Thursday 30 July 2020

KOLEJ MATRIKULASI, IPG DIBUKA SEMULA OGOS DAN SEPTEMBER DEPAN

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
KUALA LUMPUR: Kolej Matrikulasi akan dibuka semula bulan depan, manakala Institut Pendidikan Guru (IPG) pada September tertakluk kepada garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan kerajaan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi pembukaan semula Kolej Matrikulasi, proses pendaftaran akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari 3 hingga 7 Ogos depan.
"Proses pendaftaran pelajar Kolej Matrikulasi ini membabitkan 30,000 pelajar di 15 kampus.
"Jadi, bagi mengelakkan tempat pendaftaran diserbu serentak, pihak Kementerian Pendidikan menetapkan pendaftaran secara berperingkat.
"Pembelajaran hanya akan bermula seminggu selepas proses pendaftaran," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, IPG yang akan dibuka semula September ini akan membabitkan 5,000 pelajar baharu dan 8,000 pelajar sedia ada.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday 29 July 2020

SEKOLAH MASIH SELAMAT DARI COVID-19

Dr Noor Hisham dalam program Libat Urus Kementerian Kesihatan bersama media. Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Dr Noor Hisham dalam program Libat Urus Kementerian Kesihatan bersama media
PUTRAJAYA: Institusi sekolah masih dilihat sebagai kawasan selamat daripada penularan wabak COVID-19 ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun sekolah dianggap sebagai satu risiko, namun ia boleh diuruskan.
Katanya, jika pihaknya mengesan kes jangkitan berlaku dalam kawasan sekolah, institusi terbabit boleh diambil tindakan menutup sekolah.
"Dari tarikh 10 Jun lalu, tiada kes (jangkitan COVID-19) dikesan di sekolah. Sekolah masih kawasan selamat.
"Apa yang perlu dilakukan ialah dengan memastikan semua menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan jaga cara berinteraksi di sekolah.
"Isu sekarang ini ialah (jangkitan) di luar sekolah. Contohnya, selepas sekolah, ramai berkumpul untuk balik," katanya ketika sesi soal jawab pada program Libat Urus Kementeraian Kesihatan bersama media, hari ini.
Justeru, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi menangani kesesakan di luar sekolah terutama selepas tamat sesi pembelajaran.
"Mungkin boleh lepaskan (murid pulang) secara berperingkat, maka kita boleh kurangkan risiko," katanya.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, kementerian sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk memasukkan aspek kesihatan awam dalam silibus pembelajaran.
BERITA HARIAN ONLINE

Monday 27 July 2020

COVID-19 : SOP HARI RAYA KORBAN


Sumber : Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob


Sunday 26 July 2020

ADA SEKOLAH BERDEPAN MASALAH LAKSANAKAN SOP - NUTP

AMINUDDIN Awang. - Foto/NSTP
AMINUDDIN Awang. 
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak menolak kemungkinan terdapat sekolah dan guru berdepan masalah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) terutama membabitkan murid sekolah rendah.
Presidennya, Aminuddin Awang, berkata sekolah baru dibuka sepenuhnya, 22 julai lalu dan mungkin boleh menyukarkan
operasi dan penjarakan sosial seperti mempunyai ruang terhad dan jumlah murid yang ramai.
"Sekolah baru dibuka tiga hari lalu dan kita boleh nampak ada sedikit masalah terutama bagi menguruskan murid Tahun 1, 2 dan 3.
"Mungkin juga ada sedikit masalah dari sudut operasi, bagaimana pihak guru menguruskan sesi menyukat suhu.
"Ini berikutan ada sekolah terletak di tepi jalan dan dengan jumlah pelajar yang ramai tidak ada ruang cukup bagi penjarakan sosial dan pihak kami sedar masalah itu," katanya kepada BH, hari ini.
Aminuddin berkata, bagaimanapun, pihaknya melihat guru menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan murid patuh kepada SOP.
"Setakat ini, NUTP tidak menerima rungutan guru dan belum ada aduan. Semua aspek dilihat lancar sejak pembukaan semula sekolah sepenuhnya, cuma ibu bapa perlu menunjukkan teladan dengan menjaga penjarakan sosial supaya pematuhan ini diteruskan di luar sekolah," katanya.
Beliau berkata, setakat ini model penggiliran dua sesi juga tidak dilihat memberikan masalah besar atau membebankan guru.
"Maklumat dari pihak Kementerian Pendidikan (KPM), majoriti sekolah beroperasi satu sesi.
"Setakat ini, tiada halangan dari segi operasi kerana tidak banyak sekolah menggunakan sistem penggiliran ini. Cuma 57 sekolah melaksanakannya bagi memastikan penjarakan sosial berlaku," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, tidak sepatutnya timbul isu mengenai bekalan penyukat suhu tidak mencukupi di sekolah kerana KPM menyediakan peruntukan bagi pembelian peranti itu.
"KPM sudah memberikan peruntukan bagi penyukat suhu di atas nisbah, satu alat untuk 50 orang murid.
"Sepatutnya tidak ada isu kerana semua sekolah dapat (peruntukkan) dan membelinya untuk kegunaan di sekolah," katanya.
Beliau turut mengulas kemungkinan berlaku ketidakpatuhan SOP peniaga yang menjual makanan di luar pagar sekolah.
"Penjaja dilarang menjual dalam lingkungan jarak 40 meter dari pagar sekolah. Jadi, dalam hal ini, bagi peniaga yang menjual makanan dalam jarak berkenaan, di luar radar sekolah.
"Pematuhan SOP sudah luar daripada kawalan guru dan kuasa pihak sekolah. Pihak berkuasa tempatan (PBT) berperanan memastikan pematuhan SOP itu," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Friday 24 July 2020

PENGGUNA MEDIA SOSIAL BEBAS GUNA PLATFORM SEDIA ADA - KKMM


Sumber : Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah

MINDA PEMBACA : GURU PERLU KUASAI TEKNOLOGI DIGITAL PENUHI TUNTUTAN PdP

Proses PdP dilaksanakan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai aplikasi tersedia. - Foto hiasan
Proses PdP dilaksanakan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai aplikasi tersedia.
JIKA dahulu, peranti telekomunikasi seperti telefon pintar dan gajet dilarang untuk dibawa ke sekolah. Kini, perkara sebaliknya berlaku apabila dunia pendidikan perlu diakses secara dalam talian dan kelas boleh dilaksanakan di mana-mana tempat yang mempunyai capaian internet.
Krisis global akibat penularan wabak COVID-19 bukan sahaja menyebabkan pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka tertangguh, bahkan menjadikan tugasan guru semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu.
Ia menuntut proses PdP dilaksanakan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai aplikasi tersedia. Contohnya WhatApps, Zoom dan Cisco Webex.
Mengambil kira konteks pendidikan masa kini, ia memerlukan guru untuk memiliki tahap literasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Bertemakan 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' sambutan Hari Guru tahun ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu dan modal insan berguna untuk memajukan negara yang lebih aman dan sejahtera pada masa akan datang.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu, sebelum dilanjutkan ke beberapa fasa sehingga kini memasuki pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), guru tidak duduk diam.
Sebaliknya, mereka terus mencurah ilmu menerusi PdP dalam talian. Oleh itu, guru perlu lebih mendalami ilmu teknologi yang baharu dengan menggunakan cara lebih efektif untuk berkomunikasi dengan pelajar.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berpendapat warga pendidik, khususnya guru, perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan mengenai penguasaan dalam teknologi digital yang baharu dan menguasai ilmu berkaitan e-pembelajaran supaya lebih senang untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Kesiapsiagaan ini akan dapat dilihat perubahannya dari aspek pengajaran, pentaksiran dan penyampaian ilmu yang mencabar tugas keguruan.
Perkara yang paling penting ialah kita perlu memastikan pelajar tidak hilang semangat untuk menimba ilmu dan guru juga tidak hilang semangat untuk menyampaikan ilmu.
Kepada semua guru di Malaysia, meskipun tiada sorak sorai dan kegirangan anak murid serta pelajar meraikan Hari Guru di sekolah kali ini, penghayatan bagi menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa pastinya sentiasa tersemat di hati setiap orang.
Jasa insan bergelar pendidik ini amat besar dan setiap orang menginsafi hakikat bahawa kehadiran guru dalam kehidupan banyak membentuk keperibadian dan keterampilan seseorang untuk menjadi manusia berguna.
Ong Yao Ping,
Universiti Utara Malaysia
BERITA HARIAN ONLINE

Thursday 23 July 2020

TEACHERS, LECTURERS WORRIED OVER FINAS LICENCE ISSUE



KUALA LUMPUR: Many teachers and lecturers are troubled by reports saying all videos published on social media platforms require a licence by the National Film Development Corporation (Finas), former education minister Dr Maszlee Malik claimed.

The Simpang Renggam Member of Parliament said he received many messages from teachers and lecturers nationwide since morning expressing their concern to him over the news.

"These educators have been using social media platforms to upload videos and doing live videos as part of their online teaching initiative during the Movement Control Order (MCO) since March.

"Many teachers and lecturers have been texting me and asked me if this is true because they are worried about the implications," he told a press conference at the Parliament here today.

Maszlee called on Communications and Multimedia Minister Datuk Saifuddin Abdullah to provide an explanation over the matter.

"If we make a blanket policy like this, it can slow down creative industry among the youths and I see this as a regressive approach because our students still need online teaching materials since not all of them are able to return to their respective universities," he said.

In the morning, Saifuddin had told the House that all film producers must apply for a Film Production Licence and a Filming Authentication Certificate (SPP) regardless if the production is meant for traditional or social media platforms.

He said the licence and SPP could be obtained through Finas.

He cited Section 22 (1) of the Finas Act 1981 (Act 244) which stated that "no person shall engage in any activities of production, distribution or exhibition of films or any combination of those activities as specified in subsection 21(1) unless there is in force a licence authorising him to do the same."

"Therefore, it is compulsory for film producers to apply for the Film Production Licence and the SPP, whether they are from mainstream media agencies or personal media producing a film on social media platforms or through traditional channels.

"Film is interpreted under Section 2 of the Finas Act 1981 as 'films' (which) includes feature films, short films, short subject films, trailers, documentaries, advertising filmlets and any recording on material of any kind, including video tapes and video discs, of moving images, accompanied or unaccompanied by sound, for viewing by the public or any class of the public," he said.


NEW STRAITS TIMES ONLINE

MINDA PEMBACA : PERKENAL PROGRAM KESELAMATAN, KESIHATAN DI SEKOLAH

Kementerian Pendidikan diseru supaya dapat memperkenalkan program khususnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah. - Foto NSTP
Kementerian Pendidikan diseru supaya dapat memperkenalkan program khususnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah.
BARU-BARU ini seorang guru sekolah berusia 54 tahun dari Sekolah Kebangsaan Batu Gajah di Tanah Merah, Kelantan maut akibat terjatuh dari balkoni tingkat 1 bangunan sekolah berkenaan.
Kejadian itu berlaku ketika beliau sedang memeriksa bekalan air untuk sinki di sekolah. Insiden menyayat hati ini mesti dipandang serius oleh Kementerian Pendidikan.
Allahyarham Rosli Abdul Aziz menjalankan tugasnya ketika membuat persiapan terakhir untuk pembukaan semula sekolah yang sekian lama ditutup kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Tragedi seperti ini dapat dielak sekiranya konsep keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dipraktikkan di sekolah.
Berdasarkan tragedi terbaru ini, saya ingin menyeru agar Kementerian Pendidikan dapat memperkenalkan program khususnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah.
Ia penting sebagai sebahagian usaha untuk memberi kesedaran dan meningkatkan keselamatan di tempat kerja di sekolah kepada semua guru dan kakitangan.
Program ini wajar dilaksanakan memandangkan sekolah sebagai tempat kerja sesuai dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.
Undang-undang ini merangkumi semua industri yang menggunakan 'orang di tempat kerja' dan 'yang lain'.
Dalam kes sekolah, terma 'orang yang bekerja' adalah guru, pentadbiran dan staf sokongan yang lain. Sementara terma 'yang lain' merujuk mereka yang dipengaruhi oleh aktiviti orang yang bekerja terutamanya pelajar.
Penerapan OSHA 1994 ke sekolah sebagai tempat kerja bertujuan menjadikan sekolah selamat dan sihat untuk guru, pelajar dan pelawat.
Matlamat utama program ini adalah bertujuan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan bagi mereka yang bekerja.
Selain itu ia juga bertujuan melindungi pelajar daripada risiko keselamatan dan kesihatan yang berkaitan aktiviti orang di tempat kerja.
Program OSH juga mampu mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat (pejabat, makmal, kantin, tandas, asrama, padang dan lain-lain) sesuai dengan psikologi dan fisiologi orang yang bekerja.
Kesedaran OSH tidak boleh terhad kepada guru dan kakitangan sekolah sahaja, tetapi turut diterapkan kepada pelajar.
Ini dapat dilakukan melalui pendidikan, kesedaran, latihan dan pameran. Latihan dan penyebaran maklumat adalah elemen utama dalam memastikan bahawa pekerja mengetahui risiko yang mereka hadapi di tempat kerja dan cara bekerja dengan selamat untuk menangani risiko berkenaan.
Selain itu, memupuk kesedaran pada peringkat awal seperti di sekolah sangat penting dalam mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat.
Diharapkan program OSH di sekolah dapat memberi manfaat kepada pelajar yang akan membentuk tenaga kerja masa depan negara dan akhirnya menyumbang untuk menjadikan keselamatan di tempat kerja sebagai budaya dan cara hidup.
Melalui latihan, pendidikan serta promosi keselamatan dan kesihatan, pihak sekolah akan lebih menyedari potensi bahaya keselamatan dan kesihatan di semua bahagian sekolah dan lebih bersedia menghadapinya.
Kerja penyelenggaraan untuk semua bangunan sekolah dan kemudahan lain juga harus diberi perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan dengan menyediakan kakitangan teknikal yang lebih mahir di semua sekolah daripada bergantung kepada guru semata-mata untuk melakukannya.
Tan Sri Lee Lam Thye
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday 22 July 2020

PENDIDIKAN RUKUN NEGARA DITERAPKAN DI SEKOLAH

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique.
KUALA LUMPUR: Pendidikan rukun negara akan diserapkan semula dalam kurikulum sekolah, selari usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan antara rakyat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique, ketika mengumumkan perancangan itu berkata langkah itu sedang diteliti bersama dengan Kementerian Pendidikan.
"Kalau dulu kita ada pendidikan sivik, masa saya dulu ada pendidikan tata negara, kita nak masukkan balik supaya dapat dipertimbangkan, terutama daripada Kementerian Pendidikan.
"Kita nak serapkan balik pendidikan ini (Rukun Negara) di sekolah rendah dan menengah, selain aktiviti sekretariat Rukun Negara bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai sama ada pendidikan sivik yang pelaksanaannya ditangguhkan pada 2003 akan dikembalikan dalam kurikulum pengajian di sekolah.
Kepada soalan tambahan Datuk Seri Rohani Karim (GPS-Batang Lupar) berhubung perancangan kerajaan untuk mengekalkan status Kuching sebagai bandar raya perpaduan, Halimah berkata, pencapaian yang dilakar pada 1 Ogos 2015 itu akan dijadikan penanda aras terhadap usaha selanjutnya.
"Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tentukan 148 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, termasuk enam hibrid, bermaksud 154 PBT dalam mewujudkan program secara bersama.
"Menerusi pendekatan ini, lebih banyak lagi bandaraya perpaduan berupaya 'dilahirkan' pada masa akan datang," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai langkah penguatkuasaan bagi mengekang perbuatan mencetuskan provokasi dengan memanipulasi isu perkauman dan agama, Halimah berkata kerajaan mempunyai peruntukan perundangan berkaitan untuk mengawal polemik sedemikian.
Bagaimanapun, katanya, kaedah lebih 'lembut' akan diberi keutamaan untuk menyemarakkan perpaduan, berbanding menggunakan kaedah punitif menerusi undang-undang sedia ada.
BERITA HARIAN ONLINE

36.9 PERATUS MURID TIDAK ADA PERANTI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengakui wujud jurang digital dalam kalangan murid luar bandar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata ini kerana sebahagian murid tidak memiliki peranti bersesuaian bagi membolehkan pembelajaran dapat diikuti dengan berkesan.
Katanya, maklumat itu diperoleh hasil Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian yang dilaksanakan oleh kementerian antara 28 Mac hingga 2 April lalu.
Beliau berkata, kajian itu membabitkan 670,118 responden terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 murid, yang mana enam peratus murid mempunyai komputer peribadi; 9.3 peratus (memiliki komputer riba); 5.8 peratus (tablet) dan 46.5 peratus (telefon pintar).
"Ada juga murid yang memiliki lebih daripada satu peranti bagi kegunaan pembelajaran secara dalam talian.
"Namun, ada 36.9 peratus murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai usaha dilakukan bagi memastikan murid luar bandar dan pedalaman tidak tercicir sepanjang PKP akibat jurang digital.
Mohd Radzi berkata, aspek tahap akses internet terhad juga menjadi antara cabaran besar kerana pembelajaran tidak dapat berlaku secara menyeluruh dan seragam kepada semua murid.
"Selain itu, pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah sesuatu yang baharu untuk kebanyakan guru, murid dan ibu bapa, justeru mereka masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kaedah baharu ini," katanya.
Beliau berkata, bagi membantu kumpulan murid yang tidak mempunyai akses kepada talian internet dan alat peranti bersesuaian, kaedah 'Homebased Learning' turut dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan.
Katanya, siaran dilaksanakan melalui saluran TV Okey dan saluran Tutor TV Astro.
"Guru turut melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid terutama yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.
"Serahan bahan ini dibuat melalui pelbagai kaedah seperti perkhidmatan pos, bantuan penghantaran oleh Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dankaunter pandu lalu di sekolah," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday 21 July 2020

PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH DIDAKWA RASUAH

SEREMBAN: Seorang pegawai pendidikan daerah (PPD) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini, atas tuduhan menerima wang tunai RM6,000 dalam urusan pemilihan pembekal dan penyediaan makanan daripada seorang kontraktor pada 2016.
Tertuduh, Faridah Din, 54, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan itu dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Madihah Harullah.
Berdasarkan pertuduhan, Faridah pada jam 7.15 malam 6 April 2016 di sebuah restoran di Sikamat, Seremban, yang bertugas di Institut Perguruan Kampus Raja Melewar (IPGKRM) Seremban sebagai penyelaras Program Transformasi Minda anjuran IPGKRM pada 14 Mac 2016 hingga 18 Mac 2016, menerima wang tunai berjumlah RM6,000 daripada kontraktor, Zainal Abidin Abdul Wahab, yang juga pemilik syarikat Mas Zee Enterprise.
Tertuduh mengetahui bahawa Zainal mempunyai hubungan dengannya selaku penyelaras Program Transformasi Minda yang bertanggungjawab menguruskan hal berkaitan kerja pemilihan pembekal dan menyediakan makanan yang dianugerahkan kepada syarikat milik Zainal.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165, Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Prosiding pendakwaan itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahaya, memohon agar mahkamah mengenakan jaminan RM12,000 dengan syarat perlu melaporkan diri ke SPRM setiap bulan.
Tertuduh yang diwakili peguam bela, Datuk Hanif Hassan, memohon agar mahkamah mengenakan jaminan yang minimum, memandangkan tertuduh masih dalam perkhidmatan dan sepanjang tempoh sejak 2016, tertuduh akur kepada syarat yang dikenakan SPRM, walaupun tanpa jaminan wang dikenakan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan syarat perlu melaporkan diri kepada SPRM pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes itu.
BERITA HARIAN ONLINE

TIADA KEPUTUSAN BAHARU BERKAITAN PEMBUKAAN SEKOLAH

Gambar hiasan
Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang keputusan baharu mengenai kemasukan semula pelajar ke sekolah walaupun peningkatan semula kes jangkitan COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, berkata buat masa ini, keputusan sedia ada masih terpakai.
Katanya, Kementerian Pendidikan belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu dan tertakluk kepada arahan awal mengenai pembukaan sesi pembelajaran dan pengajaran yang sudah diputuskan sebelum ini.
"Tiada keputusan baharu masih lagi dengan membenarkan pelajar ke sekolah seperti diputuskan sebelum ini," katanya dalam sidang media di Parlimen di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, beliau percaya bukan hanya sektor sekolah, tetapi sektor lain jika ada kes sudah pasti yang akan diambil keputusan dibuat sesuai dengan situasi semasa dan lokasi.
"Pada masa ini, semua pihak perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dan amalkan penjarakan sosial serta kawalan kendiri," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Monday 20 July 2020

COVID-19 : PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI [PERKEMBANGAN TERKINI PKPP]




Sumber : Bernama Online

SELESAIKAN ISU JURANG CAPAIAN INTERNET ANTARA SEKOLAH

Foto BERNAMA
Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian dan teknologi digital dalam bidang pendidikan perlu diperkemaskan, terutama dari segi capaian internet.
Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) berkata ketika lebih 10,000 sekolah ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, lebih lima juta pelajar sekolah rendah dan menengah tidak dapat ke sekolah, justeru ada antara mereka yang mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Bagaimanapun katanya, kaedah itu hanya dapat dilaksanakan di sesetengah kawasan yang tidak mempunyai masalah internet.
"Dalam negara kita, ada empat kluster pendidikan iaitu pelajar di bandar, separa bandar, luar bandar dan pedalaman, yang mana bukan hanya di Sabah di Sarawak, tetapi juga kawasan di Semenanjung.
"Salah satu usaha berterusan adalah mempertingkatkan kebolehcapaian internet, bukan hanya dari zaman Barisan Nasional (BN) tapi juga di zaman Pakatan Harapan (PH).
Sekarang ini, saya amat yakin kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha mempertingkatkannya.
"Jadi, saya minta jawapan daripada Menteri Pendidikan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, sejauh mana capaian (internet) dan apakah usaha untuk memberi capaian tertinggi, khususnya di luar bandar serta pedalaman untuk membolehkan ketika COVID-19 ini, anak-anak di rumah boleh berhubung dengan guru mereka.
"Saya pasti ada kawasan anak-anak di kampung dan pedalaman tidak dapat (berhubung) kerana masalah capaian internet ini," katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Mahdzir turut meminta Kementerian Pendidikan mengkaji perkara berkaitan memberi kuasa autonomi kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk membuat keputusan, yang antara lain mengenai pentadbiran dan tenaga kerja yang perlu diputuskan segera.
Beliau mencadangkan penubuhan satu majlis membabitkan agensi di pelbagai kementerian supaya dapat sama-sama memainkan peranan dalam menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada rakyat yang terjejas akibat COVID-19.
BERITA HARIAN ONLINE

Sunday 19 July 2020

Saturday 18 July 2020

PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH CERMIN KEPRIHATINAN TERHADAP PELAJAR LUAR BANDAR


Radzi berucap ketika lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di Sandakan, hari ini. - Foto Twitter
Radzi berucap ketika lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di Sandakan, hari ini
SANDAKAN: Pembukaan semula sesi persekolahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar, khususnya di luar bandar yang berdepan masalah capaian internet untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata walaupun kementerian berusaha mencari jalan untuk menangani masalah itu, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sesi persekolahan secara berperingkat dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19.
"Kami sedar mengenai kekangan dihadapi pelajar di luar bandar. Selain (akses) internet, kebanyakan pelajar tidak mempunyai gajet seperti komputer riba yang boleh mereka gunakan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
"Jadi, kami (kerajaan) memutuskan membuka semula sesi persekolahan kerana kami tahu banyak pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, tidak dapat berkomunikasi dengan guru mereka atau menerima bahan pembelajaran walaupun pelbagai usaha diambil untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di sini, hari ini.
Dalam rangka lawatan dua hari beliau ke Sandakan, Radzi berkata beliau melawat beberapa sekolah di daerah itu dan berpuas hari bahawa mereka mematuhi SOP sepanjang tiga fasa pertama pembukaan sekolah, termasuk pengendalian asrama sekolah.
Pembukaan semula sesi persekolahan bermula dengan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas pada 24 Jun, diikuti prasekolah pada 1 Julai serta Tingkatan 1-4 dan Tingkatan Enam Rendah dan murid Tahun Lima dan Enam pada 15 Julai, manakala murid Tahun 1-4 dijadual kembali ke sekolah pada 22 Julai. 
BERITA HARIAN ONLINE

MINDA PEMBACA : SYOR PEMBELAJARAN BERASAS MASALAH DI SEKOLAH

SEKOLAH di seluruh negara mula dibuka secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM). Pembukaan sekolah dalam suasana normal baharu tentu memerlukan kawalan teratur dan tegas kerana jika berlaku penularan dalam kluster sekolah proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) akan terganggu dalam jangka panjang.
Ini akan menimbulkan kegusaran ibu bapa dan tentu kehadiran pelajar ke sekolah menjadi tidak menentu. Namun, perkara luar jangkaan ini sudah difikirkan dalam pengurusan risiko peringkat tertinggi KPM dan KKM.
Pelaksanaan PdP di sekolah memerlukan pendekatan lebih berkesan dan mudah dalam keadaan negara masih berdepan COVID-19. Pendekatan itu perlu disesuaikan dengan kurikulum kebangsaan.
Bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak pendekatan penyampaian pembelajaran diutarakan pakar pendidikan negara. Namun, pendekatan penyampaian pembelajaran perlu dipelbagaikan sesuai dengan keupayaan pelajar menerima dan membiasakan diri dengan suasana normal baharu.
Contohnya, kaedah segerak, tidak segerak dan offline yang semuanya berteraskan penggunaan media. Begitu juga pembelajaran teradun menggabungkan pembelajaran di kelas dan dalam talian hingga pelajar dapat mengawal masa, kadar dan tempat pembelajaran mereka.
Pembelajaran teradun perlu dirancang guru yang menentukan kombinasi sesuai untuk mereka dan pelajar. Semua pendekatan atau kaedah ini sudah dan pernah dilakukan ketika fasa awal PKP di seluruh negara tempoh hari.
Pendekatan itu mungkin lebih sesuai dilaksana pada peringkat pengajian tinggi. Dengan keadaan penerimaan dan keupayaan diri serta penggunaan media penyampai dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negara, pembelajaran berasaskan masalah dirasakan lebih mudah pelaksanaannya walaupun pada asasnya media sebagai alat pengantaraannya.
Pembelajaran berasaskan masalah (PBM) antara pilihan yang ada untuk dicadangkan dilaksanakan, selain pembelajaran lain. Proses pembelajaran sedia ada dengan hasil pembelajaran kebiasaannya itu ditekankan dalam bentuk daya ingatan, pengetahuan dan kefahaman.
Proses pembelajaran boleh juga dilakukan kepada individu dan kolaboratif antara pelajar dengan bantuan keluarga dan masyarakat. Ini memberi gambaran pendekatan pembelajaran berasaskan masalah agak berbeza.
Menurut pakar dan perunding dan ketua jurulatih utama dari Malaysian Assocation Of Problem-Based Learning, masalah dunia sebenar dijadikan asas kepada pembelajaran. Keperluan menambah elemen dalam talian dalam kurikulum guru di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) seperti disebutkan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim ialah perkembangan baik dan berguna kepada bakal guru dan guru sedia ada.
Pendedahan kursus jangka pendek melalui dalam talian bukan sahaja menjimat kos dan masa, bahkan membentuk budaya proses pembelajaran sepanjang hayat.
Masalah dunia sebenar dijadikan elemen asas kepada pendekatan pembelajaran berasaskan masalah. Masalah ini kemudian direka bentuk semula menjadi masalah autentik dan dikemukakan kepada pelajar untuk dipelajari secara aktif dan kolaboratif.
Pendekatan diagnostik atau inkuiri khusus dilatih kepada pelajar untuk mereka gunakan dalam proses pembelajaran. Walau pun pendekatan ini diguna pakai dalam kebanyakan mata pelajaran, penekanan cara lebih berkesan belum diusahakan.
Di KPM dan universiti awam (UA) tentunya lebih arif dalam bidang ini dan sudah ada dilaksanakannya. Pendekatan diagnostik atau inkuiri ini dijalankan berkumpulan dengan pelajar akan membabitkan diri secara aktif dan reaktif dalam proses sumbang saran bagi memahami senario masalah dikemukakan.
Menurut jurulatih utama perunding berkenaan, pelajar akan meneruskan proses pembelajaran secara terarah kendiri untuk meneroka ilmu, kemahiran dan nilai berkaitan hasil diagnostik atau inkuiri yang dijalankan sebelum itu.
Selepas itu, pelajar akan membabitkan diri dengan proses pembelajaran secara proaktif dan preaktif dengan ilmu, kemahiran dan nilai baharu akan diterokai dan dibina.
Masalah akan timbul pada peringkat sekolah dengan keupayaan dan pencapaian pelajar berbeza. Sama ada dalam masa proses pembelajaran mahu pun kemahiran dan menguasai penggunaan media meskipun telefon bimbit sentiasa berada dalam pegangan dan kawalan mereka. Mencari data dan fakta tentunya masih ramai teraba-raba. Bantuan ibu bapa atau ahli keluarga dan masyarakat setempat amat diperlukan jika pendekatan ini ingin diguna pakai.
Apakah perlu diadakan kursus penggunaan cara berkesan telefon bimbit dalam menjadikan ia antara medium pembelajaran. Bagaimana dan cara mana ia diberi ruang kepenggunaannya di sekolah dan di luar sekolah. Perlu diingat larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit masih berkuat kuasa pada peringkat sekolah.
Kesimpulannya, pembelajaran berasaskan masalah ini perlu disusun sesuai dengan kurikulum pembelajaran di sekolah yang dicadangkan di sekolah perlu diwujudkan satu jawatankuasa pendekatan pembelajaran yang diselia Guru Penolong Kanan Akademik atau yang setara dengannya.
Justeru, perlu diadakan sesi penerangan atau kursus jangka pendek dan menyelia kajian tindakan permasalahan pelaksanaan pembelajaran berasaskan masalah di sekolah dalam kalangan guru dan pelajar supaya ia lebih berkesan pelaksanaannya.
Jadikan pembelajaran berasaskan masalah elemen penting dalam pembelajaran dalam era normal baharu.
Zulkifli Ab Latiff,
Ayer Baloi, Pontian

BERITA HARIAN ONLINE

Friday 17 July 2020

COVID-19 : FEN- PERSEDIAN MENGHADAPI MORATARIUM YANG AKAN BERAKHIR


Sumber : AKPK, Ahli Jaringan Pendidikan Kewangan FEN

NGO SOKONG KEPUTUSAN KERAJAAN TIDAK LAKSANA SEMULA PPSMI

15 persatuan berkaitan pelajar, pendidikan dan bahasa di negara ini berpendapat, tiada keperluan melaksanakan semula Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berikutan Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBBI) yang digunakan kini mula memperlihatkan kesan positifnya.- Foto fail NSTP
15 persatuan berkaitan pelajar, pendidikan dan bahasa di negara ini berpendapat, tiada keperluan melaksanakan semula Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berikutan Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBBI) yang digunakan kini mula memperlihatkan kesan positifnya.
KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pendidikan untuk tidak akan melaksanakan semula Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah suatu tindakan tepat kerana kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan, kegagalan program berkenaan.
Sokongan itu disuarakan 15 persatuan berkaitan pelajar, pendidikan dan bahasa di negara ini yang berpendapat, bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan semula PPSMI berikutan Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBBI) yang digunakan kini mula memperlihatkan kesan positifnya.
Persatuan yang menyatakan sokongan itu antaranya, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Penasihat PLM, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata Kementerian Pendidikan semasa di bawah teraju Tan Sri Muhyiddin pada tahun 2011 sudah memutuskan pemansuhan PPSMI selepas kajian yang dilakukan pelbagai institusi bahasa dan pendidikan, menunjukkan kesilapan dan kegagalan program itu.
"Semua kajian menunjukkan bahawa PPSMI tidak berjaya mencapai hasrat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
"Malah di sebalik perbelanjaan besar yang melebihi RM5 bilion, pencapaian PPSMI hanya sekitar tiga peratus dan menyebabkan kemerosotan yang nyata bagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
"Rata-rata kajian menunjukkan bahawa lebih 70 peratus pelajar dan guru tidak menganggap PPSMI sebagai program yang tepat bagi hasrat peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, " katanya melalui kenyataan secara bersama, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam sidang Dewan Rakyat menerusi jawapan bertulis menjelaskan pendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak meneruskan pelaksanaan PPSMI di sekolah sebagaimana dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.
Mohd Radzi berkata demikian menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang), yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan alasan untuk memperkenalkan semula PPSMI dan penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahan terdahulu.
Sementara itu, kenyataan bersama itu menyebut, pencapaian pelajar negara dalam ujian antarabangsa yang berkaitan dengan Sains dan Matematik seperti Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) merosot dengan ketara sesudah pelaksanaan PPSMI.
Katanya, kesan buruk PPSMI terlihat juga dalam kemerosotan minat pelajar untuk memilih aliran sains sehingga hanya kira-kira 25 peratus sahaja jumlahnya dan masalah itu menimbulkan kesan kepada jumlah pelajar Sains dan Teknologi di institut pengajian tinggi (IPT) yang juga merosot.
"Pakar bahasa dan pendidikan sudah menawarkan penyelesaian dengan meningkatkan penambahbaikan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri, yang meliputi bidang kurikulum, latihan guru, pedagogi atau kaedah pengajaran dan bahan ajar.
"Selain itu, DBP juga menubuhkan pasukan yang diketuai oleh pakar pendidikan, iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron untuk mengemukakan langkah praktis dalam peningkatan pengajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam, untuk dimanfaatkan oleh pihak kementerian," katanya.
Sementara itu beliau berkata, Program Dwibahasa (DLP) juga perlu dinilai semula pelaksanaannya kerana mewujudkan polarisasi dalam kalangan pelajar, di mana terdapat sejumlah pelajar mengikuti Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan sebahagian lagi dalam bahasa Melayu.
Katanya, selain itu, DLP menjelaskan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama penghantar pendidikan negara sebagaimana yang dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996.
BERITA HARIAN ONLINE

PPSMI TIDAK AKAN DIPERKENALKAN SEMULA

Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin Menteri Pendidikan - Pendidik2u
Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak berhasrat untuk memperkenalkan semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan alasan untuk memperkenalkan semula PPSMI dan penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahan terdahulu.
Kepada soalan lain, Radzi berkata keputusan Jemaah Menteri sebelum ini berkenaan tiga muka surat pengenalan Jawi dalam sukatan buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil adalah dikekalkan.
Jemaah Menteri juga memutuskan agar pengenalan tulisan Jawi dilaksanakan di SJK dan sekolah mubaligh bantuan kerajaan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta murid, katanya.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut), Radzi berkata kementerian memperuntukkan RM57.88 juta untuk perolehan peralatan, bahan keselamatan dan kebersihan yang mencukupi bagi kegunaan sekolah dalam mengawal penularan COVID-19.
Radzi berkata peruntukan itu telah disalurkan kepada jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah.
"Namun, kementerian bersedia untuk menyediakan peruntukan sekiranya terdapat keperluan tambahan bagi tujuan tersebut," katanya.
BERNAMA ONLINE