MENTERI Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin
Sesi persekolahan akan bermula 24 Jun ini membabitkan kira-kira 2,000 sekolah dan 500,444 pelajar. Ramai gembira dengan pembukaan ini, namun ada juga sangsi dan bimbang. Wartawan BH, Mohd Nasaruddin Parzi, menemubual Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, mengenai penetapan prosedur operasi standard (SOP) yang bakal diuji keberkesanannya.
Soalan (S): Bila sebenarnya perancangan mengenai SOP pembukaan sekolah dimulakan?
Jawapan (J): Kita sudah mula langkah ini pada awal April, iaitu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada 18 Mac. Perbincangan utama pembukaan sekolah kita lakukan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Dalam hal ini, kita tidak mahu tekan KKM. Hanya selepas KKM kata sedia, keadaan COVID-19 sudah reda, baru kita laksana.
Kita bincang terperinci mengenai prosedur operasi standard (SOP) ini. Bagaimana SOP diperkenalkan boleh melindungi pelajar bermula sebaik mereka melangkah masuk ke sekolah. Sebelum kita umumkan, kita datang ke sekolah bagi melihat kesesuaian SOP ini untuk dilaksanakan.
Jadi, saya bermula dengan lawatan ke dua buah sekolah bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM). Selepas itu, baru saya panggil Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah MKN untuk ikut saya dan melihat sama ada SOP ini boleh dilaksana atau tidak. Saya bawa mereka lihat sendiri SOP di kelas, kantin dan sebagainya.
S: Mengapa KPM pilih Rabu untuk mulakan sesi persekolahan, bukannya Isnin?
J: Asasnya berdasarkan satu keputusan strategik. Sebab kita tahu ini adalah operasi yang agak besar membabitkan pergerakan 500,000 pelajar masuk ke sekolah. Ya, kita sudah ada SOP, namun sebaik sekolah dibuka, apakah kita ada masa untuk mengubah SOP ini lagi.
Kita tetapkan buka Rabu dengan Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor, mereka akan ke sekolah pada Rabu dan Khamis. Sementara bagi negeri lain pada Rabu hingga Jumaat. Alasan dia, jika ada apa-apa berlaku, termasuk keperluan untuk kita tambah baik SOP, ia boleh dilakukan pada hujung minggu. Kita ada dua hari cuti untuk perkemas SOP ini.
Akan ada pasukan yang memantau untuk melihat keberkesanan pelaksanaan SOP ini nanti. Apabila sekolah disambung semula pada Isnin (minggu berikutnya), kita sudah laksana penambahbaikan.
S: Apakah ini bermakna SOP akan perubahan lagi?
J: SOP ini membabitkan satu penilaian berterusan. Ini kali pertama kita laksana. Kita akan lihat dan nilai secara berterusan. Pertama kali kita mula iaitu hari pertama sekolah dan kita mahu lihat hasilnya selepas tiga hari sekolah. Sebab itu kita ada waktu pada hujung minggu untuk melihat komponen yang boleh ditambah baik. Apabila bercakap pada penilaian, ini adalah penilaian yang berpanjangan. Tidak ada orang boleh jangka sama ada ia berjaya atau tidak dan apa akan berlaku. Bagi pihak kita, akan cuba yang terbaik supaya setiap SOP dapat dilaksana.
Katakanlah 2,000 sekolah dibuka, kita kenal pasti 10 isu yang perlu diberi perhatian, kita laksana penambahbaikan. Ini lampiran SOP yang perlu kita tambah baik. SOP ini akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
S: Cukupkah tempoh dua minggu untuk sekolah melakukan persiapan?
J: Sebab itu, kita bukan menunggu dekat buka sekolah baru kita edarkan SOP ini. Kita edar sejak Khamis lalu. Alasan kita edar lebih awal supaya pengetua dan guru dapat bayangan apa yang perlu dilaksana. Sebab itu kita bagi awal. Selepas saya dengan Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah MKN meninjau ke sekolah pada Selasa lalu, kita sudah tetapkan buat dulu SOP. Kalau ada perubahan kita akan tambah baik.
Apabila kita melawat hari Selasa itu pun, semua bersetuju dengan SOP yang ada. Pihak sekolah sudah mula membuat usaha untuk memastikan segala perkara yang disebut dalam SOP dipatuhi.
S: Penyediaan SOP itu satu hal, bagaimana pula dengan aspek pematuhan?
J: Saya minta semua pihak termasuk saya sendiri, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) turun ke bawah tanpa memberitahu pihak sekolah. Bukan alasan kita untuk hukum, tidak sama sekali. Supaya kita dapat melihat sendiri persediaan secara 'natural'.
Katakanlah minggu pertama kita buat sampel di 50 sekolah, jadi kita tahu. Tujuan kita minta JPN, PPD dan KKM turun untuk lihat sampel SOP ini, berapa yang sudah dilaksana. Daripada jumlah yang kita pergi, berapa peratus sudah bersedia, berapa masih 50 peratus siap dan berapa yang tidak mula lagi. Jadi kita dapat tahu tahap kesediaan bagaimana.
Kita tak boleh tunggu sehingga 24 Jun. Sebaik SOP diedar, kita dah minta PPD turun untuk sembang dengan pengetua, bincang dengan mereka bagaimana pelaksanaannya. SOP ini nampak mudah, tetapi sebenarnya ia membabitkan operasi besar. Kita cukup teliti hal ini. Kita akan pastikan pemantauan sehingga hari sekolah dibuka.
S: Pemantauan pematuhan SOP bukan mudah. Bagaimana ini dipastikan?
J: Pihak sekolah akan menyusun kaedahnya. Ada guru yang akan bertanggungjawab melaksana pemantauan. Ini memerlukan bukan sahaja pembabitan ibu bapa dan guru, tetapi pelajar. Pelajar perlu memainkan peranan dan guru juga sama. Guru akan memastikan SOP ini dapat dipatuhi. Saya ambil contoh, makan di kantin tidak dibenarkan.
Apa yang tertakluk dalam SOP, pembelian makanan di kantin perlu dibungkus. Pelajar akan beli dan makan dalam kelas. Tujuannya, kita tidak mahu perkumpulan ramai pelajar di kantin. Pelajar ini akan ke kantin secara berperingkat dan guru akan mengawal pergerakan mengikut jadual ditetapkan.
Apabila pelajar makan dalam bilik darjah, ia juga di bawah penguasaan guru. Kalau tidak satu meja kecil, pelajar akan kumpul empat, lima orang. Guru akan pantau, pihak sekolah akan perincikan tugasan ini.
S: Saringan di depan pintu masuk sekolah setiap pagi akan mengambil masa?
J: Ya, seorang guru tidak boleh jaga di pintu masuk. Kalau pelajar ramai memerlukan banyak station untuk mempercepatkan proses saringan. Itu pun kita serahkan kepada pihak sekolah untuk perincikan jumlah guru yang akan bertugas. Benda ini tidak pernah jadi. Itulah sebab untuk menjayakan pelaksanaan SOP, pembabitan semua pihak amat penting.
S: Bukahkan ia menambah beban kerja guru?
J: Kita sedar dalam keadaan ini tanggungjawab sedikit berbeza. Perkara ini kita ambil maklum cuma dalam normal baharu, tidak pernah pun kita lalui situasi begini sebelum ini. Maka, kita perlu bekerja dalam kekangan yang ada.
Contohnya, kalau dulu kelas 35 hingga 40 pelajar, sekarang kelas ditetapkan hanya 20 pelajar, tidak pernah berlaku. Kita memang mahu mengecilkan saiz kelas, tetapi sebab tak cukup sekolah, ia tidak boleh dilaksana. Tetapi situasi ini saya yakin guru amat memahami keadaan baharu yang memerlukan bantuan semua pihak bukan sahaja guru, tetapi pelajar.
S: Bagaimana pula peranan ibu bapa?
J: Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting. Pertama, memastikan anak yang tidak sihat, tidak dihantar ke sekolah, ini cukup penting. Ibu bapa lebih mengetahui keadaan anak-anak di rumah. Kalau tidak sihat ibu bapa mesti mengambil inisiatif supaya mereka duduk di rumah. Kalau perlu dapat rawatan, hantar mereka ke pusat kesihatan. Memang ada di sekolah mekanisme kita untuk memantau, cek suhu dan sebagainya, tetapi risiko akan lebih tinggi.
Jadi di sini, peranan masing-masing sudah berbeza. Seperti masuk ke sekolah sebelah pagi, kita mungkin melaksana kemasukan secara berperingkat pada minggu pertama ini. Berdasarkan trend luar negara, kita tengok ibu bapa cenderung untuk hantar anak ke sekolah. Berbanding menggunakan pengangkutan awam seperti bas. Ini trend di tempat lain. Jadi kita bincang kemasukan awal sekolah ini akan dibuat secara berperingkat. Tingkatan Lima masuk jam berapa, Tingkatan Enam jam berapa. Supaya kawasan jalan tidak sesak. Perkara ini kita perincikan.
S: Guru sudah dibenar ke sekolah, namun majoriti pelajar di rumah, bagaimana pengajaran dan pembelajaran dilaksana?
J: Sekarang juga kaedah pembelajaran sudah mula berubah. Ada yang mengajar menerusi online (dalam talian). Macam Tingkatan Lima dan Enam mereka masuk ke sekolah. Apabila guru kembali ke sekolah nanti, kaedah pembelajaran akan dipelbagaikan. Sebab sudah ada satu lokasi tetap (di sekolah) yang memerlukan ibu bapa contohnya untuk ambil tugasan anak dan sebagainya. Itu terpulang kepada kreativiti setiap guru.
Kita lihat dalam konteks kemasukan awal ini, ada guru yang mengajar kelas lain masih meneruskan peranan mengajar pelajar yang berada di rumah. Saya yakin jika kita mengambil semangat bahawa ini adalah sesuatu yang baharu, sesuatu yang tidak pernah berlaku, untuk menjayakannya, maka kita memerlukan kerjasama semua pihak.
S: Ada kekangan penyediaan SOP di sekolah bandar dan luar bandar?
J: Apabila kita melaksana SOP ini, saya mahu melihat pelaksanaan menyeluruh di sekolah bandar dan luar bandar. Apabila saya ke sekolah, saya lihat semua sekolah boleh ikut SOP ini, memandangkan ia tidak sukar dilaksana.
Contohnya, untuk alat pengukur suhu badan dan hand sanitizer (cecair pembasmi kuman), kita akan beri kepada sekolah. Kita tahu sekolah perlukan ini. Cuma mungkin ada sekolah dapat lebihan dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk tambah bekalan sedia ada.
S: Bilik guru juga sesak. Bagaimana penjarakan sosial ingin dipastikan?
J: Bila kita melawat ke sekolah, keadaan dalam bilik guru agak padat. Namun, setiap sekolah boleh laksana penjarakan sosial kerana mereka ada bilik lain seperti pusat sumber yang boleh berfungsi sebagai bilik guru. Kebanyakan sekolah yang kami lawati sudah mula pindahkan barang-barang ke bilik lain. Penjarakan sosial di sekolah walaupun satu sesi sekalipun, masih ada ruang lain di sekolah yang boleh digunakan sebagai bilik guru. Sebab dalam SOP sudah tetapkan penjarakan sosial turut dilaksana di dalam bilik guru untuk kurangkan risiko.
S: Kenapa pihak berkepentingan termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak dibabitkan?
J: Pelaksanaan SOP ini paling penting adalah KKM. Ini keputusan profesional bukan keputusan berdasarkan sentimen. Sebab itu kita tidak mahu SOP ini dicipta berdasarkan sentimen. SOP mesti dihasilkan oleh mereka yang pakar. Semua perkara yang mesti dilaksana sekolah mesti berdasarkan nasihat daripada data saintifik. Contohnya, cadangan kerja disinfeksi di sekolah, di mana kita buat disinfeksi ini. Hakikatnya, sekolah sudah ditutup lama. Kalau kita mahu buat di 10,000 sekolah, banyak perbelanjaan diperlukan.
Dalam pembentukan SOP, yang paling penting adalah nasihat KKM. Apa yang kita mahu ibu bapa boleh yakin dengan SOP kita dan membenarkan anak mereka ke sekolah. Tetapi, kita akan berhubung dengan pihak bekepentingan selepas ini mungkin berkait hal lain seperti model persekolahan dan sebagainya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment