Tuesday 21 April 2020

PELAJAR PERLU TUMPU PdP WALAU TANPA PEPERIKSAAN

Pandemik COVID-19 menyebabkan dua peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan pada tahun ini. Bagaimanapun, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada masa ini perlu diteruskan dalam kalangan pelajar untuk menguasai pembelajaran.
KUALA LUMPUR: Walaupun dua peperiksaan awam dibatalkan tahun ini akibat COVID-19, murid perlu terus mempraktikkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kerana silibus dipelajari mereka mempunyai kesinambungan dengan mata pelajaran bakal diikuti pada tahun berikutnya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata akademik dipelajari murid Tahun Enam berhubung kait dengan topik dan pengisian pembelajaran bakal diikuti mereka apabila melangkah ke Tingkatan Satu.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, NUTP melihat keputusan Kementerian Pendidikan membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini sememangnya tepat bagi membendung penularan COVID-19 memandangkan peperiksaan bukan keutamaan dalam mengukur prestasi kefahaman pelajar, sebaliknya apa lebih penting adalah proses PdP untuk menguasai pembelajaran.
“Pelajar kena faham UPSR dan PT3 ini bukan satu-satunya pentaksiran di sekolah bagi menentukan hala tuju pencapaian mereka, ada tiga pentaksiran lain yang turut memberi sumbangan penting.
“Minda bahawa peperiksaan adalah keutamaan inilah yang NUTP ingin jauhkan daripada pelajar, malah mereka harus faham, pendidikan mesti dikuasai secara menyeluruh membabitkan semua keperluan, bukan hanya menjadikan peperiksaan sebagai kayu pengukur bagus atau tidak.
“Justeru, saya meminta pelajar menguasai PdP secara serius di rumah walaupun sedang mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti melalui aplikasi dalam talian, WhatsApp, Telegram, radio dan buku teks,” katanya.
Bagi Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor, berkata tujuan individu belajar dan menuntut ilmu adalah mengukur kefahaman serta kecemerlangan diri, justeru tidak kisah ia dilaksanakan melalui cara penilaian apa sekalipun.
Beliau berkata, walaupun tanpa peperiksaan awam, pelajar perlu terus belajar dan mengulang kaji pelajaran melalui teknik PdP terutama mengaplikasikan kemudahan teknologi, termasuk berinteraksi dengan guru untuk mendapatkan tunjuk ajar serta rujukan.
Katanya, pelajar juga patut melihat keputusan pembatalan peperiksaan itu secara meluas seperti menjamin keselamatan dan kesihatan mereka, selain memiliki fokus serta peluang belajar lebih ketika tempoh PKP.
“GPMS turut yakin Kementerian Pendidikan memiliki fokus dan rancangan terbaik bagi mengukur tahap pencapaian serta kelayakan pelajar ke tingkatan seterusnya.
“Justeru, bagi menggalakkan PdP pelajar walaupun tiada peperiksaan, terutama dalam tempoh PKP, GPMS berharap kementerian meningkatkan teknologi kemudahan akses sama ada di bandar atau luar bandar bagi memastikan proses pembelajaran setiap pelajar tidak terjejas,” katanya.
Menurut Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan, pada pengumuman pembatalan dua peperiksaan awam itu baru-baru ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan akan menggantikannya dengan kaedah penilaian baharu pelajar, sekali gus menunjukkan mereka sudah memikirkan secara mendalam segala keperluan dan kepentingan kumpulan sasaran terbabit.
Beliau berkata, masyarakat terutama pelajar dan ibu bapa sepatutnya memberi peluang dan ruang kepada kementerian untuk melaksanakan perancangan.
Katanya, pelajar dan ibu bapa juga perlu berfikiran terbuka untuk memahami walaupun tiada peperiksaan, terdapat tiga penilaian lain yang diukur sebagai penentu pencapaian iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PSI), selain daripada penilaian bakal diumumkan kementerian.
“PIBGN berharap apapun penilaian dibuat Kementerian Pendidikan nanti mestilah bersifat menyeluruh dan adil kepada keperluan semua latar belakang pelajar, termasuk di luar bandar serta kelancaran akses mereka melaksanakan PdP di rumah,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata keputusan dibuat Kementerian Pendidikan itu tepat kerana perkara paling utama harus ditumpukan ketika ini adalah bagaimana penilaian berterusan boleh dilakukan.
Orang ramai, katanya, perlu faham dan diberi penerangan lanjut berhubung kepentingan serta keperluan pelaksanaan PdP bagi menjamin penyampaian ilmu berterusan, malah membantu proses penilaian nanti.
Beliau berkata, apa dibimbangkan orang ramai, terutama pelajar dan ibu bapa adalah bagaimana kaedah akan dilakukan bagi kemasukan ke asrama apabila peperiksaan awam ini dibatalkan.
“Bagi berdepan kebimbangan dan situasi kini juga, paling penting kementerian perlu mengambil pendekatan serta kaedah terbaik untuk memberi penerangan kepada semua, termasuk kepentingan PdP.
“Antaranya, membabitkan penilaian formatif iaitu penilaian yang dibuat berterusan sepanjang proses PdP bagi menilai keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran pelajar untuk setiap tajuk diajar,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment