Guru menggunakan E- Pelantar Ilmu PPDJ, untuk berhubung antara guru dan sebagai tempat menyumbang bahan pembelajaran dalam talian bagi memperkasakan pembelajaran di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
JERANTUT: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut mengambil langkah mewujudkan E- Pelantar Ilmu PPDJ, sebagai pelantar pembelajaran digital sekolah rendah dan menengah dalam talian bagi memperkasakan lagi inisiatif pembelajaran di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Pegawai Pendidikan Daerah, Dr Azman Uzair, berkata matlamat utama pelantar itu adalah untuk memudahkan lagi proses pembelajaran di rumah secara interaktif daripada pelbagai sumber.
"Melalui E- Pelantar Ilmu PPDJ, guru di daerah ini dapat menghasilkan bahan pengajaran sendiri yang kemudian dapat dikongsi oleh 48 sekolah rendah dan 17 sekolah menengah di daerah ini.
"Setakat ini, sambutan yang diberikan oleh guru di daerah ini amat menggalakkan di mana lebih 100 bahan pembelajaran meliputi pelbagai subjek disumbangkan oleh lebih 50 guru," katanya.
Dr Azman berkata, PPD tidak menetapkan bentuk persembahan pengajaran, terpulang kepada kemahiran dan kreativiti guru mencipta bentuk pengajaran mereka, sepertikuiz, permainandan sebagainya, bagi menarik minat murid.
Beliau berkata, tempoh PKP ini mengubah cara pengurusan sekolah dan pembelajaran murid melalui secara dalam talian adalah untuk memastikan anak-anak sentiasa belajar walaupun berada di rumah dengan panduan guru dan tunjuk ajar ibu bapa.
"E- Pelantar Ilmu PPDJ juga menyokong bahan pembelajaran yang disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga portal pendidikan lain dengan mengintegrasikannya dalam laman berkenaan," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment