Friday, 28 June 2019

KES DALAM SEKOLAH : SIAPA BETUL, SIAPA SALAH?


Gambar kecil, Najwa

ISU berkaitan pendidikan sangat dekat dengan masyarakat. Apa sahaja yang berkait dengan sentimen sekolah, guru dan pelajar pasti akan menjadi buah mulut. Apatah lagi jika timbul kes buli dan pelajar didera.
Dulu, apa pun bentuk hukuman yang dikenakan kepada murid tidak pernah menjadi ‘kudis’ kepada mana-mana pihak. Penulis sendiri pernah terkena macam-macam hukuman ketika bergelar pelajar. Pernah dihentam pembaris besar di tengah belakang badan hanya kerana bercakap ketika sesi perhimpunan.
Malah ramai anak murid dulu-dulu yang ‘menjadi orang’ pada masa kini menerima jauh lebih banyak hukuman berbanding murid sekarang. Didenda berdiri atas kerusi berjam-jam, diikat di batang pokok, dijentik atau ditarik telinga sampai merah, ditengking, dicubit, dirotan - itu perkara biasa.
Bezanya murid dahulu tidak berani berkata apa-apa, malah tidak akan sesekali mengadu domba kerana bimbang hukuman daripada ibu bapa akan lebih berganda. Ini kerana pada waktu itu ibu bapa sangat mempercayai guru dan sedar setiap hukuman itu dibuat atas satu matlamat iaitu mendidik.
Namun, seiring dengan perkembangan semasa, kes berkaitan hukuman di sekolah bukan lagi satu perkara biasa. Ramai guru dan pihak sekolah diheret ke mahkamah gara-gara merotan. Bila isu tular, maka hebohlah satu dunia. Ini antara cabaran yang perlu dihadapi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Baru-baru ini, tular kes seorang pelajar perempuan dirotan guru kerana didakwa mengeluarkan perkataan biadab. Kes berlaku di sebuah sekolah menengah di Skudai, Johor dan perkara itu disahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor.
Apabila ia tular maka wujudlah rantaian komen di media sosial oleh pelbagai pihak yang cuba menjadi hakim tak bertauliah. Netizen mencari peluang mengejar populariti dengan menuduh tanpa fakta dan asas. Lebih parah apabila ia berkait dengan isu perkauman.
Bagi kes di Skudai, KPM mengingatkan pihak sekolah supaya elak daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa menyiasat terlebih dahulu. KPM juga memberi jaminan kes akan disiasat secara adil tetapi tidak mustahil situasi serupa boleh berulang dan berlaku di sekolah lain pula.
Bercakap tentang isu disiplin, sebelum tahun 2003, tiada ketetapan khusus mengenai kategori kesalahan disiplin dibuat secara terperinci. Dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975, tidak disenaraikan bentuk kesalahan dalam kategori sederhana dan ringan. Oleh kerana itu, pihak sekolah diberi kuasa menentukan sendiri bentuk kesalahan. Dari segi hukuman, asal tidak mendatangkan kecacatan ia dibenarkan.
Namun, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 mengenai Kuasa Guru Merotan Murid telah mengemas kini senarai dan kategori kesalahan disiplin murid di sekolah mengikut kategori berat, sederhana dan ringan.
Dengan adanya penentuan dan had hukuman disiplin itu, maka pihak sekolah tidak boleh menjatuhkan hukuman melebihi daripada apa yang diperuntukkan. Bermakna, guru dan pihak sekolah tahu akan had mereka.
Persoalannya, dalam kes sebegini siapa yang betul, siapa salah? Penulis tidak mahu membuat sebarang andaian atau justifikasi. Setiap perlakuan pasti mendorong kepada tindakan. Tetapi, apa juga isu yang timbul sama ada di pihak guru mahupun murid-murid, perlu ada jalan penyelesaian.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak pernah menyebut, masalah kemurungan dalam kalangan guru cukup serius terutama mereka yang bertugas di bandar besar.
Malah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebelum ini mendedahkan, kajian yang melibatkan sebanyak 48,258 responden menunjukkan gejala stres dalam kalangan guru berpunca daripada pelbagai faktor.
Antaranya isu keluarga, kewangan, pentadbiran, bebanan tugas, tidak mendapat penghargaan, kekurangan kemahiran dalam menjalankan tugas dan tidak dilatih untuk menangani stres.
Adakah faktor-faktor di atas menjadi pendorong kepada tindakan luar biasa yang diambil guru ketika menghukum murid?
Sedar atau tidak, masalah salah laku pelajar sebenarnya semakin serius kebelakangan ini. Kejadian seperti bergaduh, menyerang malah yang terlibat dalam kancah jenayah semakin banyak. Ini bukan kes terpencil!
Betul, dasar pendidikan sentiasa digubal untuk disesuaikan mengikut situasi dan keadaan semasa. Malah proses pendidikan juga lengkap dengan aspek intelek, jasmani dan rohani. Namun, apakah ia benar-benar memberi kesan dalam membentuk sahsiah dan peribadi pelajar?
KPM perlu teliti isu-isu keruntuhan akhlak ini, mungkin menandakan berlaku kesilapan pada bahagian tertentu dalam sistem pendidikan sama ada secara formal dan tidak. Ibu bapa perlu sedar bahawa pendidikan bukanlah tugas guru dan sekolah semata-mata.
Amanah perlu dipikul secara bersama. Paling penting, tanamkan rasa sayang dan hormat anak-anak kepada guru! Anak-anak akan hilang hormat kepada guru jika ibu bapa keterlaluan melindungi mereka dan akhirnya meletakkan kesalahan sepenuhnya di pihak sekolah.
*Najwa Mohd Ghazali ialah Ketua Unit Perancang Media Sinar Harian
SINAR HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment