Thursday 16 April 2020

PKP: PERTIMBANG CADANGAN RADIO PENDIDIKAN


Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR: Pembelajaran menerusi siaran radio antara mekanisme yang sedang diteliti Kementerian Pendidikan, khususnya bagi masyarakat di luar bandar dan kawasan pedalaman.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, mengakui segelintir kawasan pedalaman dan luar bandar berdepan kekangan capaian internet serta jalur lebar pada kadar mencukupi untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan mempertimbangkan segenap alternatif, termasuk menggunakan siaran radio khas bagi memastikan tiada masyarakat yang tercicir daripada arus pendidikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Memang itu pun (penggunaan siaran radio khas pendidikan) kita bincangkan, justeru kerajaan menggalakkan mana-mana kaedah pembelajaran yang bersesuaian.
“Antara perkara yang harus dibanggakan mengenai guru kita adalah mereka sentiasa inovatif dan kreatif dalam memastikan setiap anak murid terus mendapat pendidikan, biar apa pun rintangan melanda.
“Jadi, kita ikut kesesuaian dan kekangan sedia ada bersandarkan faktor geografi, kemudahan serta keberkesanan sesi pembelajaran,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, semalam mendedahkan statistik menerusi kajian kementerian yang menyaksikan 36.9 peratus murid di seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti elektronik, sekali gus bakal merencatkan sesi pembelajaran secara dalam talian.
Kajian membabitkan 670,000 ibu bapa dengan 900,000 murid itu turut merekodkan hanya 46 peratus mempunyai telefon pintar, komputer peribadi (enam peratus), tablet (5.67 peratus) dan komputer riba (sembilan peratus).
Mengambil kira faktor kekangan sedemikian, wujud cadangan supaya kementerian menggunakan Rancangan Radio Pendidikan (RRP) seperti di Sarawak, khususnya bagi murid yang berada di kawasan pedalaman dan luar bandar.
RRP Sarawak asalnya diwujudkan pada 1958 dan dikenali sebagai Perkhidmatan Penyiaran Sekolah (SB) pada waktu itu, selain memberi penekanan pada Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Penambahan rancangan kemudian dibuat untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Cina, Bahasa Iban, Pendidikan Islam, Sejarah, Musik dan lain-lain bagi pembelajaran sekolah rendah serta menengah.
Selari kepentingan aspek pendidikan, Hang Soon berkata, pembelajaran wajar diteruskan, meskipun sesi persekolahan mungkin ditangguhkan berikutan risiko penularan COVID-19 di Malaysia.
“Kalau kita lihat beberapa laporan di luar negara, ada sekolah yang dibuka untuk beberapa hari, kemudian kembali ditutup kerana khuatir dengan risiko penularan COVID-19.
“Malah, laporan berkenaan mengatakan ada segelintir ibu bapa di luar negara yang rasa seperti anak mereka dijadikan ‘tikus makmal’ selepas negara luar membuka semula sekolah.
“Oleh itu, kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku kerana keselamatan adalah keutamaan kerajaan, tetapi kita juga ingin pastikan sesi pembelajaran tidak terhenti,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment