Jika anda membaca kesusasteraan Melayu tanah air, nama Aminudin Baki tidak dapat disisihkan sebagai tokoh pertama yang menganalisis novel Korban Kesuciannya Keris Mas secara struktural. Analisis itu malah menjadi panduan. Tulisannya tertib dan tersusun. Tulisannya ilmiah, akurat dan rapi. Aminuddin lahir di Chemor, Perak pada 6 Januari 1926. Selepas tamat sekolah rendah, beliau memasuki Sekolah Menengah Chemor pada 1932. Pada 1936 Aminuddin belajar di Sekolah Anderson, Ipoh.
Sejak pelajar lagi sudah tumbuh kesedaran terhadap nasib anak bangsanya yang ketinggalan dalam bidang pelajaran. “Mari kita bersatu dalam persatuan. Kita bangkit dan bercita-cita tinggi. Dengan pelajaran yang baik, kita boleh mengubah diri dan bangsa Melayu,” katanya apabila mendaftar jadi ahli Permi atau nama lengkapnya Persatuan Pelajar Melayu Insaf.
Ada sesuatu yang menarik pada diri Aminuddin yang dilihat oleh ahli persatuan itu, yakni kesungguhan, keazaman dan keikhlasannya. Beliau dipilih menjadi Setiausaha Permi (1946). Walaupun singkat khidmatnya, beliau sudah membuat rencana membantu para pelajar miskin dalam kelas bimbingan, mendapat buku-buku bacaan. Pada 1947, Aminuddin menerima tawaran belajar di Raffles College di Singapura dalam aliran sastera. Beliau lulus ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dan kembali menjadi guru di Sekolah Anderson.
Pada 1950 Aminuddin yang muda belia dan penuh cita-cita ini menjadi Yang Dipertua Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Sewaktu berucap, beliau memuncakkan lagi keinsafan agar mereka berjuang memajukan diri dalam pelajaran. Para pelajar, katanya, boleh berjuang membela bangsa agar bersaing di dunia dengan lebih agresif lagi. “Negara kita kaya raya tapi kekayaan direbut oleh orang luar. Orang Melayu masih hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” Aminuddin begitu sedih menatap nasib anak bangsanya.
“Jangan jadi seperti ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan!” kata-katanya yang tajam itu menyengat hati pelajar-pelajar Melayu di Semenanjung. Dia tidak lupa berkunjung ke daerah-daerah melihat sendiri kemajuan dan kemunduran anak bangsanya.
Aminuddin pada 1952 menyambung pengajian di Universiti London. Dari London, beliau mendengar gerakan politik dan pendidikan sedang bergelora di tanah air. Badan-badan Melayu dan kebudayaan Melayu menganjurkan Kongres Persuratan Melayu. Wartawan, sasterawan, pensyarah, para ustaz, ulama, ahli politik kiri dan kanan bersatu membincangkan perlunya bahasa kebangsaan, bahasa Melayu didaulatkan. Sudah ada resolusi agar Semenanjung mencontohi Indonesia mewujudkan Balai Pustaka, menerbitkan buku-buku ilmu dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Masanya sudah tiba kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajian di Universiti London. Bermulalah era Aminuddi sebagai arkitek pendidikan moden di tanah air.
Di tanah air, guru-guru Melayu menggelegak dengan semangat memajukan bahasa dan pendidikan. Mereka mahu kerajaan membina sekolah menengah Melayu dengan pengantar dalam bahasa Melayu. Di Indonesia sekolah menengahnya dalam bahasa Indonesia (asalnya bahasa Melayu Riau) dan sudah sampai ke peringkat universiti. Di daerah-daerah turut didirikan universiti dan kolej. Jika Indonesia boleh, tentulah kita boleh.
Sesuai dengan hasratnya, Aminuddin ditempatkan di Kementerian Pelajaran, di bawah Menteri Pelajaran, Datuk Abdul Razak Hussein. Dalam usia 36 tahun, beliau menerima tugas baharunya sebagai Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia. Sesuai dengan keputusan Kabinet, Menteri Pelajaran memberikan kepercayaan kepadanya untuk merintis Dasar Pendidikan Negara bagi tujuan mengangkat jati diri bangsa negara.
Laporan Razak 1956 dilaksanakan. Beliau mencadangkan agar Darjah Menengah Melayu yang pengantarnya dalam bahasa Melayu. Sebanyak 52 darjah dimulakan di sekolah menengah Inggeris yang terpilih. Ini melibatkan tahap satu dalam aliran sastera dan tahap dua dalam aliran sains. Aminuddin memilih Sekolah Menengah Alam Shah. Pada 1966 Sijil Tinggi Persekolahan (STP) diwujudkan dalam bahasa Melayu di Alam Shah. Bagi Aminuddin langkah pertama ini bagi memenuhi aspirasi dan misi yang suci.
Apabila ada semakan semula kepada Laporan Razak (1956), sekali lagi Aminuddin memainkan peranan penting dalam Jawatankuasa Penggubal Laporan Razak 1956. Rancangan untuk Darjah Menengah Melayu ini mendapat sokongan bulat daripada kerajaan dan guru-guru Melayu. Malah guru-guru Melayu di bawah pimpinan Cikgu Muhammad Nor Ahmad menganjurkan kutipan derma setiap bulan dalam skim potongan gaji ahli Kesatuan Guru-guru Melayu bagi biaya mewujudkan Kursus Pengajian Melayu di Universiti Malaya.
Pada 1958, ada seramai 500 pelajar diserapkan ke dalam Darjah Menengah Melayu ini tetapi jumlahnya meningkat 150,000 pada 1965. Ini adalah kejayaan Sistem Pendidikan Kebangsaan, arkiteknya Aminuddin yang bekerja keras dengan pegawai-pegawai lain.
Pada 1964 dengan cadangan Aminuddin, kerajaan menghapuskan peperiksaan kelayakan ke sekolah menengah. Dengan pembatalan ini, seramai 150,000 murid darjah 6 layak naik ke tingkatan 1 sehingga ke tingkatan tiga bagi menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP/LCE). Pada peringkat ini barulah mereka diuji dalam peperiksaan. Walaupun duduk di kerusi yang tinggi Aminuddin masih tidak jemu-jemu melaungkan di hadapan pelajar dalam GPMS agar tidak menjadi “Alah sabung, menang sorak, kampung tergadai!” Negara dan maruah bangsa mesti diutamakan!
Perjuangan Aminuddin Baki diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan menyebutnya sebagai The father of modern education in Malaysia’ (Bapa Pendidikan Modern di Malaysia); Beliaulah yang sebenarnya arkitek bagi mendaulatkan pendidikan dalam bahasa kebangsaan pada peringkat menengah dan universiti.
Dalam masa tiga tahun sistem pendidikan kebangsaan menjadi mantap. Aminuddin tidak mengenal siang dan malam bekerja, memikir dan melaksanakan. Seolah-olah hari yang diberikan Tuhan kepadanya tidak memadai. Apa yang menjadi keinsafannya dan GPMS selama ini, menyemai benih Pohon Wibawa Pendidikan Negara kini sudah berbuah. Sudah tentu ada kritikan nakal timbul di sana sini. Menteri Pelajaran menyokong kuat idealisme Aminuddin.
Dalam kerja keras itu, beliau tidak sedar telah mengabaikan kesihatannya. Pada 1 Ramadan 1385 Hijrah bersamaan 24 Disember 1965, Aminuddin jatuh mengejut. Doktor mengesahkan beliau menghidap serangan jantung. Aminuddin menghembuskan nafas akhir dalam usia 39 tahun. Berita duka ini disambut dengan rasa terkejut oleh para pencinta pendidikan seluruh negara terutama ahli GPMS yang mendukung idealisme Tokoh Pedagogi ulung ini. Lebih 1,000 orang menziarahinya di kediamannya termasuk Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Islam Bukit Kiara. Aminuddin Baki sudah lama pergi namun jasa baktinya tetap bersinar abadi.
Oleh : Sn. Dr. Ahmad Kamal Abdullah
UTUSAN MALAYSIA ONLINE
No comments:
Post a Comment