JANGAN baca tajuk saja dan terus kecam. Itulah 'kelebihan’ orang kita. Malas membaca. Lepas itu malu sendiri dan tidak mahu mengaku salah. Sebab apa malas? Sebab di sekolah dulu tak dengar nasihat guru. Guru suruh baca sampai habis dan fahamkan, dia baca tajuk saja.
Semasa di sekolah rendah dulu, saya pernah beberapa kali dirotan oleh guru termasuk sekali oleh guru besar. Yang paling tidak boleh lupa apabila guru besar merotan tapak tangan saya di hadapan kawan-kawan sekelas lelaki yang saya minati. Orang sekarang panggil crush. Rasa sakit itu boleh saya tahan, tetapi perasaan malu tu tak boleh nak kata.
Saya tidak ingat kenapa saya dirotan ketika itu. Seingat saya tapak tangan saya luka dan parutnya lambat hilang. Guru-guru lain pula ada yang merotan saya kerana tidak bawa buku ke sekolah atau tidak lancar sifir. Tetapi tidaklah pula saya pulang ke rumah mengadu kerana tahu akan dimarah atau dibalun lebih teruk oleh emak.
Dan saya tidak pula merasa marah atau berdendam pada guru-guru tersebut. Selepas dirotan, esoknya saya tetap menunggu di tempat letak kereta guru yang merotan saya itu, apabila sampai saya akan berebut dengan kawan-kawan lain untuk mengangkat barang-barangnya ke bilik guru. Apabila ada guru yang pernah merotan saya tidak keluar kelas kerana sibuk menyemak buku latihan semasa waktu rehat, saya akan mempelawa bekalan makanan saya kepada guru itu.
Semasa di sekolah rendah yang terletak di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur itu. saya sudah biasa melihat rakan sekelas dirotan di tangan atau di punggung. Sehinggakan ada murid lelaki yang letak buku latihan atau buku teks mereka dalam seluar di bahagian punggung, konon bila cikgu rotan taklah rasa sangat.
Mereka yang selalu kena rotan ini, kini sudah pun berjaya. Ada yang jadi peguambela yang hebat, doktor pakar kanak-kanak, juruterbang TUDM, arkitek terkenal yang punya syarikat sendiri dan jurutera di luar negara.
Seingat saya, tak pernahlah ibu bapa mereka datang memarahi cikgu yang merotan anak mereka.
Apa yang hendak saya cakap di sini, dulu bila anak kena rotan, ibu bapa tak masuk campur dan menyerang guru tidak tentu hala. Bukan sampai patah riuk pun dirotan. Biasa-biasa saja. Ibu bapa dulu-dulu pun bukannya jenis tak sayang anak. Tetapi mereka tidaklah over protective sampai anak kena jentik sikit pun mahu buat laporan polis.
Apa beza budak-budak sekolah dulu dengan sekarang? Dulu walau kena balun macam mana pun, mereka tetap menyanjung tinggi guru. Perasaan hormat dan sayang pada guru, bukan dibuat-buat. Semuanya datang dari hati yang amat dalam. Tetap menyapa cikgu yang merotan bila bertembung, memberi salam dan mengucap selamat pagi.
Budak-budak sekarang pula? Mahu mengajak bertumbuk atau kenderaan guru dirosakkan. Paling popular mengadu pada ibu bapa. Minta orang tua mereka datang sekolah untuk back up. Guru dibuat musuh. Nak pergi sekolah, macam nak pergi perang! Yang ibu bapa pula ada segelintir terlalu mendengar saja cakap anak. Walhal di belakang mereka perangai anak berlainan betul semasa di rumah. Ibu bapa sendiri tidak mengenali perangai sebenar anak. Bila cikgu beritahu anak nakal ala samseng, tak mahu percaya. Fikir logiklah, apa yang cikgu boleh dapat dengan memfitnah pelajar mereka sendiri nakal? Mereka ini banyak kerja lain tahu hendak buat.
Kalau ada 40 anak murid, mereka kena memikirkan macam mana hendak jadikan 40 orang anak murid ini pandai, lulus peperiksaan utama dengan cemerlang, menjadi orang berguna dan menjadi kebanggaan ibu bapa.
Yang ibu bapa pula, anak seorang yang nakal itu pun susah nak kawal. Memeningkan kepala cikgu yang kena fikir 39 lagi murid lain yang betul-betul datang ke sekolah hendak belajar ini.
Tak cukup dengan itu, ada pula segelintir ibu bapa, kerjanya asyik salahkan cikgu bila anak tak lulus dalam peperiksaan atau otaknya lembab hendak berfikir. Anak tak mendengar kata di rumah pun disalahkan cikgu. Anak bawa buku banyak ke sekolah pun disalahkan cikgu, bawa buku sikit pun cikgu juga dipersoalkan dalam grup WhatsApp. Semua salah cikgu, ibu bapa tak salah apa pun.
Bila muncul lagi cerita ibu buat laporan polis kerana anak dirotan kerana mengejek gurunya `ah kua’ atau pondan baru-baru ini dan sebelum ini macam-macam laporan polis dan kecaman terhadap guru-guru dibuat kerana mendenda atau merotan murid-muridnya, timbul persoalan, adakah tugas guru hanya mengajar mata pelajaran tertentu di sekolah tanpa perlu menasihat dan menanam nilai-nilai murni dalam diri pelajar?
Kalau ibu bapa mahukan guru mengajar sahaja dan cukup bulan ambil gaji, orang cakap play safe supaya tidak timbul tindakan merotan dan report polis, bolehkah ibu bapa ambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga adab anak-anak supaya menghormati semua orang termasuk mereka sendiri? Sedangkan dalam akaun media sosial anak sendiri pun, ada yang block ibu bapa daripada mengetahui aktiviti mereka di situ. Budak-budak zaman sekarang bukan macam dulu! Pusing dan belitnya, lain macam. Kena selalu pantau!
Kolum CAKAP BIAR TERANG
Fauziah Arof
Kolum CAKAP BIAR TERANG
Fauziah Arof
UTUSAN MALAYSIA ONLINE
No comments:
Post a Comment