Pasukan petugas yang ditubuhkan Dr. Maszlee kini dalam peringkat kajian tentang proses tersebut.
Syabas diucapkan kepada Dr. Maszlee yang berani mengorak langkah penting ini walaupun dihumban dengan segala tohmahan oleh golongan ekstremis Melayu yang hanya berfikir secara sempit dan 'kedekut'.
Malaysia ini milik semua rakyat dan subjek Islam perlu memberi pengiktirafan demikian. Ada yang menuduh bahawa Islam nanti akan dikompromi tetapi saya yang banyak membaca buku, hadis dan tafsir Quran berpandangan bahawa Islam itu luas, progresif dan lebih terbuka dari apa yang difahamkan oleh golongan agamawan tradisional yang tidak faham sistem ekonomi, ilmu, pentadbiran moden serta semangat 'Sustainable Development ' yang dirangka oleh United Nations.
Kita perlu berubah, kalau tidak dunia akan mengubah nasib kita dengan cara memboikot umat Islam dari kemajuan bersama.
Pertama sekali, dalam bab sejarah Islam adalah amat perlu satu mesej utama disajikan kepada pelajar.
Mesej yang satu itu adalah bahawa kebanyakan peperangan antara orang Islam dengan orang Keristian seperti Perang Salib di zaman silam dan zaman moden di antara Islam dan Yahudi ada mempunyai aspek-aspek politik serta agenda-agenda peribadi tokoh politik.
Bukan kesemua sebab musabab adalah antara satu ugama dengan ugama lain. Perkara ini penting agar peristiwa silam tidak dijaja golongan ekstremis bagi agenda mengebom atau membunuh bukan Islam atau menjalin hubungan baik antara manusia.
Sejarah itu banyak interpretasinya dan tidak semestinya ia menjadi pembentuk persepsi negative atau sikap buruk terhadap sesuatu agama, kaum atau individu.
Dalam bab Tauhid perlu satu mesej penting juga. Bahawasanya ugama Islam itu adalah kesinambungan ugama Keristian dan Yahudi. Kesinambungan konsep serta nilai-nilai kemanusiaan yang merentas ketiga-tiga ugama itu perlu dijelaskan.
Janganlah disebutkan ugama-ugama ini telah ‘sesat’ tetapi sebutkan penganutnya membawa ugama tersebut ke jalan yang lain bagi kesenangan diri mereka sendiri dalam kehidupan yang dipilih mereka.
Kita tidak mahu aspek ‘comparative religion’ yang secara Zakir Naik dimuatkan sebagai Islam itu benar dan yang lain itu ‘salah’. Ada orang Melayu yang kurang senang dengan cadangan ini kerana pemikiran mereka adalah kebudak-budakkan walaupun dah ada PhD dari universiti tempatan.
Kita tahu bahawa ilmu itu sesuatu yang kompleks dan mustahil bagi kita semua mendalami kesemuanya. Harus ada ruang ‘doubt’ atau ‘keraguan’ agar kita masih belajar hingga ke liang lahad.
Yang menjadi masalah adalah orang Melayu dan agamawan banyak berfikir dia dah khatam semua ilmu sejarah, agama dan antropologi jadi dia boleh menghukum kiri dan kanan. Ini tidak benar.
Kita harus sajikan ilmu apa yang kita tahu dan tahu apa yang kita tidak tahu. Maka itu dalam bab ini jika diketengahkan kesamaan nilai-nilai kemanusiaan antara agama maka tidaklah umat Islam jadi bongkak dan takbur kononnya dia saja yang betul dan orang lain tidak.
Iman dalam hati boleh tulus kepada satu keyakinan tetapi ilmu akademik tidak boleh sedemikian kerana masyarakat kita akan terperangkap dalam kejumudan intelek.
Dalam bab fikah, harus di jelaskan beberapa perkara penting juga. Di antaranya sikap haram dan halal. Pada masa kini timbul suasana tidak sihat apabila golongan agamawan mengajar bahawa orang bukan Islam adalah ‘najis’ dan ‘kotor’ kesemuanya.
Maka itu tubuh mereka ini tidak layak menyediakan makanan atau memijak karpet masjid. Saya telah banyak mempelajari hadis-hadis Rasulullah dalam banyak kitab tidak pun saya terasa demikian.
Bagaimana pula kita beranggapan seperti ini? Ini tidak lain adalah sifat takbur dan bangga diri yang tersalah tempat. Maka itu timbul isu berbuka puasa di tempat ibadat lain itu kotor sifatnya dari aspek fizikal dan spiritual.
Kalau ini tanggapannya, kalau saya orang bukan Islam, saya akan terasa terhina dan mungkin ‘menyampah’ dengan orang Islam. Bagaimana anak-anak kita nak cari kerja di masa hadapan kalau orang lain mengambil sikap membenci umat Islam yang menganggap orang lain itu kotor sekotornya?
Dalam bab ibadat, saya ingin menyentuh tentang senibina masjid dan perkaitan ibadat dengannya. Subjek ini adalah tesis Kedoktoran saya.
Pertama, perlu didik bahawa penggunaan kubah dan menara adalah sesuatu yang tidak perlu sama sekali. Saya berani menghujah bahawa dalam Islam Rasulullah, kedua-duanya boleh dianggap ‘membazir’ dalam banyak aspek.
Hanya dalam sunnah Melayu sahaja ia dianggap amat perlu. Malah ada seorang professor Melayu di institusi Islam menyindir saya dalam suatu wacana akademik bahawa beliau akan terasa kekurangan spiritual ibadat kalau berada di masjid yang tiada kubah dan menara!
Saya juga terdengar rungutan orang Sikh bahawa di sesebuah negeri, Gurdwara mereka tidak dibenarkan pembinaan kubah kerana ia hanya khusus pada masjid. Ada juga seorang Kristian yang memberitahu saya bahawa bumbung gereja mereka tidak dibenarkan lebih tinggi dari menara masjid.
Saya sudah belajar berpuluh-puluh tahun tentang senibina Islam dan aspek kehidupan serta nilai Islam dari sunnah Rasulullah. Dari mana datangnya persepsi golongan agamawan sedemikian?
Bagi saya perkara-perkara ini akan lebih membuat umat lain membenci Islam tak semena-mena kerana jelas dalam penyelidikan saya Islam Rasulullah tidak bersikap begini. Malah Rasulullah pernah menegur ketinggian menara dan pembinaan kubah yang membazir serta yang ‘menayang’-nayang’ keangkuhan sesuatu bangsa.
Juga dalam bab ini perlu ditegur tentang konsep perkara-perkara yang menganggu ketenteraman dan kemudahan orang lain. Contohnya, apakah ibadat kita diterima Allah jika kita begegas-gegas mengejar Sembahyang Jumaat dan meletak kereta sewenang-wenangnya menganggu laluan trafik?
Apakah afdal kita menyiarkan bacaan Quran pada pembesar suara di pagi hari selama setengah jam lantas menganggu tidur semua orang? Adakah diterima Allah ibadat kita yang seronok mendengar jerit pekik ceramah agama waktu Isyak yang dilaungkan melalui pembesar suara. Rasulullah mengajar kita berdakwah secara hikmah.
Rasulullah juga menegah menyukarkan orang. Contohnya, Rasulullah memarahi imam solat yang memanjangkan bacaan Quran kerana ada orang yang tua, sakit, ada hal serta ibu yang menyusu. Ada seorang tua yang memohon rumahnya dijadikan masjid kerana terlalu jauh bagi beliau datang solat maka Rasulullah bersetuju dan pergi ke rumah beliau serta bersolat di sana untuk mengiktiraf penubuhan masjid qariah.
Umar Ibnu Aziz pun pernah ditegur rakyat biasa apabila beliau membaca Quran dengan kuat untuk membangunkan orang sekeliling untuk solat Tahajud. Rakyat itu berkata kalau nak bagi Allah dengar, maka Allah Maha Mendengar dan kalau nak menunjuk-nunjuk, baik pergi tudur kembalilah! Kisah ini dirakam oleh Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin.
Walaupun ada banyak lagi cadangan pengubahsuaian tetapi saya ingin menutup dengan mesej Dr. Maszlee terhadap masalah sebenar ilmu ugama Islam. Beliau pernah berkata bahawa yang penting dalam pelajaran ugama adalah sikap serta nilai ‘love and empathy’ atau kasih saying serta empati.
Bagi saya, agama Islam kini telah hilang kasih sayang terhadap semua manusia dan hanya menjadi sebuah kelab perkauman. Kita tidak lagi boleh ‘empathise’ atau merasakan diri kita sebagai minoriti atau orang lain yang terpaksa berhadapan dengan kejumudan fikiran sesuatu penganut agama.
Semoga subjek Islam masa depan membina bangsa Malaysia dan jaringan global yang sihat dan bukannya meruntuhkan tali hubungan manusia keseluruhannya.
Profesor Dr. Mohd Tajuddin Mohd Rasdi
School of Architecture and Built Environment
UCSI University

UTUSAN MALAYSIA ONLINE