Wednesday, 24 June 2020

HARGAI SOP INOVATIF DIBUAT SEKOLAH

Notis amalan norma baharu COVID-19 diletakkan di pintu masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) menjelang pembukaan semula sekolah itu selepas ditutup sejak 18 Mac lalu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto BERNAMA
Notis amalan norma baharu COVID-19 diletakkan di pintu masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) menjelang pembukaan semula sekolah itu selepas ditutup sejak 18 Mac lalu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
BERITA gembira buat anak-anak kerana dapat kembali ke sekolah selepas rehat tiga bulan akibat pandemik COVID-19.
Pelajar Tingkatan Lima dan Enam akan kembali ke sekolah hari ini, tetapi tidak dengan cara kebiasaan mereka.
Mereka harus kembali secara berperingkat dan harus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat dikeluarkan kementerian berkenaan.
Tidak ada keraguan bahawa kepulangan mereka akan diuruskan dengan baik apabila mempertimbangkan kematangan pelajar dan kemampuan guru serta pengetua sekolah, di bawah pengawasan Kementerian Pendidikan.
Namun, yang menjadi kebimbangan adalah kepulangan pelajar prasekolah dan mereka di sekolah rendah. Ibu bapa dan guru menyatakan kebimbangan mengenai kesukaran untuk memastikan kanak-kanak kecil mengamalkan penjarakan yang selamat.
Ini mungkin bukan masalah besar di bilik darjah di mana meja dan ruang bermain diletakkan dalam jarak agak jauh, tetapi menjadi cabaran apabila kanak-kanak berada di kantin, tandas atau sementara menunggu kenderaan untuk pulang ke rumah.
Keprihatinan lain ialah sama ada guru dan penjaga cukup terlatih untuk menguatkuasakan normal baharu yang lain dan mengikuti SOP baharu.
Perkara ini boleh menyebabkan tahap tekanan lebih tinggi dalam kalangan guru. Oleh yang demikian, pihak berkuasa menyedari kemungkinan ini dan memberikan perkhidmatan kaunseling kepada guru dan pelajar.
Ini akan membantu sekiranya Kementerian Pendidikan menubuhkan Pusat Maklumat dan Kaunseling untuk memenuhi keperluan guru dan pengetua sekolah.
Kementerian Pendidikan mungkin boleh mempertimbangkan untuk menubuhkan talian khusus untuk menjawab pertanyaan dan menawarkan maklumat yang cepat dan relevan, serta nasihat terutama mengenai perkara yang belum dilindungi SOP tepat pada masanya.
Ketua Pengarah Pendidikan dapat menangani sekolah melalui kenyataan media dari semasa ke semasa dengan memberikan maklumat relevan dan tepat, statistik serta nasihat dan dorongan.
Beliau dapat memberikan penghargaan kepada sekolah teladan, memuji SOP inovatif dibuat sekolah dan menghargai karya guru serta pelajar yang dapat dicontohi.
Bagi pelajar sekolah menengah, Unit Pembangunan Kurikulum dapat memperkenalkan pelajaran mengenai penyakit berjangkit, cara menghindarinya dan bagaimana untuk kekal sihat.
Terdapat juga masalah kos tambahan yang perlu ditanggung sekolah untuk menyediakan alatan pembersih tangan, pelitup muka dan peralatan pelindung diri (PPE) lain.
Mungkin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang aktif dapat membantu?
Terdapat juga masalah lain perlu diperhatikan dan ia persoalan memastikan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja dalam jangka panjang.
Sejauh mana mereka bersedia menghadapi tentangan baharu yang ditimbulkan oleh teknologi berpacu, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI)?
Cabaran baharu ini akan memberi kesan buruk kepada anak-anak sekiranya mereka tidak diberi penjagaan dan bimbingan sewajarnya oleh ibu bapa dan guru.
Atas sebab ini, ibu bapa dan guru mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memantau tahap tekanan anak dan membantu mereka mengatasinya di sekolah mahupun di rumah.
Juga penting untuk mewujudkan persekitaran untuk kanak-kanak memupuk semangat dan saling menyokong antara satu sama lain, dengan rakan sebaya mereka.
Kanak-kanak juga mesti dilindungi daripada kesan penggunaan teknologi maklumat (IT) dan peranti mudah alih yang melampau pada usia awal agar tidak mengundang masalah untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran sosial pada masa depan.
Tan Sri Lee Lam Thye
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment