Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali membuat lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1), hari ini.
PUTRAJAYA: Sekolah yang merekodkan kes positif COVID-19 dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan boleh diarah tutup dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata tindakan itu adalah antara Prosedur Operasi Standard (SOP) digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penularan wabak dalam komuniti dapat dikawal.
"Kalau ada kes positif, kita akan bawa pesakit ke hospital untuk rawatan dan kontak rapat juga akan disaring sama ada di sekolah atau rumah.
"Oleh itu, kita harap pelaksanaan SOP dapat diteruskan secara konsisten di sekolah dan pelajar menjalani sesi pembelajaran dalam norma baharu.
"Sekiranya ada kes COVID-19 di sekolah terbabit, kita akan menutup sekolah buat sementara dan jika ada peningkatan kes secara mendadak, kita laksanakan PKPD," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1) di sini, hari ini.
Bagi memastikan sekolah konsisten melaksanakan SOP ditetapkan, Dr Noor Azmi berkata, beberapa pegawai KKM, Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemantauan serta pemeriksaan mengejut di 2,000 sekolah di seluruh negara.
Katanya, ia turut merangkumi pemantauan bagi memastikan tiada perhimpunan dilakukan manakala pelajar dan guru menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter.
Dalam lawatannya, Dr Noor Azmi turut mengucapkan tahniah kepada warga sekolah terbabit kerana melaksanakan SOP ditetapkan secara kemas dan rapi.
"Saya berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan, difahamkan persediaan dilakukan hanya dalam tempoh dua minggu oleh pihak sekolah.
"Pada waktu rehat, pelajar tidak ke kantin, sebaliknya makanan dipesan awal sehari dan pihak kantin menghantar makanan terbabit ke kelas.
"Tiada barisan mengambil makanan makan, pelajar makan dalam kelas dan dipantau guru.
"Pihak sekolah juga mengambil inisiatif membuat lorong khusus bagi pelajar ke kelas atau makmal, selain tidak bertembung ketika waktu puncak seperti datang atau pulang dari kelas," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment