Saturday, 25 April 2020

PENDIGITALAN MASYARAKAT PERLU DIPERCEPATKAN

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Rancangan Temubual Khas bersama RTM dan Astro Awani.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap, masalah dihadapi negara akan kembali pulih seperti dahulu, tetapi dalam bentuk baharu dengan penekanan kepada soal pendigitalan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mempercepatkan proses pendigitalan masyarakat sebagai langkah adaptasi kepada normal baharu pada masa depan, pasca penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata, proses pendigitalan akan membabitkan pelbagai aspek, termasuk pendidikan, urusan perniagaan atau e-dagang, e-kerajaan dan dalam kehidupan harian.
"Ekonomi digital adalah kesan positif daripada tekanan semasa. Saya melihat dalam media mengenai cerita tidak boleh menjual hasil kebun, laut dan sebagainya, tetapi mereka kata tak apa, boleh berurus niaga secara dalam talian, menerusi sistem e-perdagangan, tetapi tidak dibentuk dengan keadaan yang kukuh, tak meluas.
"Ini contoh normal baharu yang kita fikir disebabkan keadaan. Soal pendigitalan, saya sudah mengambil ini sebagai satu daripada cabaran baharu," katanya dalam temubual khas bersama RTM dan Astro Awani yang disiarkan, malam tadi.
Perdana Menteri berkata, untuk menjayakan aspirasi itu, beliau sudah mengarahkan pelaksanaan sistem kerajaan elektronik atau e-kerajaan, sebagai penanda aras buat rakyat.
Beliau berkata, jika kerajaan mendahului, rakyat akan segera menyesuaikan diri terhadap keadaan itu.
"Dalam bidang pendidikan, kita melancarkan sistem pendidikan menggunakan (platform) dalam talian atau pembelajaran maya dengan segala kemudahan internet. Sebab itu, empat lima tahun dulu, waktu kita berdepan masalah begini, tidak menjadi masalah, tetapi kita belum berjaya sampai ke situ dan sekarang perlu kita percepatkan lagi.
"E-kerajaan pula, saya dengar dulu sudah dirancang, mungkin 30 hingga 40 peratus dan saya sudah arahkan supaya kita segerakan proses itu... pendigitalan baik soal pentadbiran, kehidupan, makan, urusan perniagaan akan menjadi satu 'trend' masa hadapan kita.
"Kalau mereka yang terbabit dalam sektor perniagaan, sudah mula menceburi bidang e-dagang, maka ini mesti dipercepatkan lagi. Jadi ini satu perkembangan yang bagi saya menggalakkan, satu trend baharu, " katanya.
Muhyiddin mahu proses pendigitalan masyarakat dalam semua bidang itu dapat dilaksanakan dalam tempoh tidak terlalu lama, kerana rakyat tidak boleh menunggu sehingga tempoh empat hingga lima tahun lagi untuk melalui transformasi itu.
Beliau berkata, dalam memastikan proses pendigitalan masyarakat berlaku dengan teratur, infrastruktur yang lengkap perlu disediakan, selain galakan melalui sistem pendidikan untuk generasi muda di sekolah dan perniagaan bagi masyarakat.
Katanya, dalam menjayakan proses itu, ia perlu membabitkan perancangan, peruntukan, pelaksanaan, dan soal adanya kemudahan dalam masyarakat yang membolehkan mereka menggunakan apa saja sebagai data untuk manfaat diri.
"Akses teknologi khususnya capaian di seluruh negara bagi menjayakan pendigitalan harus diberi perhatian kerana sebelum ini tidak menembusi segenap tempat atau sektor utama," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment