Friday 5 June 2020

GARIS PANDUAN PEMBUKAAN SEKOLAH: KESELAMATAN MURID, GURU

Gambar fail menunjukkan pekerja membersihkan persekitaran kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebagai persediaan menjelang pembukaan semula sesi persekolahan. - Foto Faiz Anuar
Gambar fail menunjukkan pekerja membersihkan persekitaran kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebagai persediaan menjelang pembukaan semula sesi persekolahan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah, antara lain mengenai aspek keselamatan murid, guru dan warga sekolah.
Tanggungjawab pentadbir

- Merujuk prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan jangkitan penyakit coronavirus 2019 (COVID-19) di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dikeluarkan oleh KPM pada 13 Mac 2020.
- Memastikan murid, guru dan warga sekolah berada dalam keadaan sihat untuk hadir ke sekolah.
- Pemakluman awal perlu diberikan kepada mereka sebelum sekolah dibuka semula.
- Memastikan saringan demam serta gejala batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas dilakukan terhadap murid, guru dan warga sekolah pada setiap hari di pintu masuk sekolah sebelum sesi persekolahan bermula. Jika mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah. Pentadbir sekolah dibenarkan untuk melaksanakan saringan ini di dalam kawasan sekolah berhampiran dengan pintu masuk utama jika laluan masuk ke sekolah sempit atau berhampiran dengan jalan utama. Ini bagi mengelakkan kesesakan dan ketidakpatuhan kepada penjarakan sosial
- Memastikan masa senggang diperuntukkan bagi pengambilan suhu badan murid yang berjalan kaki atau berbasikal ke sekolah.
- Melantik guru bertugas untuk:
* Mengawal pergerakan murid di pintu masuk utama sekolah semasa tiba dan pulang.
* Memeriksa suhu badan murid menggunakan alat pengimbas suhu badan.
* Mengawal pergerakan murid semasa rehat.
- Memastikan murid, guru dan warga sekolah sentiasa mematuhi penjarakan sosial pada setiap masa dengan pengawasan guru.
- Memastikan hebahan mengenai langkah kebersihan dan keselamatan dibuat melalui siar raya pada waktu pagi, waktu rehat dan sebelum tamat sesi persekolahan setiap hari. Peringatan secara berterusan dilaksanakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
- Memastikan murid, guru dan warga sekolah kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun. Sekiranya tiada air dan sabun, cecair sanitasi tangan (hand sanitizer) boleh digunakan.
- Memastikan guru atau pembantu pengurusan murid membantu Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang perlu memegang bahan bantu belajar (guna sama) seperti gambar rajah timbul dan peralatan khas mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair sanitasi tangan (hand sanitizer).
- Memastikan kedudukan murid dijarakkan dengan selang satu tempat duduk apabila mereka menaiki kenderaan sekolah seperti bas, van atau 'coaster'.
- Mengingatkan murid untuk mematuhi dan menggunakan laluan pergerakan yang disediakan.
- Membekalkan pelitup muka kepada murid yang bergejala dan mereka diasingkan di bilik kesihatan/bilik sakit sementara menunggu ibu bapa atau penjaga membawa mereka pulang.
- Memastikan murid yang mempunyai masalah berkaitan imuniti badan yang rendah sentiasa memakai pelitup muka.
- Memastikan guru bimbingan dan kaunseling melaksanakan Ujian Minda Sihat secara berkala bagi mengenal pasti murid yang terkesan dengan normal baharu di sekolah.
- Memberikan taklimat keselamatan kepada kontraktor pembersihan, pengusaha kantin dan pembekal perkhidmatan makanan bermasak di asrama serta membuat penegasan supaya sentiasa mengingatkan pekerja mereka mengenai perkara berikut:
* Mengimbas suhu badan mereka setiap hari sebelum memulakan tugas.
* Tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah jika bergejala.
* Mematuhi arahan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan prosedur keselamatan yang lain.
* Mengamalkan kebersihan tangan atau 'hand hygiene' (memadai mencuci tangan dengan air bersih dan sabun).
- Memastikan tindakan berikut diambil sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah yang disahkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)
* Mengenal pasti dan menyediakan senarai kontak rapat bagi membantu PKD.
* Memberikan kerjasama kepada anggota PKD.
* Mendapatkan nasihat daripada PKD mengenai keperluan melaksanakan pembasmian kuman di lokasi yang dikenal pasti.
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
- PdP akan berlaku dalam dua kaedah iaitu PdP di sekolah dan PdP di rumah. Murid yang dibenarkan hadir ke sekolah akan mengikuti PdP di sekolah, sementara murid lain akan mengikuti PdP di rumah.
- Pentadbir perlu mengambil tindakan berikut bagi melancarkan pelaksanaan PdP;
* Mengadakan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan PdP;
* Menyusun jadual PdP dengan mengambil kira bilangan kelas yang beroperasi dan kesediaan guru serta murid. Guru yang tidak mengajar kelas peperiksaan turut dilibatkan.
* Melakukan semakan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) bagi menyusun semula perancangan PdP.
* Melaksanakan pemantauan PdP.
* Memberikan bimbingan secara berfokus kepada guru untuk memastikan pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan.
- Guru yang melaksanakan PdP di sekolah hendaklah:
* Merancang pelbagai kaedah penyampaian PdP yang bersesuaian. Kaedah PdP yang boleh
diterokai adalah seperti pembelajaran teradun (blended learning) iaitu gabungan pengajaran
bersemuka dan penggunaan teknologi secara dalam talian.
* Merancang dan melaksanakan aktiviti PdP yang akur kepada keperluan penjarakan sosial.
* Memastikan semua PdP yang dilaksanakan tidak membabitkan aktiviti luar bilik darjah.
* Memastikan semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.
- Guru yang melaksanakan PdP di rumah hendaklah:
* Mempelbagaikan kaedah penyampaian PdP mengikut kreativiti masing-masing berdasarkan kesesuaian setempat.
* Menggunakan kaedah PdP yang bersesuaian seperti pembelajaran dalam talian, TV pendidikan, radio atau media sosial bagi murid yang bersedia untuk mengikuti kaedah pembelajaran terbabit.
* Mengambil kira capaian internet, pemilikan serta keupayaan penggunaan alat peranti dan kesediaan murid untuk melaksanakan PdP secara dalam talian.
* Memberi latihan dalam buku teks, buku kerja atau disediakan sendiri oleh guru bagi murid yang tidak mempunyai akses internet.
* Melaksanakan Pembelajaran Berasaskan Projek dengan menggunakan sumber yang mudah didapati oleh murid sekiranya bersesuaian.
* Menggunakan kaedah serahan bahan PdP di sekolah. Bahan dimasukkan dalam kotak serahan yang diletakkan dalam pondok keselamatan untuk penyerahan dan pengambilan bahan oleh guru dan ibu bapa/penjaga mengikut jadual yang ditetapkan.
* Melaksanakan pentaksiran bilik darjah berdasarkan hasil kerja murid seperti latihan, kuiz dan lain-lain yang boleh dikemukakan secara dalam talian atau serahan tangan.
* Melaksanakan pentaksiran bilik darjah apabila sesi persekolahan bermula bagi murid yang tidak dapat menyerahkan tugasan mereka secara dalam talian atau serahan tangan.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment