Empat guru yang menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech bersama Radzi di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, hari ini.
PUTRAJAYA: "Saya berharap suntikan ini dapat memberi keyakinan kepada semua dan tanda sokongan kepada usaha membasmi penularan wabak COVID-19 dalam negara."
Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1), Badaruddin Yahya, menzahirkan harapan itu selepas menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, hari ini.
Badaruddin, 42, ialah salah seorang daripada empat guru yang menerima suntikan vaksin itu bersama Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, di sini.
Beliau juga adalah antara 55,539 guru seluruh negara yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, disenaraikan sebagai penerima suntikan vaksin pada fasa pertama program imunisasi itu.
"Dalam usaha ke arah kebaikan, kita sebagai guru perlu sokong dan memberi contoh kepada masyarakat.
"Diharapkan vaksinasi ini memberi keyakinan lebih tinggi kepada semua untuk berdepan COVID-19," katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan itu.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sunway, Chan Han Hua, pula bersyukur kerana terpilih menerima vaksin itu walaupun mengaku berasa sedikit gementar sebelum disuntik.
"Perasaan saya bercampur baur. Namun, saya menetapkan fikiran positif untuk mengambil suntikan vaksin itu sebelum kembali ke sekolah dan bersemuka dengan guru serta pelajar, demi keselamatan dan kebaikan bersama," katanya.
Guru Matematik berumur 52 tahun itu berkata, beliau lebih berkeyakinan untuk menerima suntikan berkenaan selepas banyak membaca mengenai wabak COVID-19 dan vaksin, selain mendapat sokongan keluarga.
"Diharapkan pelajar lebih yakin dan berasa selamat untuk kembali ke sekolah selepas guru mendapat suntikan vaksin.
"Ia adalah langkah untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat," katanya.
Guru Bahasa Inggeris dan Jepun di SMK Putrajaya Presint 11(1), P Suguna Devi pula berasa bertuah kerana diberi peluang melindungi diri, keluarga, pelajar dan guru lain dengan menerima suntikan vaksin, hari ini.
"Saya datang dengan keyakinan diri dan rela menerima suntikan vaksin demi melindungi pelajar serta guru di sekolah," katanya.
Guru Tahun Satu di SK Putrajaya Presint 14(1), Che Zaini Mat Daud, berkata keputusan mengambil vaksin dibuat demi kesihatan murid yang akan kembali ke sekolah secara bersemuka pada Isnin ini.
"Mula-mula, saya berasa gemuruh tetapi kembali tenang. Saya berusaha memberanikan diri untuk kebaikan dan kesihatan murid.
"Diharapkan semua guru bersedia menerima vaksin ini. Saya sendiri selesai disuntik vaksin dalam masa tidak sampai 10 saat," katanya.
BERNAMA ONLINE