Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Penyediaan perkhidmatan internet dengan kapasiti 1 gigabait (GB) percuma setiap hari hanya untuk kegunaan penting berkaitan pendidikan dan aplikasi persidangan video.
Semakan BH di beberapa laman web syarikat telekomunikasi mendapati kapasiti data percuma itu tidak boleh digunakan untuk mengakses laman sosial, permainan video dan penstriman video.
Antara syarikat telekomunikasi yang sudah mengeluarkan terma penggunaan adalah seperti Celcom, Digi dan Maxis.
Syarikat telekomunikasi itu menyatakan penggunaan 1GB percuma hanya terhad untuk pendidikan, produktiviti dan perkhidmatan berkaitan maklumat terpilih.
Data percuma boleh digunakan untuk semua pelanggan pascabayar dan prabayar yang aktif, dan hanya tersedia antara jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Ianya tidak sama seperti tawaran data 1GB percuma ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jumaat lalu menyatakan perkhidmatan internet percuma ini akan disediakan sehingga 31 Disember 2020.
Selain itu beliau berkata, semua pengguna akan dapat mengakses secara percuma tanpa had laman web Kerajaan
serta aplikasi COVID-19 kerajaan, khususnya mySejahtera.
Celcom menyenaraikan beberapa laman web, aplikasi dan perkhidmatan yang tidak boleh diakses menggunakan data percuma itu seperti Mobile Legends, PUBG Mobile, Rise Of Kingdom dan Arena Of Valor untuk kategori permainan video.
Manakala untuk kategori lain seperti muzik, media sosial dan video pula, Celcom menyenaraikan beberapa aplikasi seperti Bigo, Facebook, Instagram, Snapchat, Smule, JOOX, Youtube Music, Netflix, Youtube dan TikTok.
Begitu juga dengan Digi dan Maxis yang menyenaraikan beberapa aplikasi dan perkhidmatan yang hampir sama, kebanyakannya adalah aplikasi utama yang sering menjadi tumpuan pengguna di Malaysia.
Soalan lazim yang dikeluarkan Celcom menyatakan pengguna boleh mula menebus data percuma PENJANA mulai 10 Jun ini dan perlu membuat penebusan sebulan sekali untuk membolehkan ia disediakan secara automatik sehingga hari terakhir bulan penebusan.
Manakala syarikat telekomunikasi lain masih belum jelas mengenai syarat penggunaan data percuma 1 GB dan cara penebusannya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment