Tuesday 18 June 2019

TINJAUAN PANDANGAN RAKYAT TAMBAH BAIK PENDIDIKAN ISLAM


Peneraju PPKPI, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin
KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) akan melaksanakan satu tinjauan dalam talian bagi mendapatkan maklum balas terhadap usaha penambahbaikan ksubjek Pendidikan Islam.
Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan tinjauan itu akan membabitkan semua pemegang taruh sistem pendidikan kebangsaan.
“Tinjauan ini antara lain bagi mendapatkan maklum balas mengenai pengalaman mereka menjalani pembelajaran dan berinteraksi di sekolah kebangsaan.
“Ia bagi melihat pandangan relevan dan sesuai yang boleh diambil kira untuk meningkatkan kualiti mata pelajaran berkenaan. Ia bukanlah satu undian atau petisyen untuk memberikan sebarang tekanan yang tidak wajar.
“PPKPI komited dan jelas dengan tujuan dan keberhasilan utama kajian ini, iaitu untuk memartabatkan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan,” kata kenyataan itu.
Katanya, tarikh akhir untuk semua pihak memberi pandangan atau cadangan adalah pada 15 Julai depan.
Mereka yang ingin memberi pandangan atau cadangan boleh berbuat demikian menerusi https://forms.gle/SeVw82uoR2r8vnfp8.
PPKPI ditubuhkan di bawah MPPK Kementerian Pendidikan, diterajui bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dengan anggotanya dilantik oleh Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
MPPK yang dianggotai 11 ahli berkuat kuasa 11 Ogos 2018 pula adalah badan bebas yang ditubuhkan bagi mengkaji Dasar Pendidikan Negara tanpa campur tangan politik. Ia bersifat profesional dan berperanan menasihati Menteri Pendidikan.
Menurut kenyataan sama, PPKPI yang ditubuhkan pada 15 April lalu, sudah mula melaksanakan pelbagai usaha untuk mendapatkan input mengenai pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Islam terkini.
“Selain mendapatkan input pelbagai agensi dan bahagian di Kementerian Pendidikan, PPKPI sudah dan akan mengadakan pelbagai sesi perbincangan dengan pakar pendidikan, wakil badan bukan kerajaan dan sesi libat urus dengan guru-guru Pendidikan Islam,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment