Saturday 29 June 2019

INOVASI LAHIRKAN MURID KREATIF


GAMEL Kit, antara inovasi yang muncul Johan dalam Pertandingan Inovasi Pensyarah bagi kategori Pengajaran dan Pembelajaran Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras. - Foto Ihsan Kampus Ilmu Khas
KUALA LUMPUR: Gamel Kit, antara inovasi yang muncul juara dalam Pertandingan Inovasi Pensyarah bagi kategori Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) sempena Program Majlis Apresiasi dan Karnival Inovasi 2019 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, di sini.
Gamel Kit diilhamkan bertujuan memberi pendedahan dan peluang bermain dengan alat muzik gamelan sebenar yang biasanya diperkenalkan di sekolah menengah.
Turut dinobatkan juara ialah Udel Data bagi kategori Pengurusan serta Splash Kappu bagi kategori siswa guru dalam inovasi alat muzik.
Udel Data ialah sistem pangkalan data yang memerlukan pensyarah memasukkan setiap hasil penyelidikan, penulisan ilmiah, pembentangan dan sumbangan dalam pelbagai peringkat.

PETAH, Johan Horizon Baharu sempena Pertandingan Inovasi Pensyarah bagi kategori Pengajaran dan Pembelajaran, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras. - Foto Ihsan Kampus Ilmu Khas
Sementara itu, Petah turut muncul juara dalam Pertandingan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK).
Petah ialah seni pengucapan awam alaf baharu pernah menggondol pingat emas dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di IPG Kampus Kota Bharu pada April lalu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr Norherani Moning, berkata penyertaan dalam inovasi perlu ditingkatkan demi merancakkan penyelidikan dan penciptaan produk pendidikan bagi melahirkan murid kreatif dan inovatif.
Katanya, inovasi yang dihasilkan perlu diperluaskan ke seluruh negara seperti Modul 10 Minit Perhimpunan (M10MP) dan Petah yang diilhamkan pensyarah IPG Kampus Ilmu Khas.
Beliau berkata, Petah misalnya, bermula pada pertandingan inovasi di peringkat IPG Kampus Ilmu Khas diikuti ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini menyertai pertandingan HBKIK.
“Seiring dengan kemasukan siswa guru mulai awal Jun lalu, mereka perlu mempelajari dan menanamkan keazaman untuk melakukan inovasi dalam bidang kebitaraan masing-masing.
“Pelbagai idea berkaitan pendidikan dan pengurusan boleh dicipta dan dibangunkan bagi menambah baik sistem atau bahan bantu belajar yang lebih efektif untuk manfaat murid,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment