Friday, 5 June 2020

GARIS PANDUAN PEMBUKAAN SEKOLAH: TANGGUNGJAWAB PENTADBIR, GURU DAN IBU BAPA

Gambar hiasan. - Foto Effendy Rashid
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah yang menetapkan peranan dan tanggungjawab pihak pentadbir sekolah, guru serta ibu bapa atau penjaga.
Peranan dan tanggungjawab umum pihak yang terbabit adalah seperti berikut.


Pentadbir Sekolah
- Memastikan sekolah berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi.
- Memastikan murid, guru dan warga sekolah yang hadir ke sekolah berada dalam keadaan sihat dan selamat.
- Memberikan penerangan dan pendidikan berterusan kepada murid, guru dan warga sekolah mengenai penularan jangkitan COVID-19 dengan memperincikan kepentingan penjagaan kesihatan seperti mencuci tangan dan menggunakan cecair sanitasi tangan , penggunaan pelitup muka apabila perlu serta kepentingan amalan penjarakan sosial.
- Memastikan murid, guru dan warga sekolah mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
- Memastikan murid mendapat akses kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan sokongan dan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan agensi-agensi yang berkaitan.
- Memantau PdP yang dijalankan dan memberikan sokongan yang bersesuaian kepada guru.
- Melaporkan perkembangan pembelajaran murid kepada ibu bapa atau penjaga.
- Membuat keputusan untuk menangani isu pengoperasian sekolah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan serta mengambil kira pandangan pihak yang berkaitan seperti PPD dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Guru
- Menyediakan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) seperti yang digariskan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran.
- Melaksanakan PdP yang bersesuaian dengan kesediaan murid dan situasi semasa.
- Mengingatkan murid untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan penjarakan sosial
- Memaklumkan pentadbir sekolah jika terdapat murid yang bergejala.
Ibu Bapa/Penjaga
- Memastikan anak-anak jagaan berada dalam keadaan sihat, menjaga kebersihan diri dan tidak menunjukkan gejala awal COVID-19 sebelum hadir ke sekolah.
- Membantu anak/anak jagaan belajar mengikut kemampuan ibu bapa/penjaga.
- Memberikan motivasi kepada anak/anak jagaan untuk terus belajar.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment