Menurut Ketua Unit Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Negara, Dr. Ihsan Ismail, sekolah tidak boleh lagi hanya menumpukan usaha ke arah melahirkan pelajar yang semata-mata cemerlang akademik, namun sebenarnya tidak memahami ilmu yang mereka pelajari.
Beliau berkata, perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Internet Segala (IoT) sebenarnya menuntut pihak sekolah khususnya guru-guru supaya lebih kreatif dalam menjayakan proses P&P.
“Guru-guru kena adaptasi ilmu semasa, dengan kewujudan IR 4.0 dan IoT, ilmu sedang berkembang sebenarnya.
“Guru-guru kena tambah ilmu, barulah mereka boleh memberi ilmu kepada murid-murid. Kita kena hidupkan balik budaya inovasi dan kreatif di sekolah, “ katanya ketika ditemui pada Karnival STEM 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru di sini hari ini.
Menurut Ihsan, kurangnya budaya inovasi dan kreatif di sekolah menyebabkan semakin ramai pelajar kurang berminat dengan bidang STEM yang sebenarnya menjanjikan masa depan.
“Hakikatnya, pihak industri semakin mencari pekerja dalam bidang STEM hingga ada yang sanggup membuat pelaburan,” katanya.
Beliau sehubungan itu meyambut baik usaha SMK Meru menganjurkan karnival berkenaan buat kali dua.
Menurut Pengetua SMK Meru, Saa’dah Kasiran, penganjuran karnival itu bagi menyahut dasar kerajaan menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan pelajar.
Jelasnya, ia juga untuk menarik minat para pelajar dalam bidang STEM yang pastinya menyediakan kemahiran untuk masa depan mereka.
“Tema sambutan kali ini teknologi hijau kerana kita nak dedahkan pelajar dengan teknologi berkenaan. Di peringkat sekolah kita sudah mulakan dengan mengurangkan penggunaan plastik di kantin,” katanya.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE