Thursday, 16 April 2020

PANDEMIK UJI KESEDIAAN PEMBELAJARAN DIGITAL

PANDEMIK COVID-19 menyebabkan masyarakat global terpaksa berubah normal dan gaya hidup mereka, sekali gus keluar daripada kebiasaan sedia ada.
Bidang pendidikan tidak terkecuali apabila implikasi COVID-19 mengubah struktur sistem pembelajaran yang berpaksikan guru-murid secara langsung kepada kaedah pembelajaran secara dalam talian.
Kementerian Pendidikan perlu segera mengenal pasti senario yang mungkin berlaku, sekali gus merangka persediaan menghadapi cabaran demi melonjakkan kelestarian pendidikan.
Tiga isu besar perlu dilihat dan diambil kira, khususnya hakikat COVID-19 mengubah cara pembelajaran berjuta-juta murid di seluruh dunia, termasuk murid di negara ini.
Murid terpaksa melalui pembelajaran secara e-pembelajaran, sekali gus menuntut kerajaan menyediakan akses capaian internet berkualiti dan penyediaan infrastruktur yang cukup serta lengkap agar semua murid mendapat pendidikan dari kota hingga ke desa.
Di China misalnya, 120 juta rakyat mereka mendapat akses pembelajaran melalui siaran langsung TV Pendidikan. Sebahagian negara seperti Hong Kong pula memulakan pembelajaran di rumah menggunakan aplikasi interaktif.
Ini meningkatkan penggunaan peranti pintar dan perluasan capaian internet. Kita di Malaysia diperkenalkan TV Okay untuk menangani jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar agar semua murid mendapat hak pendidikan dan pembelajaran.
Isu kedua, setiap negara di seluruh dunia sedang merancang dan memikirkan inovasi baharu dalam menyelesaikan isu pendidikan global.
Apakah inovasi baharu ini memberikan impak positif atau keterlewatan kita memberi tindak balas akan menyebabkan pendidikan kita ketinggalan. Pendidikan alaf baharu menekankan keperluan Revolosi Industri 4.0 dan mencipta pemikiran kecerdasan buatan (AI).
Sejauh mana pandemik COVID-19 membuka ufuk pendigitalan kaedah pendidikan dan mempercepatkan proses keilmuan melalui e-buku, e-pembelajaran, e-data dan sebagainya serta penciptaan teknologi baharu aplikasi pendidikan agar maklumat tersebar dengan mudah dan cekap.
Isu ketiga, bagaimana memanfaatkan penggunaan teknologi digital untuk membangunkan sistem pendidikan digital secara holistik yang memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat.
Usaha ini perlu membabitkan jaringan kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta. Syarikat telekomunikasi seperti Telekom dan YTL perlu dilibatkan bagi menjayakan gagasan besar ini dalam pelbagai format.
Ia juga perlu dengan menggembleng semua pemegang taruh pendidikan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, syarikat teknologi, pakar pendidikan dan teknokrat untuk memberikan idea serta menghasilkan cadangan bernas melalui platform digital ke arah penghasilan sistem pendidikan digital ketika kita menghadapi krisis sebegini.
Kewujudan industri perfileman digital seperti Netflix dan Iflix boleh dimanfaatkan bagi menghadapi cabaran masa depan agar kaedah pembelajaran menjadi menarik dan berkesan.
Kesan pandemik ini, kita lihat bagaimana Kerajaan China berusaha membangunkan platform pembelajaran dan penyiaran dalam talian berasaskan awan baru (new cloud based) serta menaik taraf infrastruktur pendidikan melalui kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat.
Namun, di sebalik keghairahan ini, kita tidak harus melupakan Dasar Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan rakyat Malaysia berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab.
Mereka juga berupaya mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Impak COVID-19 akan mempengaruhi sistem pendidikan negara, bahkan ia cabaran perlu ditangani sebaiknya. Jika tidak diurus cabaran ini, ia akan membawa kepada ancaman.
Justeru, kita mesti menjadikan cabaran sebagai peluang membina inovasi pembelajaran dan pendigitalan sistem pendidikan kita.
Mohd Azizee Hasan
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru)

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment