Saturday 4 April 2020

GPMS SYOR PORTAL PERKONGSIAN BAHAN PENGAJARAN


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan disaran mewujudkan satu portal perkongsian khas yang mudah diakses semua pihak dan memuat naik pelbagai bahan pengajaran bagi melancarkan sesi pendidikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor, berkata menerusi portal itu, guru, ibu bapa dan pelajar dapat menggunakan pelbagai bahan pengajaran untuk membantu mereka meneruskan sesi pendidikan ketika ini.
Katanya, kepelbagaian bahan pengajaran yang disediakan kementerian akan membantu guru dan pelajar yang kini kebanyakannya meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian menerusi aplikasi seperti Google Hangouts Meet, Google Classroom dan Zoom.
“GPMS berpendapat usaha meneruskan PdP sebegini sangat penting dalam memastikan proses pelajar menimba ilmu tidak terjejas sepanjang tempoh PKP.
“Buat waktu ini, GPMS sedia membantu Kementerian Pendidikan menyebarkan sebarang bahan pembelajaran seperti video tutorial kepada pelajar menerusi medium kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas saranan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr Mah Hang Soon supaya masa terluang semasa tempoh PKP dimanfaatkan pelajar dengan aktiviti pendidikan.
Dalam pada itu, Mohd Alif Anas turut menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji semula takwim peperiksaan utama negara seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), supaya keputusan pelajar yang tidak dapat meneruskan sesi pengajian ketika PKP, tidak terjejas.
“GPMS sedar terdapat beberapa kekangan dihadapi warga pendidik dan pelajar seperti ketiadaan komputer atau gajet elektronik, kelembapan talian internet atau masalah keberkesanan penyampaian yang dibataskan faktor tertentu.
“GPMS sedia membantu Kementerian Pendidikan dalam memberikan pandangan diperlukan, termasuk menggerakkan ahli GPMS seluruh negara bagi menyokong sebarang dasar dan usaha kementerian mengangkat martabat pendidikan di Malaysia,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment