Friday 14 June 2019

AMBIL PELUANG MENDALAMI ILMU PERTUKARAN TEKNOLOGI

MASZLEE (tengah) bersama Pengurus Besar Intel Malaysia Design Centre, Suresh Kumar (duduk tiga dari kanan) bermesra dengan sebahagian pelajar pada perasmian MOE-Intel Elite Internship Program di Kementerian Pendidikan Putrajaya.
PUTRAJAYA: Pelajar di negara ini digesa mengambil peluang mendalami segala ilmu mengenai pertukaran teknologi dalam industri ketika ini.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ia merangkumi pelbagai bidang, antaranya termasuk penggunaan reka bentuk litar bersepadu (IC) yang mengikut standard industri.
Katanya, kini adalah masa yang sesuai bagi pelajar meningkatkan kemahiran tertentu termasuk aspek penyelesaian masalah.
“Sistem pendidikan global sudah menjalani perubahan yang sangat pesat dan kini kita sedang memasuki zaman Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).
“Ia menekankan pendidikan kelas digital, Internet of Things (IoT) serta Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Latihan Industri MOE-Intel di sini, hari ini, yang disertai 100 pelajar sarjana muda dari enam universiti awam terpilih.
Program itu direka bagi melengkapkan pelajar terpilih dengan pengetahuan standard industri menggunakan perisian Reka Bentuk Automasi Elektronik (EDA) serta semua modul aplikasi.
Mereka juga didedahkan kepada kerja makmal secara praktikal bagi memastikan pelajar dapat menggunakan perisian secara cekap lagi berkesan.
Program selama 10 minggu yang dijadualkan bermula pada 24 Jun ini sehingga 30 Ogos bertempat di Intel Malaysia.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment