Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan berucap dalam video Majlis Perasmian Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 di Face Book KL Baca
KUALA LUMPUR: Semua program sambutan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 akan dibuat secara maya melalui media sosial rasminya, KL Baca, bermula hari ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata sebahagian daripada lebih 400 aktiviti disusun sepanjang KLWBC terpaksa diubahsuai berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Pengubahsuaian terhadap program sepanjang KLWBC dibuat sehingga keadaan kembali selamat untuk kita berada di luar.
"Justeru, semua program hanya akan dilaksanakan secara maya melalui media sosial rasmi, KL Baca," katanya dalam Majlis Perasmian Kuala Lumpur Ibu Kota Dunia 2020 melalui media sosial rasminya, hari ini.
Nor Hisham berkata, pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu ialah penghormatan terbesar kepada negara.
"Hari ini, menandakan permulaan Kuala Lumpur menerajui Ibu Kota Buku Dunia Ke-20, mengambil alih dari Kota Sharjah yang melakukannya dengan sangat baik pada tahun lalu.
"Apabila semua lapisan masyarakat diberi peluang membaca, ia akan menjadikan kita lebih bermaklumat, lebih berbudaya dan lebih peduli," katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan yang serba mencabar ini dengan semua rakyat berada di rumah, ia memerlukan daya kreativiti pengarang, penyair, pengilustrasi dan penerbit kandungan bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Koordinator Program Ibu Kota Buku Dunia UNESCO, Ian Denison, berkata Malaysia berkemampuan untuk mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dengan komitmen signifikan yang ditunjukkan secara konsisten.
"Kuala Lumpur berdepan kesulitan untuk melaksanakan aktiviti perbukuan dalam situasi pandemik COVID-19 dengan ekonomi industri buku turut sama terjejas pada ketika ini.
"Bagaimanapun, UNESCO akan memberikan sokongan yang teguh kepada Malaysia bagi menjayakan KLWBC," katanya.
KLWBC2020 menampilkan tema Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan dengan sambutannya bermula hari ini serentak dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.
Setiap tahun, UNESCO memilih ibu kota dan kota raya dari seluruh dunia sebagai Ibu Kota Buku Dunia yang akan mempromosi buku dan membaca serta menganjurkan aktiviti sepanjang tahun.
Sebanyak 20 kota dinobatkan gelaran itu sejak 2001 dengan Kuala Lumpur mengikuti Sharjah pada 2019, dan Athens (2018). Pemenang sebelum ini termasuklah Madrid pada 2001; Iskandariah (2002); New Delhi (2003); Anvers (2004); Montreal (2005); Turin (2006); Bogota (2007); Amsterdam (2008); Beirut (2009); Ljubljana (2010); Buenos Aires (2011); Erevan (2012); Bangkok (2013); Port Harcourt (2014); Incheon (2015) dan Wroclaw (2016).
Permohonan oleh Kuala Lumpur diterima oleh Jawatankuasa Penasihat yang merangkumi perwakilan daripada Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA); Persekutuan Antarabangsa Persatuan Perpustakaan (IFLA) dan UNESCO.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment