Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memberitahu, kementeriannya telah pun menghantar surat ulangan kepada Kementerian Kewangan memohon pertambahan dana melibatkan isu pekerja perkhidmatan keselamatan, bangunan, kebersihan, makanan masak dan lain-lain kerja am.
“Pihak kementerian amat mengambil berat mengenai masalah yang menimpa semua pekerja kontrak ini dan sedang berusaha keras menanganinya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan The Star Online, hari ini.
Isu melibatkan pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan kontrak di sekolah mula timbul pada Januari lalu apabila Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menuntut Kementerian Pendidikan membela nasib pekerja di hampir 10,000 buah sekolah seluruh negara yang telah ditamatkan kontrak.
Koordinator JPKK, R. Mohanarani berkata, kesemua pekerja itu diberhentikan kerja tanpa notis selepas kontraktor baharu yang dilantik Kementerian Pendidikan mengambil alih.
Isu berkenaan kembali hangat apabila Persatuan Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) baru-baru ini mendakwa, kira-kira 45,000 pekerja sektor itu bakal kehilangan pekerjaan susulan format tender baru dilaksanakan Kementerian Pendidikan.
Dalam pada itu, Maszlee berkata, pihaknya telah pun mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berhubung peruntukan tambahan berkenaan pada 3 April lalu, susulan keputusan Kabinet pada 29 Mac.
“Kementerian juga telah mengadakan pertemuan dan berbincang dgn rangkaian pekerja kontrak kerajaan dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan.
“Semua pandangan dan cadangan yang dibangkitkan semasa pertemuan diterima serta dipandang serius,” katanya.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE