Tuesday 23 June 2020

HANYA 20-30 PERATUS MURID IKUTI PDP DALAM TALIAN

Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hanya 20 hingga 30 peratus murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian, sekali gus menjadikan sesi tidak bersemuka atau tanpa hadir ke kelas belum sesuai dilaksana secara menyeluruh di semua sekolah di negara ini.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata banyak kesulitan dan kesan pelaksanaan PdP seperti itu terhadap tahap pemahaman dan penguasaan murid ke atas satu-satu subjek.
Mohd Azizee berkata, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) contohnya, menerusi pelaksanaan PnP dalam talian mendapati ia kurang mendapat sambutan dengan peratusan kehadiran murid dalam sesi itu hanya sekitar 20 hingga 30 peratus.
"Penyertaan pelajar amat rendah sekali. Isu utama berkaitan disiplin murid, manakala persoalan capaian internet dan peranti digunakan, masih boleh diselesaikan.
"Apabila kehadiran murid rendah dalam sesi dalam talian, ia akan menjejaskan tumpuan mereka untuk belajar apatah lagi untuk memahami subjek diajar. Jadi, kaedah bersemuka masih menjadi pilihan ketika ini," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.
Mohd Azizee berkata, dapatan kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bahawa 93 peratus guru memilih mengajar secara bersemuka adalah tepat.
Justeru, Mohd Azizee berkata, sudah tiba masa Kementerian Pendidikan mengenal pasti tempoh masa sesuai supaya sesi persekolahan ini boleh dibuka secara berperingkat.
"Mungkin boleh bermula dengan Tingkatan Empat, kemudian Tingkatan Tiga dan seterusnya. Disebabkan jangkitan COVID-19 sudah beransur pulih, pembukaan sekolah secara berperingkat ini boleh dipertimbangkan.
"Paling utama ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dilaksana. Saya rasa sekolah sudah mampu untuk menerima jumlah kehadiran murid lebih ramai," katanya.
Menyentuh cadangan tiga pedagogi PdP yang diperkenalkan NUTP, iaitu segerak, tak segerak dan offline, beliau berkata, ia boleh dilaksana tetapi bergantung kepada kemampuan pihak sekolah dan guru serta penerimaan murid.
"Pelajar di sekolah asrama penuh tidak sama dengan sekolah harian biasa. Mungkin di asrama penuh boleh dilaksana modul PdP bentuk A atau B, tetapi bagi sekolah harian biasa ia tidak sesuai.
"Jadi penentuan kaedah PdP ini amat bergantung kepada keadaan sekolah, murid dan guru. Namun, kepelbagaian bentuk PdP memang digalakkan dan sudah pun dilaksana di kebanyakan sekolah, namun tidak menyeluruh," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment