Friday 28 June 2019

MASUK PLASTIK DEMI KE SEKOLAH


Seorang lelaki membawa pelajar menyeberangi sungai menggunakan plastik di Kampung Huoi Ha, Vietnam
HANOI: Murid di sebuah kampung terpencil di wilayah Dien Bien, Vietnam, terpaksa dimasukkan dalam plastik besar sebelum dibawa berenang menyeberangi sungai yang deras semata-mata untuk ke sekolah.
Beberapa gambar disiarkan Zing.vn menunjukkan kanak-kanak dimasukkan dalam plastik lut sinar sebelum seorang lelaki membawa mereka menyeberangi sungai selebar 20 meter itu.
Kanak-kanak dari kampung Huoi Ha itu dimasukkan dalam plastik berkenaan bagi mengelak pakaian mereka basah.
Ibu bapa kanak-kanak itu pula menunggu dengan penuh debaran di tebing sungai melihat anak mereka dibawa mengharungi arus deras.
Selepas menyeberangi sungai, kanak-kanak terbabit terpaksa berjalan sejauh 15 kilometer untuk ke sekolah.
Penduduk memberitahu, ketika musim kemarau mereka boleh menyeberangi sungai itu menggunakan jambatan sementara atau rakit.
Bagaimanapun, ketika musim hujan, air sungai naik menyebabkan jambatan tidak dapat digunakan dan satu-satu cara untuk menyeberang ialah dengan berenang.
Kampung Huoi Ha mempunyai 500 penduduk, kebanyakannya bekerja sebagai petani.
Kerajaan Vietnam dilaporkan sedang menyiapkan jalan raya ke kampung itu selain jambatan baru untuk kemudahan penduduknya.

HARIAN METRO ONLINE

No comments:

Post a Comment