Thursday 16 April 2020

PKP: e-PEMBELAJARAN TIDAK SEGERAK SESUAI DI LUAR BANDAR, PEDALAMAN


Pensyarah Pusat Pengajian Sosiologi Pendidikan UKM, Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR: Kaedah e-pembelajaran tidak segerak menerusi beberapa aplikasi termasuk WhatsApp, boleh digunakan untuk murid di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pendekatan tidak segerak atau ‘asynchronous’ bermakna interaksi pembelajaran berlaku tanpa memerlukan pendidik dan pelajar hadir pada masa yang sama.
Pensyarah Pusat Pengajian Sosiologi Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata aplikasi lain yang menggunakan pendekatan sama ialah menerusi Google Classroom dan Facebook.
“Dalam keadaan sekarang apabila COVID-19 melanda secara tiba-tiba, kebanyakan guru dan pelajar tidak sempat bersedia dengan aplikasi segerak yang baharu.
“Jika mereka kuasai kemahiran menggunakan aplikasi segerak pun seperti Zoom atau Webex, akses Internet yang lemah dan tidak stabil tetap akan menggagalkan e-pembelajaran.
“Apa pilihan yang kita ada? Statistik SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) menunjukkan daripada 24.6 juta pelayar internet di Malaysia, 97.3 peratus adalah pengguna Facebook.
“Instagram pula 57 peratus dan YouTube (48.3 peratus), manakala aplikasi WhatsApp adalah 98 peratus.
“Malah hampir semua sekolah mempunyai Facebook rasmi sekolah dan kumpulan WhatsApp masing masing,” katanya kepada BH, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, strategi terbaik untuk meneruskan pendidikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa ialah memperuntukkan secara jelas bahawa e-pembelajaran dikendalikan secara tidak rasmi.
“Dalam keadaan capaian internet yang stabil dan baik pula, guru digalakkan mengguna pakai kaedah e-pembelajaran segerak (synchronous) seperti Zoom, Webex dan Google Meet.
“Semua sesi ini mestilah dirakam dan kemudian dimuat naik ke Facebook yang ditentukan atau kumpulan WhatsApp untuk dikongsikan dengan pelajar yang tidak berpeluang menyertai sesi berkenaan.
Mengulas perbezaan pendekatan, Anuar berkata, e-pembelajaran berdepan dua kekangan utama iaitu tiada capaian internet, lemah atau tidak stabil dan kemampuan ibu bapa menyediakan gajet seperti komputer peribadi serta tablet.
Meskipun Jabatan Statistik Negara pada 2019 menunjukkan 90.1 peratus isi rumah mempunyai capaian internet, beliau berkata, perangkaan itu sekadar ‘atas kertas’ kerana isu internet tidak stabil terutama pada waktu puncak sangat kritikal.
“Banyak kawasan di negara ini yang capaian internet masih tidak stabil, malah perbezaan capaian internet di bandar dan luar bandar sangat ketara.
“Jika diteliti data rasmi Jabatan Statistik Negara 2019, terbukti sejak 2016, tiada langsung penambahbaikan capaian Internet di kawasan luar bandar dan bandar antara 2014 hingga 2016.
“Pada 2018, jurang agihan internet antara bandar dan luar bandar ialah 70:30, sangat besar.
“Jika e-pembelajaran dilaksanakan pasti memberi kesan kepada jurang pencapaian akademik pelajar bandar, luar bandar dan pedalaman.
“Ini satu diskriminasi pendidikan jika diteruskan tanpa garis panduan e-pembelajaran yang jelas oleh Kementerian Pendidikan, justeru kita kena cari jalan yang adil pada semua pelajar,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment