Tinjauan aktiviti pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ketika berada di asrama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan fasa ketiga.
KUALA LUMPUR: Pergerakan pulang ke kampung kira-kira 100,000 pelajar universiti yang terkandas di asrama atau rumah sewa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, dijangka dipecahkan kepada lima zon utama.
Ia akan membabitkan Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Tengah dan Zon Sabah-Sarawak. Pemecahan mengikut zon itu bagi memastikan tidak berlaku perhimpunan besar demi kesihatan pelajar.
Sumber memberitahu BH, pergerakan pelajar juga akan diselia sendiri oleh Timbalan-Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), manakala Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH) di Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) pula sebagai penyelaras.
Difahamkan juga, proses berkenaan bukan setakat menghantar pulang pelajar universiti awam (UA), tetapi turut membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta, selain penuntut politeknik dan Kolej Komuniti yang terkandas sejak lebih sebulan lalu.
Antara agensi terbabit dalam menguruskan proses penghantaran pulang pelajar adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap, ketika ditanya mengenai cadanganprosedurpenghantaran pulang pelajar terbabit, berkata pihaknya akan mengikut segala arahan KPT dan MKN.
“Kerajaan memang sedang berusaha membenarkan pelajar pulang, tetapi ia perlu dibuat melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Bagi pihak universiti, kami akan mengikut segala arahan KPT dan MKN, tetapi kami di UTeM sudah bersedia.
“Segala perancangan sudah dipersiapkan, malah UTeM akan turut menyediakan bas universiti untuk menghantar pulang pelajar mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Mengenai pelajar UTeM yang berada di asrama atau rumah sewa sejak PKP dilaksanakan, beliau memaklumkan, ada 838 pelajar berada di kolej kediaman, manakala 1,189 lagi di rumah sewa berhampiran dan daripada jumlah keseluruhan itu, 140 adalah penuntut dari Sabah dan 200 dari Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim, menjelaskan pihaknya hanya menunggu kelulusan diumumkan kerajaan dan yakin pergerakan pelajar dapat dijalankan dengan teratur jika semua pihak mematuhi SOP ditetapkan.
“KPT sentiasa memberi status terkini kepada universiti dalam usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar yang terkandas. Sebaik kelulusan diterima, jadual akan dikeluarkan agar pergerakan pelajar dari setiap UA dan yang lain berjalan dengan teratur,” katanya.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, tidak menolak kemungkinan penghantaran pulang pelajar dibuat secara berperingkat, sama ada mengikut zon, bahagian atau daerah di mana pelajar akan dihantar.
“Perkara yang perlu dielakkan adalah perkumpulan secara besar-besaran kerana usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 masih perlu diteruskan. Jadi, proses penghantaran pulang pelajar ini perlu dilakukan dengan teliti,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pelajar yang terkandas supaya bersabar kerana proses penghantaran pulang tidak boleh dilakukan secara sekali gus dan mempunyai SOP tersendiri yang ditetapkan kerajaan serta harus dipatuhi.
“Jika diluluskan proses penghantaran secara penggiliran, saya yakin ramai akan tidak puas hati kerana tidak sabar mahu pulang, tetapi SOP perlu dipatuhi dan diutamakan. Letak sepenuh kepercayaan kepada pihak bertanggungjawab.
“Semua mahu pulang, tetapi keselamatan dan kesihatan adalah keutamaan dalam proses ini. Tak guna balik, tetapi anda membawa risiko kepada nyawa orang yang tersayang,” katanya yang turut bimbang sekiranya destinasi pelajar berada dalam zon merah, sekali gus memerlukan kaedah penghantaran pulang yang khusus.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment