Monday, 17 June 2019

DULU IPDA KINI IPGKDA

Ketua Jabatan Pendidikan Khas, Zulkifli Md Isa menyerahkan bendera IPDA kepada Hashim setelah ia diturunkan dengan penuh istiadat dan penghormatan.

JITRA - Suatu sejarah baharu tercipta di Institut Pendidikan Guru (IPDA) Kampus Darulaman apabila bendera institusi pendidikan terulung di Kedah itu diturunkan bagi digantikan dengan bendera Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGKDA).

Kampus yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Perguruan Darulaman (IPDA) menjadi saksi kehibaan penghuninya yang menyanyikan lagu keramat IPDA buat kali terakhir setelah diperkenalkan sejak 1 Jun 1990.

Pengarahnya, Hashim Asman berkata, perubahan yang berlaku hari ini adalah suatu usaha untuk menyeragamkan sistem pentadbiran kesemua 27 buahIPDA di Malaysia.

Menurutnya, logo, lagu dan bendera IPDA yang baharu itu akan menjadi identiti kesemua IPDA yang akan menerajui kecemerlangan pendidikan guru di Malaysia.

"Seperti biasa apabila berlaku suatu perubahan akan lahirlah emosi dan nilai sentimental terutamanya di IPDA ini.

"Walau bagaimanapun perubahan yang dilakukan sudah semestinya untuk kebaikan dan kami sekarang dalam proses melaksanakan transformasi IPDA sehingga tahun 2025," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bendera IPGM di sini semalam.

Hashim bersama ketua-ketua jabatan bergambar kali terakhir bersama bendera IPDA yang berkibar megah selama 29 tahun di kampus berkenaan.
Hashim bersama ketua-ketua jabatan bergambar kali terakhir bersama bendera IPDA yang berkibar megah selama 29 tahun di kampus berkenaan.

Sementara itu, seorang Pensyarah Jabatan Media dan Informasi, Faisal Mohamad turut berkongsi perasaan sedihnya dengan situasi berkenaan.

"Saya merupakan antara batch pertama pelajar di institusi ini pada tahun 1990 dan sekarang berkhidmat di sini sebagai tenaga pengajar.

"Perasaan yang nak digambarkan tu macam biasalah, mesti rasa sayu sebab ada nilai sentimental, lagu tu pula digubah sendiri oleh cikgu Hashim Ahmad iaitu orang yang sama mengubah lagu Guru Malaysia yang bagi kami rentak dia sangat sentimental," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPGKDA Darulaman, Muhammad Syahir Silmie Zainuddin berkata, lagu IPDA merupakan kebanggaan pelajar di sini terutamanya ketika dinyanyikan di kejohanan-kejohanan luar Kedah.

"Contohnya dalam acara sukan setiap kali kami tampil juara, lagu ini akan berkumandang dan semua hadirin akan mendengar lagu ini.

"Hari ini walaupun berasa sedih, kami tetap menerima perubahan ini dengan hati yang terbuka.

"Malah, kami rasa terharu dan bertuah kerana hari ini kami menjadi saksi sejarah ini tercipta dan ia akan tersimpan kemas dalam memori kami," katanya.

SINAR HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment