Friday 24 April 2020

PKP: BERI LEBIH KUOTA INTERNET UNTUK GURU, MURID

Pelajar Sekolah Kebangsaan Convent Sentul 2, Alya Solehah, 11, dan adiknya yang bersekolah tadika, Adi Talib, 6, melakukan pembelajaran secara dalam talian berikutan pelaksanaan PKP.

KUALA LUMPUR: Syarikat pembekal internet seharusnya lebih prihatin dengan memberikan lebih capaian secara percuma kepada guru dan murid supaya pembelajaran dalam talian berupaya dilaksanakan secara berkesan.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata Kementerian Pendidikan menyediakan garis panduan untuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan murid menjalankan pembelajaran dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.
Katanya, langkah itu seiring matlamat kerajaan untuk memastikan aspek pembelajaran dalam kalangan murid tidak terhenti, susulan pelaksanaan PKP di negara ini bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.
"Bagaimanapun, hakikatnya, bukan semua murid dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran dari rumah kerana ada yang tidak mampu untuk mendapatkan data kerana kekangan kewangan, khususnya keluarga berpendapatan rendah serta miskin.
"Ramai ibu bapa tidak akan mengutamakan bayaran untuk capaian internet kerana perlu memikirkan peruntukan perbelanjaan makanan, pembiayaan sewa rumah dan kenderaan.
"Terima kasih dan syabas kepada syarikat telekomunikasi tempatan yang membantu rakyat sepanjang PKP dengan menawarkan data percuma sebanyak satu gigabait (GB) setiap hari serta pelbagai kemudahan lain.
"Bagaimanapun, kemudahan ini hanya boleh digunakan antara jam 8 pagi hingga jam 6 petang mulai 1 April sepanjang tempoh PKP," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 27 Mac lalu dilaporkan berkata pemberian kuota secara percuma dengan kuota satu GB antara jam 8 pagi hingga jam 6 petang diberikan untuk pelanggan syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis serta U Mobile.
Pemberian kuota internet berkelajuan tinggi secara percuma kepada pelanggan pascabayar dan prabayar empat syarikat telekomunikasi utama negara itu mula diperuntukkan sejak 1 April lalu sehingga PKP berakhir.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment