES AKAN DITUTUP SEMENTARA, LAKSANA PKPD

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali membuat lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1), hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali membuat lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1), hari ini.
PUTRAJAYA: Sekolah yang merekodkan kes positif COVID-19 dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan boleh diarah tutup dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata tindakan itu adalah antara Prosedur Operasi Standard (SOP) digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penularan wabak dalam komuniti dapat dikawal.
"Kalau ada kes positif, kita akan bawa pesakit ke hospital untuk rawatan dan kontak rapat juga akan disaring sama ada di sekolah atau rumah.
"Oleh itu, kita harap pelaksanaan SOP dapat diteruskan secara konsisten di sekolah dan pelajar menjalani sesi pembelajaran dalam norma baharu.
"Sekiranya ada kes COVID-19 di sekolah terbabit, kita akan menutup sekolah buat sementara dan jika ada peningkatan kes secara mendadak, kita laksanakan PKPD," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1) di sini, hari ini.
Bagi memastikan sekolah konsisten melaksanakan SOP ditetapkan, Dr Noor Azmi berkata, beberapa pegawai KKM, Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemantauan serta pemeriksaan mengejut di 2,000 sekolah di seluruh negara.
Katanya, ia turut merangkumi pemantauan bagi memastikan tiada perhimpunan dilakukan manakala pelajar dan guru menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter.
Dalam lawatannya, Dr Noor Azmi turut mengucapkan tahniah kepada warga sekolah terbabit kerana melaksanakan SOP ditetapkan secara kemas dan rapi.
"Saya berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan, difahamkan persediaan dilakukan hanya dalam tempoh dua minggu oleh pihak sekolah.
"Pada waktu rehat, pelajar tidak ke kantin, sebaliknya makanan dipesan awal sehari dan pihak kantin menghantar makanan terbabit ke kelas.
"Tiada barisan mengambil makanan makan, pelajar makan dalam kelas dan dipantau guru.
"Pihak sekolah juga mengambil inisiatif membuat lorong khusus bagi pelajar ke kelas atau makmal, selain tidak bertembung ketika waktu puncak seperti datang atau pulang dari kelas," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

HARGAI SOP INOVATIF DIBUAT SEKOLAH

Notis amalan norma baharu COVID-19 diletakkan di pintu masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) menjelang pembukaan semula sekolah itu selepas ditutup sejak 18 Mac lalu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto BERNAMA
Notis amalan norma baharu COVID-19 diletakkan di pintu masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) menjelang pembukaan semula sekolah itu selepas ditutup sejak 18 Mac lalu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
BERITA gembira buat anak-anak kerana dapat kembali ke sekolah selepas rehat tiga bulan akibat pandemik COVID-19.
Pelajar Tingkatan Lima dan Enam akan kembali ke sekolah hari ini, tetapi tidak dengan cara kebiasaan mereka.
Mereka harus kembali secara berperingkat dan harus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat dikeluarkan kementerian berkenaan.
Tidak ada keraguan bahawa kepulangan mereka akan diuruskan dengan baik apabila mempertimbangkan kematangan pelajar dan kemampuan guru serta pengetua sekolah, di bawah pengawasan Kementerian Pendidikan.
Namun, yang menjadi kebimbangan adalah kepulangan pelajar prasekolah dan mereka di sekolah rendah. Ibu bapa dan guru menyatakan kebimbangan mengenai kesukaran untuk memastikan kanak-kanak kecil mengamalkan penjarakan yang selamat.
Ini mungkin bukan masalah besar di bilik darjah di mana meja dan ruang bermain diletakkan dalam jarak agak jauh, tetapi menjadi cabaran apabila kanak-kanak berada di kantin, tandas atau sementara menunggu kenderaan untuk pulang ke rumah.
Keprihatinan lain ialah sama ada guru dan penjaga cukup terlatih untuk menguatkuasakan normal baharu yang lain dan mengikuti SOP baharu.
Perkara ini boleh menyebabkan tahap tekanan lebih tinggi dalam kalangan guru. Oleh yang demikian, pihak berkuasa menyedari kemungkinan ini dan memberikan perkhidmatan kaunseling kepada guru dan pelajar.
Ini akan membantu sekiranya Kementerian Pendidikan menubuhkan Pusat Maklumat dan Kaunseling untuk memenuhi keperluan guru dan pengetua sekolah.
Kementerian Pendidikan mungkin boleh mempertimbangkan untuk menubuhkan talian khusus untuk menjawab pertanyaan dan menawarkan maklumat yang cepat dan relevan, serta nasihat terutama mengenai perkara yang belum dilindungi SOP tepat pada masanya.
Ketua Pengarah Pendidikan dapat menangani sekolah melalui kenyataan media dari semasa ke semasa dengan memberikan maklumat relevan dan tepat, statistik serta nasihat dan dorongan.
Beliau dapat memberikan penghargaan kepada sekolah teladan, memuji SOP inovatif dibuat sekolah dan menghargai karya guru serta pelajar yang dapat dicontohi.
Bagi pelajar sekolah menengah, Unit Pembangunan Kurikulum dapat memperkenalkan pelajaran mengenai penyakit berjangkit, cara menghindarinya dan bagaimana untuk kekal sihat.
Terdapat juga masalah kos tambahan yang perlu ditanggung sekolah untuk menyediakan alatan pembersih tangan, pelitup muka dan peralatan pelindung diri (PPE) lain.
Mungkin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang aktif dapat membantu?
Terdapat juga masalah lain perlu diperhatikan dan ia persoalan memastikan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja dalam jangka panjang.
Sejauh mana mereka bersedia menghadapi tentangan baharu yang ditimbulkan oleh teknologi berpacu, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI)?
Cabaran baharu ini akan memberi kesan buruk kepada anak-anak sekiranya mereka tidak diberi penjagaan dan bimbingan sewajarnya oleh ibu bapa dan guru.
Atas sebab ini, ibu bapa dan guru mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memantau tahap tekanan anak dan membantu mereka mengatasinya di sekolah mahupun di rumah.
Juga penting untuk mewujudkan persekitaran untuk kanak-kanak memupuk semangat dan saling menyokong antara satu sama lain, dengan rakan sebaya mereka.
Kanak-kanak juga mesti dilindungi daripada kesan penggunaan teknologi maklumat (IT) dan peranti mudah alih yang melampau pada usia awal agar tidak mengundang masalah untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran sosial pada masa depan.
Tan Sri Lee Lam Thye
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat

BERITA HARIAN ONLINE

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH, JANGAN LUPA PATUHI SOP

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan wabak COVID-19, sesi persekolahan membabitkan pelajar mengambil peperiksaan awam, dimulakan semula hari ini.
Perasaan gembira berbaur khuatir pasti dirasai pelajar, guru dan ibu bapa tetapi dengan kes COVID-19 yang semakin terkawal, pembukaan semula sekolah diyakini berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Bersama persiapan rapi dilakukan pihak sekolah dan pematuhan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, pembukaan sektor pendidikan dilihat penting, terutama bagi pelajar Tingkatan Lima serta Tingkatan Enam.
Pelajar terbabit bakal menduduki peperiksaan awam, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Atas faktor itu juga, Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian tidak akan menangguhkan pembukaan prasekolah, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) kerajaan serta swasta yang dijadualkan bermula 1 Julai ini.
Tinjauan hari pertama persekolahan dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 11 (1) Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Tinjauan hari pertama persekolahan dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 11 (1) Putrajaya
Pengawal Keselamatan SMK Puchong bersama guru memeriksa suhu badan pelajar tingkatan 5 SMK Puchong mengikut SOP yang ditetapkan. - NSTP/Hazreen Mohamad
Pengawal Keselamatan SMK Puchong bersama guru memeriksa suhu badan pelajar tingkatan 5 SMK Puchong mengikut SOP yang ditetapkan.
Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak melakukan pemeriksaan suhu badan pada tinjauan hari pertama persekolahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). - NSTP/Aswadi Alias
Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak melakukan pemeriksaan suhu badan pada tinjauan hari pertama persekolahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
Antara SOP pembukaan semula sekolah ialah pemeriksaan suhu setiap hari bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah.
Mereka dengan suhu badan yang melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala, tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah, manakala aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka, tidak dilaksanakan sehingga suatu tarikh dimaklumkan nanti.
Melalui tinjauan dilakukan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, semalam, beliau berpuas hati melihat semua pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa, sudah melakukan persiapan yang cukup untuk pembukaan semula sekolah.
Beliau berkata, KPM akan menganalisis situasi selepas Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima memulakan kelas, serta berbincang semula dengan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum memutuskan bila pelajar lain boleh kembali ke sekolah.
Mengenai situasi COVID-19 pula, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semalam memaklumkan bahawa hanya tiga kes baharu direkodkan, iaitu antara paling rendah selepas hanya dua kes baharu pada 10 Jun lalu.
Selain itu, tiada kematian dicatatkan, semalam, menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.
Apapun yang diputuskan kerajaan, rakyat Malaysia wajar optimis bahawa negara semakin menghampiri garis untuk bebas daripada pandemik COVID-19 dengan mematuhi SOP dan kawalan kendiri yang tinggi.
Namun perlu diingat, rakyat tidak boleh alpa dengan segala kelonggaran diberikan kerajaan kerana segalanya kini berada dalam tangan 32.7 juta rakyat Malaysia. 
Pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, menjamu selera selepas melaporkan diri dan memasuki asrama, semalam. - FOTO BERNAMA
Pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, menjamu selera selepas melaporkan diri dan memasuki asrama, semalam
Pengawal keselamatan bersama guru bertugas mengambil dan mencatatkan suhu pelajar dan guru yang tiba di hadapan pagar sekolah. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Pengawal keselamatan bersama guru bertugas mengambil dan mencatatkan suhu pelajar dan guru yang tiba di hadapan pagar sekolah

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 23 June 2020

TAKWIM PENGGAL PERSEKOLAHAN 2020 DIPINDA

Pengawal keselamatan sebuah sekolah di ibu negara menambah cecair pembasmi kuman bagi persediaan menerima pelajar bermula esok. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pengawal keselamatan sebuah sekolah di ibu negara menambah cecair pembasmi kuman bagi persediaan menerima pelajar bermula esok. 
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) meminda Takwim Penggal Persekolahan 2020 untuk membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran (P&P) murid.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pindaan membabitkan cuti pertengahan penggal dua yang dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari.
Ia membabitkan sekolah kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan kumpulan B membabitkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
"Selain itu, cuti akhir tahun bagi sekolah dalam kumpulan A dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari manakala sekolah dalam kumpulan B dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari," katanya.
KPM menyatakan jumlah hari persekolahan secara bersemuka berdasarkan pindaan Takwim Penggal Persekolahan 2020 adalah 168 hari bagi semua sekolah.
Katanya, bilangan hari pembelajaran di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah 56 hari bagi sekolah dalam negeri kumpulan A dan bilangan hari pembelajaran di rumah dan bagi sekolah dalam negeri kumpulan B adalah 55 hari.
"Bilangan hari pembelajaran di rumah hanya terpakai kepada murid Tingkatan Lima dan Enam manakala bagi murid lain bergantung kepada bila mereka akan kembali ke sekolah kelak," katanya.
Takwim Penggal Persekolahan 2020 yang sudah dipinda boleh diperoleh melalui laman sesawang https://www.moe.gov.my/takwim/takwim-persekolahan-pindaan-2020.
Sebelum ini, KPM memaklumkan sekolah akan dibuka semula esok membabitkan murid Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.
BERITA HARIAN ONLINE

HANYA 20-30 PERATUS MURID IKUTI PDP DALAM TALIAN

Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hanya 20 hingga 30 peratus murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian, sekali gus menjadikan sesi tidak bersemuka atau tanpa hadir ke kelas belum sesuai dilaksana secara menyeluruh di semua sekolah di negara ini.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata banyak kesulitan dan kesan pelaksanaan PdP seperti itu terhadap tahap pemahaman dan penguasaan murid ke atas satu-satu subjek.
Mohd Azizee berkata, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) contohnya, menerusi pelaksanaan PnP dalam talian mendapati ia kurang mendapat sambutan dengan peratusan kehadiran murid dalam sesi itu hanya sekitar 20 hingga 30 peratus.
"Penyertaan pelajar amat rendah sekali. Isu utama berkaitan disiplin murid, manakala persoalan capaian internet dan peranti digunakan, masih boleh diselesaikan.
"Apabila kehadiran murid rendah dalam sesi dalam talian, ia akan menjejaskan tumpuan mereka untuk belajar apatah lagi untuk memahami subjek diajar. Jadi, kaedah bersemuka masih menjadi pilihan ketika ini," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.
Mohd Azizee berkata, dapatan kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bahawa 93 peratus guru memilih mengajar secara bersemuka adalah tepat.
Justeru, Mohd Azizee berkata, sudah tiba masa Kementerian Pendidikan mengenal pasti tempoh masa sesuai supaya sesi persekolahan ini boleh dibuka secara berperingkat.
"Mungkin boleh bermula dengan Tingkatan Empat, kemudian Tingkatan Tiga dan seterusnya. Disebabkan jangkitan COVID-19 sudah beransur pulih, pembukaan sekolah secara berperingkat ini boleh dipertimbangkan.
"Paling utama ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dilaksana. Saya rasa sekolah sudah mampu untuk menerima jumlah kehadiran murid lebih ramai," katanya.
Menyentuh cadangan tiga pedagogi PdP yang diperkenalkan NUTP, iaitu segerak, tak segerak dan offline, beliau berkata, ia boleh dilaksana tetapi bergantung kepada kemampuan pihak sekolah dan guru serta penerimaan murid.
"Pelajar di sekolah asrama penuh tidak sama dengan sekolah harian biasa. Mungkin di asrama penuh boleh dilaksana modul PdP bentuk A atau B, tetapi bagi sekolah harian biasa ia tidak sesuai.
"Jadi penentuan kaedah PdP ini amat bergantung kepada keadaan sekolah, murid dan guru. Namun, kepelbagaian bentuk PdP memang digalakkan dan sudah pun dilaksana di kebanyakan sekolah, namun tidak menyeluruh," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

KESIHATAN MENTAL KANAK-KANAK MALAYSIA


Sumber: Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 & Befrienders

Monday, 22 June 2020

93% GURU PILIH MENGAJAR DALAM KELAS

MENGAJAR dalam kelas jadi pilihan guru. Gambar hiasan. - Foto/NSTP
MENGAJAR dalam kelas jadi pilihan guru.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 93 peratus warga pendidik di negara ini memilih kaedah pembelajaran secara bersemuka sebagai pilihan utama kepada proses pembelajaran dan pengajaran (PnP) murid di sekolah.
Ia adalah hasil utama Kajian Pandemik Pasca Penjarakan Sosial Pasca COVID-19 yang dilaksanakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bersama 100 pakar pendidikan dalam negara.
Ketua penyelidik yang juga pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Nazri Abdul Rahman, berkata kajian itu membabitkan 10,428 responden pendidikan yang dilakukan pada April hingga awal Jun.
"Kajian mendapati 93 peratus guru memilih mengajar secara bersemuka di dalam kelas berbanding kaedah PnP yang lain.
"Namun sekiranya pedagogi (PnP) ini tidak dapat dilaksana dengan kebiasaan baharu pasca COVID-19, warga pendidik perlu lebih kreatif untuk mempelbagaikan kaedah PnP," katanya pada sidang media bagi membentangkan hasil kajian itu di ibu pejabat NUTP, hari ini.
Turut hadir, Presiden NUTP, Aminuddin Awang.
Mohd Nazri berkata susulan kajian itu, pihaknya mencadangkan empat kaedah PnP yang boleh dilaksana dan menjadi pilihan kepada guru terutama bagi persediaan warga pendidik mendepani PnP kebiasaan baharu selepas COVID-19.
"Hasil kajian pedagogi penjarakan sosial pasca COVID-19, pakar bersetuju memperkenalkan empat kaedah pedagogi PnP iaitu pembelajaran bersemuka, segerak, tak segarak serta offline (luar talian).
"Kaedah ini boleh dijadikan pilihan kepada guru dan sekolah untuk mengajar murid mengikut topik-topik (subjek) bersesuaian. Ada topik boleh dilakukan secara segerak, ada juga dibuat menerusi offline," katanya.
Antara pakar pendidikan yang terbabit dalam kajian itu ialah Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi; Prof Dr Saedah Siraj (UM); Dr Mohd Shahril Nizam Shahrom (UM); Dr Haireen Abdul Hadi (UM) serta pensyarah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.
Pembelajaran bersemuka adalah proses PnP yang mana guru mengajar dalam kelas seperti biasa, sementara segerak pula dilakukan secara langsung (live) menerusi aplikasi seperti Google Meet, Zoom, Skype dan panggilan video.
Sementara, kaedah tak segerak dan offline pula katanya, ialah model PnP yang dibuat secara rakaman video serta pemberian tugasan tertentu kepada murid tanpa perlu mereka hadir ke sekolah.
Ditanya sama ada kaedah segerak, tak segerak serta offline akan menjejaskan pemahaman, tumpuan dan disiplin murid, Mohd Nazri berkata, ia bergantung kepada kreativiti guru dalam menyampaikan PnP berkenaan.
"Guru kena memahami apakah pedagogi bersesuaian. Ia perlu ditentukan oleh guru sendiri. Kurikulum perlu dicerakinkan. Contohnya kalau di kelas memerlukan masa (PnP) 40 minit secara fizikal, apabila dalam talian juga mesti 40 minit.
"Jika topik (subjek) tertentu tidak sesuai dilaksanakan secara dalam talian, ia boleh dilakukan secara bersemuka dalam kelas. Guru mesti melihat kaedah ini sebagai pilihan kepada mereka terutama jika sekolah dibuka semula nanti," katanya.
Beliau berkata, pada awal kajian juga mendapati masalah capaian jalur lebar menjadi kekangan utama kepada guru dan murid, namun ia tidak seharusnya menjadi penyebab PnP bentuk baharu ini tidak boleh dilaksana.
Katanya, ketika ini ramai warga pendidik terutama generasi muda yang mahir menggunakan teknologi dan gajet, dengan ada dalam kalangan mereka memiliki akaun YouTube pendidikan sendiri.
"Kita akui ada kawasan mungkin berdepan masalah akses kepada internet jadi di situ masih boleh laksana pedagogi secara bersemuka. Namun di sekolah yang memiliki kelengkapan dan kemampuan mencukupi, ia boleh dilaksana (kaedah baharu PnP yang lain)," katanya.
Beliau berkata, pilihan pedagogi ini secara langsung akan membantu kerajaan mengawal penularan COVID-19 dalam negara terutama selepas sesi persekolahan mula dibuka kelak.
Sementara itu, Aminuddin berkata hasil kajian itu sudah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan sebagai input tetapi belum mendapat maklum balas.
Beliau berkata pihaknya juga masih menunggu maklum balas kementerian untuk menyuarakan secara rasmi pandangan mengenai masalah yang sedang dihadapi guru.
Katanya NUTP juga merancang turun ke seluruh negara untuk memberikan penerangan kepada guru dan pentadbiran sekolah mengenai kaedah dan proses PnP itu yang boleh disesuaikan mengikut lokaliti.
Dalam pada itu, katanya, bagi menjayakan matlamat itu, syarikat telekomunikasi perlu bekerjasama dalam memastikan kumpulan pendidik dan pelajar mendapat akses data internet yang mencukupi.
NUTP berharap hasil kajian itu akan membantu guru menentukan kaedah PnP terbaik pasca COVID-19 dengan kebiasaan baharu dalam sesi persekolahan.
BERITA HARIAN ONLINE

OBESITI : TREND BERAT BADAN RAKYAT MALAYSIA

Sumber : NHMS / WHO

Saturday, 20 June 2020

Thursday, 18 June 2020

VARIETI DURIAN POPULAR

Sumber : Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani / FAMA

Monday, 15 June 2020

PRASEKOLAH, TADIKA OPERASI 1 JULAI

FOTO hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan prasekolah dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun operasi mereka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Kita sudah bersetuju dengan SOP yang dibentangkan mengenai cadangan pembukaan prasekolah dan tadika.
"SOP termasuk sewaktu pelajar datang dan pulang, mengenai cara mereka bermain dalam TADIKA, waktu makan semua lengkap, namun perincian SOP akan diumumkan Kementerian Pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata, pembukaan keseluruhan prasekolah dan TADIKA itu membabitkan 6,216 prasekolah di bawah kendalian Kementerian Pendidikan serta 7,887 swasta.
"TADIKA di bawah Kementerian Perpaduan Negara pula sebanyak 1,781 sementara di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar 8,530," katanya
BERITA HARIAN ONLINE

PEMBUKAAN SEMULA PRASEKOLAH, TADIKA PENTING UNTUK KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK - MAJLIS ECCE

Kakitangan sebuah TADIKA membuat persediaan sejajar pengumuman kerajaan untuk membenarkan prasekolah dan TADIKA dibuka semula sepenuhnya mulai 1 Julai depan. - NSTP/FATHIL ASRI
Kakitangan sebuah TADIKA membuat persediaan sejajar pengumuman kerajaan untuk membenarkan prasekolah dan TADIKA dibuka semula sepenuhnya mulai 1 Julai depan. 
KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sepenuhnya prasekolah dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) mulai 1 Julai depan, disifatkan penting bagi kesejahteraan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang memerlukan interaksi sosial untuk perkembangan psikologi mereka.
Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (Majlis ECCE), Datuk Dr Chiam Heng Keng, berkata ini kerana interaksi secara bersemuka adalah jauh lebih berkesan berbanding dalam talian, lebih-lebih lagi pendedahan golongan itu kepada skrin harus ada batas.
"Justeru, Majlis ECCE mengalu-alukan pembukaan semula operasi ini. Ia sangat dinantikan oleh industri ECCE yang menghadapi masalah kewangan berikutan kehilangan pendapatan sepanjang penutupan operasi dan pada masa sama tetap perlu membayar gaji kakitangan.
"Yang paling penting ialah kesejahteraan anak kerana walaupun mereka mempunyai aktiviti dan kelas dalam talian yang disediakan TADIKA masing-masing, mereka merindui rakan di TADIKA.
"Lebih-lebih lagi, kanak-kanak pada usia ini memerlukan interaksi sosial untuk kesejahteraan psikologi, selain persekitaran berbeza untuk rangsangan dan pengalaman pada sel neuron atau otak bagi membentuk serta menguatkan salur saraf, " katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan prasekolah dan TADIKA dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai depan, namun operasi mereka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Mengulas lanjut, Heng Keng berkata, pengumuman itu juga pasti adalah khabar gembira buat ibu bapa kerana dapat menghantar semula anak ke TADIKA, sekali gus membolehkan mereka kembali bekerja.
Pada masa sama, beliau berkata, pengusaha prasekolah dan TADIKA diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan berlaku jangkitan baharu COVID-19 dalam kalangan warga mereka.
BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 14 June 2020

SOP BUKA SEKOLAH DINILAI BERTERUSAN, TAK BEBAN GURU

MENTERI Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin

Sesi persekolahan akan bermula 24 Jun ini membabitkan kira-kira 2,000 sekolah dan 500,444 pelajar. Ramai gembira dengan pembukaan ini, namun ada juga sangsi dan bimbang. Wartawan BH, Mohd Nasaruddin Parzi, menemubual Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, mengenai penetapan prosedur operasi standard (SOP) yang bakal diuji keberkesanannya.
Soalan (S): Bila sebenarnya perancangan mengenai SOP pembukaan sekolah dimulakan?
Jawapan (J): Kita sudah mula langkah ini pada awal April, iaitu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada 18 Mac. Perbincangan utama pembukaan sekolah kita lakukan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Dalam hal ini, kita tidak mahu tekan KKM. Hanya selepas KKM kata sedia, keadaan COVID-19 sudah reda, baru kita laksana.
Kita bincang terperinci mengenai prosedur operasi standard (SOP) ini. Bagaimana SOP diperkenalkan boleh melindungi pelajar bermula sebaik mereka melangkah masuk ke sekolah. Sebelum kita umumkan, kita datang ke sekolah bagi melihat kesesuaian SOP ini untuk dilaksanakan.
Jadi, saya bermula dengan lawatan ke dua buah sekolah bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM). Selepas itu, baru saya panggil Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah MKN untuk ikut saya dan melihat sama ada SOP ini boleh dilaksana atau tidak. Saya bawa mereka lihat sendiri SOP di kelas, kantin dan sebagainya.
S: Mengapa KPM pilih Rabu untuk mulakan sesi persekolahan, bukannya Isnin?
J: Asasnya berdasarkan satu keputusan strategik. Sebab kita tahu ini adalah operasi yang agak besar membabitkan pergerakan 500,000 pelajar masuk ke sekolah. Ya, kita sudah ada SOP, namun sebaik sekolah dibuka, apakah kita ada masa untuk mengubah SOP ini lagi.
Kita tetapkan buka Rabu dengan Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor, mereka akan ke sekolah pada Rabu dan Khamis. Sementara bagi negeri lain pada Rabu hingga Jumaat. Alasan dia, jika ada apa-apa berlaku, termasuk keperluan untuk kita tambah baik SOP, ia boleh dilakukan pada hujung minggu. Kita ada dua hari cuti untuk perkemas SOP ini.
Akan ada pasukan yang memantau untuk melihat keberkesanan pelaksanaan SOP ini nanti. Apabila sekolah disambung semula pada Isnin (minggu berikutnya), kita sudah laksana penambahbaikan.
S: Apakah ini bermakna SOP akan perubahan lagi?
J: SOP ini membabitkan satu penilaian berterusan. Ini kali pertama kita laksana. Kita akan lihat dan nilai secara berterusan. Pertama kali kita mula iaitu hari pertama sekolah dan kita mahu lihat hasilnya selepas tiga hari sekolah. Sebab itu kita ada waktu pada hujung minggu untuk melihat komponen yang boleh ditambah baik. Apabila bercakap pada penilaian, ini adalah penilaian yang berpanjangan. Tidak ada orang boleh jangka sama ada ia berjaya atau tidak dan apa akan berlaku. Bagi pihak kita, akan cuba yang terbaik supaya setiap SOP dapat dilaksana.
Katakanlah 2,000 sekolah dibuka, kita kenal pasti 10 isu yang perlu diberi perhatian, kita laksana penambahbaikan. Ini lampiran SOP yang perlu kita tambah baik. SOP ini akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
S: Cukupkah tempoh dua minggu untuk sekolah melakukan persiapan?
J: Sebab itu, kita bukan menunggu dekat buka sekolah baru kita edarkan SOP ini. Kita edar sejak Khamis lalu. Alasan kita edar lebih awal supaya pengetua dan guru dapat bayangan apa yang perlu dilaksana. Sebab itu kita bagi awal. Selepas saya dengan Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah MKN meninjau ke sekolah pada Selasa lalu, kita sudah tetapkan buat dulu SOP. Kalau ada perubahan kita akan tambah baik.
Apabila kita melawat hari Selasa itu pun, semua bersetuju dengan SOP yang ada. Pihak sekolah sudah mula membuat usaha untuk memastikan segala perkara yang disebut dalam SOP dipatuhi.
Pelbagai persediaan SOP dilakukan pihak sekolah sebelum pembukaan sesi persekolahan 24 Jun ini. - Foto BERNAMA
S: Penyediaan SOP itu satu hal, bagaimana pula dengan aspek pematuhan?
J: Saya minta semua pihak termasuk saya sendiri, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) turun ke bawah tanpa memberitahu pihak sekolah. Bukan alasan kita untuk hukum, tidak sama sekali. Supaya kita dapat melihat sendiri persediaan secara 'natural'.
Katakanlah minggu pertama kita buat sampel di 50 sekolah, jadi kita tahu. Tujuan kita minta JPN, PPD dan KKM turun untuk lihat sampel SOP ini, berapa yang sudah dilaksana. Daripada jumlah yang kita pergi, berapa peratus sudah bersedia, berapa masih 50 peratus siap dan berapa yang tidak mula lagi. Jadi kita dapat tahu tahap kesediaan bagaimana.
Kita tak boleh tunggu sehingga 24 Jun. Sebaik SOP diedar, kita dah minta PPD turun untuk sembang dengan pengetua, bincang dengan mereka bagaimana pelaksanaannya. SOP ini nampak mudah, tetapi sebenarnya ia membabitkan operasi besar. Kita cukup teliti hal ini. Kita akan pastikan pemantauan sehingga hari sekolah dibuka.
S: Pemantauan pematuhan SOP bukan mudah. Bagaimana ini dipastikan?
J: Pihak sekolah akan menyusun kaedahnya. Ada guru yang akan bertanggungjawab melaksana pemantauan. Ini memerlukan bukan sahaja pembabitan ibu bapa dan guru, tetapi pelajar. Pelajar perlu memainkan peranan dan guru juga sama. Guru akan memastikan SOP ini dapat dipatuhi. Saya ambil contoh, makan di kantin tidak dibenarkan.
Apa yang tertakluk dalam SOP, pembelian makanan di kantin perlu dibungkus. Pelajar akan beli dan makan dalam kelas. Tujuannya, kita tidak mahu perkumpulan ramai pelajar di kantin. Pelajar ini akan ke kantin secara berperingkat dan guru akan mengawal pergerakan mengikut jadual ditetapkan.
Apabila pelajar makan dalam bilik darjah, ia juga di bawah penguasaan guru. Kalau tidak satu meja kecil, pelajar akan kumpul empat, lima orang. Guru akan pantau, pihak sekolah akan perincikan tugasan ini.
S: Saringan di depan pintu masuk sekolah setiap pagi akan mengambil masa?
J: Ya, seorang guru tidak boleh jaga di pintu masuk. Kalau pelajar ramai memerlukan banyak station untuk mempercepatkan proses saringan. Itu pun kita serahkan kepada pihak sekolah untuk perincikan jumlah guru yang akan bertugas. Benda ini tidak pernah jadi. Itulah sebab untuk menjayakan pelaksanaan SOP, pembabitan semua pihak amat penting.
S: Bukahkan ia menambah beban kerja guru?
J: Kita sedar dalam keadaan ini tanggungjawab sedikit berbeza. Perkara ini kita ambil maklum cuma dalam normal baharu, tidak pernah pun kita lalui situasi begini sebelum ini. Maka, kita perlu bekerja dalam kekangan yang ada.
Contohnya, kalau dulu kelas 35 hingga 40 pelajar, sekarang kelas ditetapkan hanya 20 pelajar, tidak pernah berlaku. Kita memang mahu mengecilkan saiz kelas, tetapi sebab tak cukup sekolah, ia tidak boleh dilaksana. Tetapi situasi ini saya yakin guru amat memahami keadaan baharu yang memerlukan bantuan semua pihak bukan sahaja guru, tetapi pelajar.
S: Bagaimana pula peranan ibu bapa?
J: Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting. Pertama, memastikan anak yang tidak sihat, tidak dihantar ke sekolah, ini cukup penting. Ibu bapa lebih mengetahui keadaan anak-anak di rumah. Kalau tidak sihat ibu bapa mesti mengambil inisiatif supaya mereka duduk di rumah. Kalau perlu dapat rawatan, hantar mereka ke pusat kesihatan. Memang ada di sekolah mekanisme kita untuk memantau, cek suhu dan sebagainya, tetapi risiko akan lebih tinggi.

Jadi di sini, peranan masing-masing sudah berbeza. Seperti masuk ke sekolah sebelah pagi, kita mungkin melaksana kemasukan secara berperingkat pada minggu pertama ini. Berdasarkan trend luar negara, kita tengok ibu bapa cenderung untuk hantar anak ke sekolah. Berbanding menggunakan pengangkutan awam seperti bas. Ini trend di tempat lain. Jadi kita bincang kemasukan awal sekolah ini akan dibuat secara berperingkat. Tingkatan Lima masuk jam berapa, Tingkatan Enam jam berapa. Supaya kawasan jalan tidak sesak. Perkara ini kita perincikan.
Pengawal keselamatan mengambil suhu guru sebelum memasuki kawasan sekolah bagi mematuhi SOP ditetapkan. - Foto Foto Mohamad Shahril Badri Saali
S: Guru sudah dibenar ke sekolah, namun majoriti pelajar di rumah, bagaimana pengajaran dan pembelajaran dilaksana?
J: Sekarang juga kaedah pembelajaran sudah mula berubah. Ada yang mengajar menerusi online (dalam talian). Macam Tingkatan Lima dan Enam mereka masuk ke sekolah. Apabila guru kembali ke sekolah nanti, kaedah pembelajaran akan dipelbagaikan. Sebab sudah ada satu lokasi tetap (di sekolah) yang memerlukan ibu bapa contohnya untuk ambil tugasan anak dan sebagainya. Itu terpulang kepada kreativiti setiap guru.
Kita lihat dalam konteks kemasukan awal ini, ada guru yang mengajar kelas lain masih meneruskan peranan mengajar pelajar yang berada di rumah. Saya yakin jika kita mengambil semangat bahawa ini adalah sesuatu yang baharu, sesuatu yang tidak pernah berlaku, untuk menjayakannya, maka kita memerlukan kerjasama semua pihak.
S: Ada kekangan penyediaan SOP di sekolah bandar dan luar bandar?
J: Apabila kita melaksana SOP ini, saya mahu melihat pelaksanaan menyeluruh di sekolah bandar dan luar bandar. Apabila saya ke sekolah, saya lihat semua sekolah boleh ikut SOP ini, memandangkan ia tidak sukar dilaksana.
Contohnya, untuk alat pengukur suhu badan dan hand sanitizer (cecair pembasmi kuman), kita akan beri kepada sekolah. Kita tahu sekolah perlukan ini. Cuma mungkin ada sekolah dapat lebihan dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk tambah bekalan sedia ada.
S: Bilik guru juga sesak. Bagaimana penjarakan sosial ingin dipastikan?
J: Bila kita melawat ke sekolah, keadaan dalam bilik guru agak padat. Namun, setiap sekolah boleh laksana penjarakan sosial kerana mereka ada bilik lain seperti pusat sumber yang boleh berfungsi sebagai bilik guru. Kebanyakan sekolah yang kami lawati sudah mula pindahkan barang-barang ke bilik lain. Penjarakan sosial di sekolah walaupun satu sesi sekalipun, masih ada ruang lain di sekolah yang boleh digunakan sebagai bilik guru. Sebab dalam SOP sudah tetapkan penjarakan sosial turut dilaksana di dalam bilik guru untuk kurangkan risiko.
S: Kenapa pihak berkepentingan termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak dibabitkan?
J: Pelaksanaan SOP ini paling penting adalah KKM. Ini keputusan profesional bukan keputusan berdasarkan sentimen. Sebab itu kita tidak mahu SOP ini dicipta berdasarkan sentimen. SOP mesti dihasilkan oleh mereka yang pakar. Semua perkara yang mesti dilaksana sekolah mesti berdasarkan nasihat daripada data saintifik. Contohnya, cadangan kerja disinfeksi di sekolah, di mana kita buat disinfeksi ini. Hakikatnya, sekolah sudah ditutup lama. Kalau kita mahu buat di 10,000 sekolah, banyak perbelanjaan diperlukan.
Dalam pembentukan SOP, yang paling penting adalah nasihat KKM. Apa yang kita mahu ibu bapa boleh yakin dengan SOP kita dan membenarkan anak mereka ke sekolah. Tetapi, kita akan berhubung dengan pihak bekepentingan selepas ini mungkin berkait hal lain seperti model persekolahan dan sebagainya.
BERITA HARIAN ONLINE