Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Kementerian Pendidikan, Aidie Jantan berkata, kegiatan kokurilum memberi banyak impak positif kepada murid antaranya mendidik mereka patuh peraturan, memupuk semangat kerja berpasukan dan menepati masa.
"Penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum juga membolehkan mereka memperoleh pelbagai kemahiran insaniah dan mengetengahkan bakat masing-masing di samping melengkapkan diri dengan nilai-nilai murni seperti melakukan kerja sukarela, bantu-membantu serta memberi pertolongan cemas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan Pertandingan Pertolongan Cemas dan Perawatan Kebangsaan Ke-61 anjuran St. John Ambulans Malaysia di SBP Integrasi Gombak, di sini.
Majlis itu turut dihadidiri Pemerintah Agung St. John Ambulans Malaysia, Datuk Lai See Ming dan Pengetua Cemerlang SBP Integrasi Gombak, Nor Hayati Yusoff.
Pertandingan ini bertujuan menonjolkan bakat dan kemahiran murid dalam ilmu pertolongan cemas dan rawatan.
Pemenang pertandingan ini dipilih mewakili Malaysia dalam pertandingan serupa peringkat serantau pada 20 Julai depan.
Sementara itu, Nor Hayati menyifatkan aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah sebagai proses pembelajaran dan pengajaran yang menyeronokkan tetapi amat berkesan dalam membangunkan kemahiran, potensi serta daya saing murid.
"Malah, aktiviti yang dilakukan juga boleh meredakan tekanan akademik dan menyuntik kesegaran dari segi suasana, persekitaran dan rakan baharu," ujarnya. 
UTUSAN MALAYSIA ONLINE