Wednesday 3 June 2020

109,617 LEPASAN SPM 2019 LAYAK KE IPTA

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
PUTRAJAYA: Seramai 109,617 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 layak melanjutkan pengajian bagi sesi akademik 2020/2021 di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan surat tawaran rasmi akan dikeluarkan mulai esok.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan tawaran kemasukan adalah ke Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
"Tawaran adalah bagi melanjutkan pengajian peringkat sijil, asasi, matrikulasi, diploma, Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sesi Akademik 2020/2021," kata KPT.
Kenyataan itu menjelaskan, calon yang berjaya perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh lima hari, iaitu selewat-lewatnya pada 8 Jun ini.
"Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web IPTA terbabit. Tarikh pendaftaran pelajar baharu adalah mulai 5 Jun hingga 4 Januari 2021, mengikut IPTA masing-masing.
"Kementerian mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar. Berdasarkan prinsip ini, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA.
"Tiada sistem kuota digunapakai dan sistem ini telah digugurkan sejak sesi pengambilan 2002/2003," katanya.
KPT menegaskan, semua tawaran tempat bagi sesi akademik 2020/2021 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan.
Menurut kenyataan berkenaan, calon yang tidak menerima sebarang tawaran atau gagal boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di alamat http://upu.moe.gov.my.
"Permohonan rayuan melalui UPUOnline dibuka dalam tempoh lima hari bekerja, mulai jam 12 tengah hari 3 Jun sehingga 5 petang 10 Jun.
"Dasar pemilihan rayuan pelajar tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan," kata KPT lagi.
KPT memaklumkan, Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) membuka kemudahan talian mulai hari ini sehingga 10 Jun, dari 8.30 pagi hingga 4 petang untuk memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara.
Pemohon juga boleh menghubungi bahagian berkenaan di Aras 4, No 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62200, Putrajaya melalui talian 03-8870 8200 atau e-mel upu@moe.gov.my.
Melalui aplikasi mudah alih, UPUPocket 2.0 atau Facebook - KEMASUKAN BPKP JPT; Twitter - @TWT_UPU dan Instagram - @KEMASUKANBPKP serta Sistem Maklum Balas : https://online.moe.gov.my/upu/maklumbalas/
Mereka juga boleh membuat semakan melalui pautan (URL) mengikut IPTA yang dimohon.
BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment