Thursday, 4 June 2020

GURU AMBIL INISIATIF, HANTAR BAHAN BELAJAR KE RUMAH


MARANG: Menjadikan hentian bas sebagai 'kaunter pandu lalu' dan pergi sendiri ke rumah pelajar terpilih untuk menghantar bahan berjaya meningkatkan pembabitan pelajar sehingga 64 peratus dalam aktiviti pembelajaran.

Itu inisiatif dilakukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan di sini untuk memastikan semua 769 pelajarnya tidak ketinggalan dalam akademik sepanjang tempoh sekolah ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Pengetua SMK Pengkalan Berangan, Kamarulzaman Ismail, berkata inisiatif itu diambil kerana tidak semua pelajar bernasib baik dapat mengikuti mod pengajaran dan pembelajaran (PDP) secara dalam talian dengan lancar sepanjang tempoh itu.

"Kami dapati jumlah pelajar sekolah yang terbabit PDP dalam talian tidak konsisten dan kurang memuaskan. Terdapat beberapa masalah antaranya tiada telefon, berkongsi telefon dengan adik beradik lain, sikap pelajar dan ada memberi alasan menggunakan telefon ibu atau bapa.

"Selain itu, data internet yang terhad dan liputan internet tidak begitu memuaskan di kawasan rumah mereka juga antara kekangan yang terpaksa dihadapi," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi menarik lebih ramai pelajar datang mengambil bahan pembelajaran, sekolah itu turut menawarkan khidmat pinjaman buku perpustakaan untuk bacaan seisi keluarga.

"Pelajar boleh mengambil bahan pembelajaran dari jam 8 pagi hingga 6 petang dengan konsep pandu lalu di hentian bas berhampiran sekolah untuk mengurangkan sentuhan fizikal secara langsung.

"Selain itu, kunjungan ke rumah pelajar terpilih juga bersifat serampang dua mata kerana pada masa sama kita turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga mereka yang terkesan berikutan PKP," katanya.

Kamarulzaman berkata, pihak sekolah menyasarkan pembabitan pelajar meningkat kepada 70 peratus dalam masa terdekat hasil pelaksanaan dua kaedah itu.

"Sebelum ini, kita sarankan pelajar menonton TV pendidikan, namun tidak ramai yang konsisten dan komited melakukannya.

"Malah pengurusan sekolah turut bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) supaya pemantauan dapat dilakukan namun cara ini masih kurang berjaya meningkatkan peratusan pembelajaran sehinggalah kita laksanakan konsep pandu lalu ini untuk mengambil bahan belajar, akhirnya berjaya beri impak positif," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment