Sudah lebih dua minggu seluruh rakyat Malaysia menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita masih ingat, pengumuman PKP menyebabkan pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) berduyun-duyun meninggalkan kampus. Mereka mempunyai satu hari pulang ke kampung halaman masing-masing.
Kini, lebih 80 peratus pelajar berada bersama keluarga di kampung. Disebabkan pandemik COVID-19 belum dibendung sepenuhnya, tempoh PKP dilanjutkan dua minggu lagi.
Situasi ini memberi kesan signifikan kepada proses pembelajaran dan pengajaran (PnP) di IPT. Dalam tempoh empat minggu PKP ini, apakah pembelajaran perlu diteruskan atau ditangguhkan? Sekiranya PKP dilanjutkan lagi, apakah pula tindakan sepatutnya diambil pensyarah?
Saya dapati pandemik COVID-19 membuka minda dan memberi perspektif baharu terhadap pelaksanaan pendidikan menerusi internet dan pendidikan jarak jauh (PJJ) secara umumnya. Rata-rata pensyarah mula mencuba dan menggunakan pelbagai teknologi untuk berkomunikasi dengan pelajar dari seluruh tanah air.
Ramai baru sedar kaedah pembelajaran secara maya adalah alternatif berkesan sebenarnya. Ilmu masih boleh disampaikan kepada pelajar walaupun tanpa bersemuka.
Sememangnya, program akademik secara dalam talian dan jarak jauh dijangka menjadi kaedah pembelajaran arus perdana pada masa depan. Pelbagai strategi dan usaha dilakukan kementerian untuk melatih dan memberi kesedaran terhadap teknologi PnP dalam era Revolusi Industri 4.0.
Pihak IPT juga mempunyai satu pasukan khas untuk menggerakkan pengajaran secara maya di institusi sendiri. Namun, mungkin kerana tiada keperluan mendesak, sambutan dalam kalangan pensyarah sebelum ini hanya ‘suam-suam kuku’.
Hal ini, sangat berbeza ketika tempoh PKP. Minat dan kecenderungan pensyarah untuk terbabit dalam pembangunan modul, penyampaian dan pengukuran pelajar secara maya naik mendadak. Perkembangan ini perkara positif daripada pandemik COVID-19 yang sedang kita alami.
Bagaimanapun, gelombang kesedaran dan minat ini tidak memberi kesan kepada persekitaran pendidikan tinggi negara sekiranya masalah capaian internet dalam kalangan pelajar tidak diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.
Saya bersetuju pelajar IPT diberikan bantuan RM200 dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Namun, apa lebih utama diperlukan pelajar sebenarnya adalah capaian internet lebih baik untuk mengikuti PnP secara dalam talian.
Lebih 30 peratus pelajar IPT di negara kita mendapat capaian internet kurang memuaskan ketika di kampung halaman. Ia menyebabkan kesukaran melaksanakan pembelajaran secara maya oleh kebanyakan pensyarah di IPT.
Kelajuan capaian internet tidak seimbang antara bandar dengan kampung wajar ditangani. Jurang perbezaan antara rakyat menjadi lebih ketara sekiranya isu capaian internet dalam golongan miskin dan sederhana tidak diatasi.
Tempoh PKP ini menguatkan lagi pendapat internet akan menjadi antara keperluan asas rakyat sama seperti bekalan air dan elektrik. Tambahan pula, pelajar IPT sekarang ialah generasi yang akan menjadi tonggak ekonomi negara masa akan datang.
Selaras usaha kerajaan memperkasa ekonomi digital, method PdP pendidikan tinggi seharusnya menyokong ke arah objektif sama.
Tempoh PKP ini peluang terbaik untuk semua IPT melipatgandakan usaha memajukan aspek method PdP. Minat dan kesedaran pensyarah mencuba teknologi dan method baharu secara maya perlu dipupuk dan disokong. Biarkan pensyarah berkreatif untuk menyampaikan ilmu.
Secara peribadi saya berpendapat IPT yang mengoptimumkan tempoh PKP ini untuk memajukan aspek PdP secara maya akan lebih bersedia menghadapi cabaran pendidikan tinggi pada masa depan.
Prof Madya Dr Amir Shaharuddin
Dekan, Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment