Thursday 11 June 2020

BUAT UJIAN KHAS PILIH PELAJAR KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH

FOTO hiasan
FOTO hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan disaran merangka ujian khas untuk memilih pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Tentera Diraja (MTD) atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi 2021.
Ia susulan keputusan kerajaan membatalkan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi 2020 berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata ujian khas berkenaan boleh mengadaptasi konsep digunakan MRSM selama ini dalam proses pengambilan pelajar ke institusi pendidikan itu.
"Kerajaan juga disyor supaya menitikberatkan faktor kemiskinan luar bandar dalam menentukan kriteria pengambilan pelajar ke SBP, SMKA, MTD atau MRSM," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau berkata, proses pengambilan pelajar ke SBP, SMKA, Maktab Tentera Diraja (MTD) atau MRSM bagi sesi tahun depan tidak berdepan masalah walaupun UPSR dibatalkan kerana ada kriteria lain ditetapkan.
Bagi murid sekolah rendah, katanya, mereka perlu memenuhi kriteria ditetapkan dalam empat pentaksiran berasingan yang dilakukan secara berterusan mulai Tahun 4 untuk layak memasuki SBP, SMKA, MTD atau MRSM.
Empat pentaksiran berkenaan, katanya, ialah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK); psikometrik; bilik darjah dan keputusan UPSR.
"Penilaian murid untuk kelayakan memasuki SBP, SMKA, MTD atau MRSM masih ada dan tiada masalah untuk melalukan proses pengambilan walaupun UPSR dibatalkan pada tahun ini," katanya.
Pada 15 April lalu, Kementerian Pendidikan dilapor akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan pengambilan pelajar ke SBP, SMKA, MTD atau MRSM yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik.
Terdapat lebih 450,000 calon UPSR dan kira-kira 440,000 calon PT3 tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin memaklumkan, pihaknya belum mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk mengesyorkan tarikh sesuai bagi pembukaan semula sekolah rendah.
Kementerian Pendidikan juga, katanya, belum memberi sebarang makluman atau jangkaan berhubung tempoh pembukaan semula sekolah rendah.
"Ia susulan kekangan dihadapi Kementerian Pendidikan ekoran penularan COVID-19, selain perlu menunggu keputusan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara berhubung isu berkenaan.
"Kita berharap sekolah rendah dapat dibuka kepada murid tahap dua, khususnya bagi murid Tahun 6 supaya ada kesinambungan untuk mereka memasuki ke sekolah menengah nanti.
"Kita berharap pembukaan sekolah rendah bagi kumpulan sasar ini dapat dibuat pada September ini. Guru juga sudah bersedia untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment