Saturday 18 April 2020

GURU, KAKITANGAN PPD TAWAU TERBABIT MQSS DIARAH BUAT SARINGAN


TAWAU: Semua guru dan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau yang terbabit di dalam Majlis Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) pada 10 hingga 11 Mac lalu diarah menjalani ujian pengesahan COVID-19.
Pegawai Kesihatan Daerah, Dr G Navindran, berkata arahan itu dikeluarkan berikutan ada seorang guru yang terbabit dalam mengendalikan majlis itu disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan (KK) Tawau.
“Pihak kami sudah mengeluarkan surat bertarikh 17 April kepada PPD Tawau bagi mengarahkan semua kakitangannya yang terbabit dalam majlis berkenaan untuk segera tampil menjalani ujian pengesahan COVID-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan, seramai 76 orang dipercayai terbabit dalam acara itu dikehendaki tampil membuat saringan di KK Tawau bermula hari ini.
Sementara itu, Pegawai PPD Tawau, Zamri Pehakan, ketika dihubungi mengesahkan semua guru dan kakitangannya yang terbabit dalam majlis berkenaan sudah dimaklumkan melalui Pengetua dan Guru Besar masing-masing.
“Kita sudah menghantar surat arahan kepada semua sekolah yang terbabit seperti yang diarahkan oleh pihak PKK Tawau,” katanya
Mengenai status pelajar yang menyertai majlis itu pula, beliau berkata setakat ini hanya guru dan kakitangan pendidikan terbabit diarahkan menjalani ujian saringan berkenaan.
“Bagaimanapun, pihak kami dari masa ke semasa akan sentiasa patuh dan mengikuti setiap pandangan serta nasihat daripada PKK Tawau,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment