Thursday 23 April 2020

TINGGALKAN BAHAN PEMBELAJARAN DI PONDOK PENGAWAL

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) disesuaikan berdasarkan kedudukan geografi sesuatu kawasan termasuk di tempat capaian internet tidak stabil.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani, berkata pelbagai kaedah digunakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memastikan murid tetap mendapat ilmu sama ada menerusi dalam talian ataupun kaedah bersesuaian.
“Bagi kawasan capaian internet tidak stabil dan ibu bapa tidak mempunyai gajet seperti komputer peribadi serta tablet, kaedah pembelajaran mengikut situasi untuk mengelak murid ketinggalan.
“Antara kaedah dilakukan, guru menyediakan bahan pembelajaran dari rumah dan diletakkan di pondok pengawal keselamatan di sekolah.
“Ibu bapa secara bergilir-gilir mengikut tahun persekolahan akan mengambil bahan pembelajaran itu di tempat berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Salim berkata, pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini tidak bermakna pembelajaran terhenti.
“Peranan aktif digerakkan pengetua, guru besar dan guru bagi memastikan murid terus belajar walaupun berada di rumah harus dipuji.
“Bagaimanapun peranan pentadbir sekolah dan guru tidak cukup dalam situasi sekarang. Sokongan ibu bapa dan penjaga amat penting untuk memacu pendidikan anak menjadi insan berilmu,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment