Sunday 16 June 2019

SWASTA PERLU BANTU SEKOLAH

DR Maszlee Malik berucap pada Program Seminar Permuafakatan PIBG dan Anugerah PIBK Johor 2019 di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru. 
JOHOR BAHRU: Syarikat swasta patut bersama-sama sektor awam membantu membangunkan infrastruktur di sekolah atau mempertingkat kemahiran guru, mahu pun mengemas kini ilmu kepada pelajar.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pembabitan syarikat korporat di sekolah bukanlah baharu, namun perlu diperbanyak bagi membangunkan pendidikan negara dalam abad ke-21.
“Saya menyeru lebih banyak syarikat korporat dan swasta supaya dapat bersama-sama melaksanakan insiatif ini bagi membangunkan bukan sahaja infrastruktur, malah pembelajaran pelajar.
“Menerusi inisiatif ini juga hartawan di negara kita boleh menyumbang sama. Insiatif mendekati swasta dan korporat juga lebih proaktif untuk membangunkan infrastruktur dan pembelajaran sekolah kita, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru 2019, di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan.
Pada sidang media selepas majlis itu, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, Kementerian Pendidikan akan mengumumkan inisiatif baharu pembabitan swasta di sekolah tidak lama lagi.
Sementara itu, Azman berkata, sebanyak 1,188 sekolah di negeri itu menjadi sekolah rintis Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21).
Katanya, pendekatan lebih kontemporari dengan penggunaan peralatan terkini dalam proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).
“Sejak 2018, Jabatan Pendidikan Negeri mewajibkan semua sekolah di Johor supaya melaksanakan kaedah PAK-21.
“Ia membabitkan pembelajaran 4C 1N, iaitu Komunikasi, Koloborasi, Kreativiti, Kritis dan Nilai dengan semua aktiviti dilaksanakan murid atau pelajar.
“Antara konsep PAK-21, termasuk penggunaan teknologi maklumat (ICT) terutama kemudahan komputer lebih meluas,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment