Monday, 20 April 2020

AGENDA DIGITAL TUNJANG PEMBANGUNAN PASCA COVID-19


TIADA siapa menjangkakan COVID-19 mengubah landskap dunia hingga setiap negara terpaksa mendakap segera kebiasaan baharu demi kesinambungan rakyat. Sesiapa kurang persediaan dan lambat bertindak, pasti ketinggalan serta terpinggir apatah lagi pada era teknologi digital.
Demi menjayakan agenda digital negara, Januari lalu, teknologi 5G dilancarkan dan bakal dinikmati mulai 2021. Ia membawa penambahbaikan bukan sahaja kelajuan, bahkan persediaan penggunaan teknologi baharu yang tidak terjangka.

Alangkah terkejut keadaan tidak terjangka berlaku lebih awal apabila rakyat secara drastik mula melakukan kerja dari rumah, pembelajaran maya, pembelian dalam talian dan hiburan kerana mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19.
Implikasinya, keupayaan kapasiti jalur lebar negara turut teruji apabila aliran trafik internet meningkat 23.5 peratus pada minggu pertama PKP, 8.6 peratus (minggu kedua) dan menurun sedikit 1.6 peratus (minggu ketiga).
Tanda aras penggunaan internet ketika PKP membayangkan tahap keperluan infrastruktur fizikal melalui peningkatan kapasiti jalur lebar, pengoptimuman rangkaian dan pewujudan kesalinghubungan digital bagi menyokong pergantungan kepada internet ketika di ambang Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Tanpa disedari, kita sudah melangkah ke era itu dan persediaan kerajaan selama ini memudahcarakan urusan rakyat dan negara hari ini. Rakyat dan komuniti perniagaan sudah mula celik keperluan digitalisasi dalam kehidupan.
Adakah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) RM400 juta bagi pengukuhan prestasi rangkaian telekomunikasi terhenti selepas ini?
Mengambil iktibar daripada pandemik ini, ada kewajaran meletakkan agenda digital sebagai tunjang dalam rancangan pembangunan negara 5 tahun pasca COVID-19 melalui Rancangan Malaysia Ke-12 hingga agenda ini direalisasikan sepenuhnya.
Urusan dan interaksi rakyat, komuniti perniagaan serta kerajaan berlaku secara maya setanding negara maju lain, terutama China.
Berdasarkan Laporan International Institute for Management Development (IMD) World Digital Competitiveness 2019, ilmu pengetahuan, teknologi dan ketersediaan menghadapi masa hadapan ialah tiga indikator utama pengukuran daya saing digital sesebuah negara.
Daripada 63 negara, Malaysia berada pada kedudukan ke-26 meningkat satu anak tangga berbanding tahun sebelumnya dengan skor 82.39 peratus.
Kerajaan, rakyat dan komuniti perniagaan penggerak utama indikator ini dalam mengubah penarafan negara daripada kedudukan ke-26 kepada lebih baik.
Kemunculan IR4.0 dengan pelbagai teknologi bersifat disruptif akan mempengaruhi jangkaan dan persepsi terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Kritikal dalam menghadapi senario baharu ini ialah keupayaan penjawat awam memberi reaksi segera dari segi penggubalan dasar, regulasi baharu merangkumi hak dan privasi pelanggan, perniagaan, ekonomi, keselamatan, pendidikan, pengurusan, keusahawanan, pertanian dan pentadbiran.
Inisiatif memupuk minda dan budaya mesra teknologi dalam sistem pentadbiran negara dan sistem kehidupan rakyat sebenarnya sudah bermula sejak 1990-an melalui pengenalan Koridor Raya Multimedia di bawah aplikasi perdana, Kerajaan Elektronik.
Bersediakah kita berubah kepada minda digital untuk memasuki fasa IR4.0 lebih canggih?
Apabila agenda digital sebahagian agenda negara, ia membawa cabaran pelaksanaan segenap urusan pentadbiran negara di bawah kementerian dan agensinya.
Lantas, mendigitalkan urusan pentadbiran negara ini bukan semata-mata menterjemahkan secara literal sistem, proses dan prosedur kerja manual kepada penggunaan teknologi tanpa terlebih dahulu dilakukan proses perekayasaan.
Inisiatif merekayasa sistem, proses dan prosedur kerja perlu dilakukan secara agresif dan konsisten menyokong inisiatif pendigitalan ini agar benar-benar memberikan impak, terutama penjimatan dari segi sumber manusia, kos dan masa kepada kerajaan dan komuniti perniagaan.
Pendigitalan berfungsi sebagai pemboleh daya ekonomi kerana dengan teknologi digital seperti analisis data raya, kecerdasan buatan, internet untuk segala-galanya dan pengkomputeran awan.
Mengarusperdanakan agenda digital dalam pentadbiran bukan sahaja menyentuh ketersediaan infrastruktur dan kesiapsiagaan kerajaan, rakyat dan komuniti perniagaan, bahkan daya ketahanan dan kematangan turut teruji.
Apatah lagi berhadapan isu pelaksanaan semasa yang pasti wujud dan tidak mustahil muncul satu lagi masalah berskala krisis perlu ditangani.
Justeru, penilaian risiko dan jangkaan mitigasi harus diberikan perhatian agar semua pihak bersedia dan tidak terperangkap.
Persoalannya, apakah 1.6 juta penjawat awam bersedia mengadaptasi ilmu pengetahuan, minda dan budaya baharu berteraskan teknologi digital dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan? Apakah rakyat dan komuniti perniagaan menunjukkan penerimaan positif terhadap perubahan ini?
Jawapannya, terpulang kepada kesediaan minda penjawat awam, rakyat dan komuniti perniagaan untuk bermigrasi ke minda digital. COVID-19 yang melanda ini hanya pemangkin kejayaan agenda nasional IR4.0.
Sebagai institusi latihan dan pembelajaran sektor awam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sentiasa bersedia melalui penawaran beberapa kursus antaranya Big Data Series: Analytics/Data Driven Decision Making for Managers dan Cloud Computing Adoption Strategy.
Ia untuk pemantapan sikap, ilmu pengetahuan dan kemahiran digital demi memenuhi keperluan sumber manusia perkhidmatan awam masa hadapan.
Melalui Kluster Inovasi Teknologi Pengurusan (i-IMATEC), penambahbaikan berterusan kursus berorientasikan teknologi digital dilakukan sejajar desakan keperluan persekitaran dinamik.
Dr Mohd Yussuf Al Fahmey Abdul Rahim
Felo Penyelidikan, Kluster Pembangunan Kepakaran,
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment