Friday 12 June 2020

NORMAL BAHARU, GURU DI SEKOLAH PELAJAR DI RUMAH

Razitah menyerahkan fail tugasan kepada pelajar di parkir sekolah. - Foto NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN.
Razitah menyerahkan fail tugasan kepada pelajar di parkir sekolah.
SLIM RIVER: Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim mengambil inisiatif mengagihkan tugasan secara manual atau pandu lalu kepada pelajar.
Ini berikutan bukan semua pelajar mampu mengaplikasikan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian dan memuat turun aplikasi dalam telefon pintar disebabkan kekurangan liputan internet.
Pengetuanya, Razitah Nurawi, berkata pengagihan tugasan kepada kira-kira 573 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima membabitkan dua fasa, iaitu fasa pertama membabitkan ibu bapa atau pelajar sendiri.
Katanya, fasa kedua dikhaskan kepada ketua kampung dan tok batin yang mewakili pelajar yang tinggal di kawasan yang jauh daripada sekolah.
Beliau berkata, sebelum ini guru juga memberi tugasan pelajar secara dalam talian dan menggunakan aplikasi WhatsApp serta Telegram kepada pelajar.
Bagaimanapun, katanya, kaedah terbabit tidak dapat membabitkkan semua pelajar disebabkan liputan internet dan latar belakang keluarga terutama pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman.
"Tugasan ini sebagai tugasan tambahan kepada pelajar supaya dapat memanfaatkan masa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berada di rumah sebelum dibenarkan menjalani sesi persekolahan.
"Ketika ini, peranan ibu bapa, penjaga, pelajar, ketua kampung dan tok batin amat penting untuk mengambil tugasan pelajar atau anak mereka bagi menyesuaikan diri kaedah pembelajaran dan pengajaran normal baharu.
"Pihak sekolah memberikan tempoh selama seminggu kepada pelajar dan pelajar perlu menyiapkan tugasan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah ini sebelum diserahkan kembali kepada guru," katanya.
Razitah berkata, selepas pelajar menyerahkan tugasan pada minggu berikutnya, guru akan membekalkan tugasan baharu bagi mata pelajaran lain pula.
Katanya, bagi ibu bapa atau penjaga dan pelajar yang tidak berkesempatan mengambil tugasan pada masa ditetapkan itu, mereka perlu mengambil daripada pengawal di pondok keselamatan.
Razitah berkata, kaedah pembelajaran itu diharap mampu membantu pelajar mengisi masa dalam tempoh PKPP di rumah.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment